Jurutera luar negara pilih jadi petani - Utusan Malaysia

Jurutera luar negara pilih jadi petani

Chin Pau Meng mengusahakan tanaman betik sekaki di kebunnya di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan sejak dua tahun lalu. – Utusan/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke hutan menjadi bandar.

Peribahasa Melayu itu digunakan bagi menggambarkan pengalaman Chin Pau Meng, 32, yang berjaya mengusahakan betik sekaki atau nama saintifiknya Carica papaya sejak dua tahun lalu.

Apa yang pasti, keringat yang ditabur dirasakan berbaloi biarpun dia terpaksa meninggalkan kerjaya asalnya sebagai seorang jurutera di luar negara.

Sebelum ini, Pau Meng yang merupakan graduan jurusan kejuruteraan dari Universiti Taiwan berkhidmat di sebuah syarikat terkemuka negara itu dalam bidang pembuatan tenaga solar selama dua tahun.

Namun begitu, kasih pada negara sendiri mendorong Pau Meng membuat keputusan untuk berbakti kepada tanah, iaitu sebagai petani di tanah kelahiran, Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.

Pau Meng berkata, dia membuat keputusan untuk menjadi petani kerana mahu membantu ibu bapanya yang kerugian besar selepas pokok pisang yang diusahakan mereka diserang penyakit.

Apabila pulang ke kampung halaman, dia sedih melihat keadaan kebun pisang seluas 0.8 hektar yang musnah.

Pau Meng segera mengusahakan lebih 500 pokok betik sekaki di atas tanah kebun pisang tersebut, di samping menanam kacang panjang, bendi dan terung di atas tanah lain seluas dua hektar.

Pau Meng berkata, dia gembira apabila usahanya itu memberikan pulangan lumayan menerusi hasil tuaian sehingga 800 kilogram seminggu.

Kini, dia tersenyum bangga dapat meneruskan legasi ibu bapa di atas tanah mereka sendiri.

“Pada mulanya idea untuk menanam betik tercetus setelah kami mendapati pasaran betik mempunyai masa depan cerah kerana tidak ramai petani di daerah ini mengusahakan tanaman itu.

“Saya bermula secara kecil-kecilan dan mendapatkan khidmat nasihat serta latihan daripada Jabatan Pertanian,” katanya.

SESUAI DIKOMERSIALKAN

Pau Meng berkata, tanaman betik sekaki sememangnya berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai penggemar sendiri selain tahan kepada serangan penyakit.

“Batang pokoknya pula tahan kepada tiupan angin kerana akarnya yang panjang dan kuat.

“Selain itu jangka hayatnya juga lebih lama berbanding tanaman lain dan hasilnya lebih cepat apabila boleh dituai selepas lapan bulan,” katanya.

Pau Meng berkata, betik sekaki mengambil masa 20 minggu untuk masak dan sedia dituai. Dalam tempoh itu, ia memerlukan penjagaan rapi supaya buahnya tidak rosak dan gugur sebelum matang.

“Rasa manis atau tawar buah betik adalah bergantung kepada berapa banyak air yang diterima. Kalau kita mahu manis, kita perlu kurangkan siraman air pada pokok apabila buah hampir masak.

“Kita juga perlu buang pelepah daun tua supaya baja yang dibekalkan dapat diserap terus oleh buah. Kulit buah betik sekaki juga licin dan bebas daripada bintik-bintik atau lebam jika dijaga dengan baik,” katanya.

Jelas Pau Meng lagi, hasil buah betik sekaki yang ditanamnya dipasarkan terus ke pasar borong di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya