Oleh Dr. Nurul Ashikin Abdul Kadir dan Dr. Fauzan Khairi Che Harun
Penularan Covid-19 memaksa kita mengamalkan norma baharu dalam pelbagai keadaan.
Setibanya kita di mana-mana premis sama ada sekolah, masjid, pejabat mahu pun pasar raya, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan adalah setiap individu perlu memeriksa suhu badan menggunakan termometer, dan premis berkenaan perlu merekod semua data kehadiran serta suhu (jika perlu) masing-masing pada setiap hari.
Oleh yang demikian, sebagai inisiatif pensyarah-pensyarah daripada Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya menghasilkan inovasi yang sesuai untuk dipraktikkan dalam keadaan pandemik ini.
Terdiri daripada sebelas orang pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, bekerjasama mengenengahkan kemahiran elektronik masing-masing selari dengan Revolusi Perindustrian (IR4.0) untuk direalisasikan dalam projek yang dikenali sebagai Sistem Kehadiran Automatik JomHadir ini.
Pensyarah tersebut juga mewakili kelab Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik – Reka Bentuk Teknologi Kejuruteraan (STEM-RBTK) daripada SKE, UTM.
Sistem yang dibina menggunakan teknologi Internet Segala Benda (IoT) adalah sangat relevan pada abad ke-21 serta sangat sesuai diguna pakai untuk norma baharu ini.
Premis yang ingin menggunakan sistem automatik ini boleh memohon identiti (ID) daripada kumpulan JomHadir ini.
Identiti untuk premis ini boleh ditetapkan menggunakan pelayan komputer awanan JomHadir mahupun premis yang tersendiri.
Termometer ini ditetapkan supaya dapat mengesan suhu individu serta mengimbas ID menggunakan teknik pengesanan imej kod bar atau pun nombor telefon individu untuk dimasukkan dan disimpan ke dalam pelayan JomHadir secara automatik menggunakan teknologi Wi-Fi.
Maka semua individu yang hadir di premis tidak perlu menyentuh pen dan kertas untuk membuat catatan rekod kehadiran.
Sehingga kini, terdapat dua jenis pengukur suhu automatik yang telah diubahsuai untuk menggunakan modul Bluetooth bagi merekod data individu secara automatik.
Teknologi Bluetooth ini dikawal oleh pengawal mikro, untuk menghantar data dari pengukur suhu ke aplikasi telefon pintar.
Aplikasi mudah alih JomHadir pada telefon pintar akan menghantar data ke pelayan JomHadir menggunakan teknologi Wi-Fi.
Sistem kehadiran automatik JomHadir ini telah digunakan di beberapa sekolah sekitar Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Sabah. Selain itu beberapa masjid sekitar Johor Bahru yang memohon menggunakan sistem ini untuk solat lima waktu dan solat Jumaat serta hotel untuk pendaftaran tetamu selama 24 jam.
Bagi pihak sekolah yang turut serta dalam program ini, mereka memerlukan data suhu serta ID pelajar dan kakitangan sekolah untuk dihantar kepada Kementerian Pendidikan secara berkala.
Oleh yang demikian, program ini membantu mereka merekod data untuk dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan. Namun begitu, pilihan premis untuk tidak menyimpan maklumat suhu badan individu dalam pelayan juga boleh ditetapkan dengan menggunakan sistem kehadiran automatik ini.
Sebagai lanjutan aktiviti tersebut, sememangnya wajar diketengahkan konsep kemahiran abad ke-21 yang diterapkan semasa pembinaan sistem projek ini.
Usaha selanjutnya termasuklah untuk merealisasikan pemindahan ilmu antara kepakaran UTM bersama masyarakat, seperti sekolah dan masjid.
Aktiviti seumpama ini merupakan satu inisiatif untuk menyalurkan kepakaran staf UTM dalam bidang kejuruteraan elektronik kepada komuniti bagi mendokong saranan kementerian Akademia untuk Masyarakat.
Selanjutnya, ilmu ini boleh digunakan dan dikembangkan oleh guru dan pelajar yang terlibat bagi projek-projek inovasi mereka yang lainnya dengan menggunakan teknologi IoT dan kemahiran elektronik.
Di samping itu, masyarakat akan mempunyai kebolehan untuk membaiki alat suhu tersebut sekiranya berlaku kerosakan.
Bagi tujuan mewujudkan kelestarian ilmu berkaitan sistem automatik JomHadir ini, penyediaan maklumat pembinaan alat suhu automatik menggunakan teknologi Bluetooth akan disediakan menggunakan Github dan Moodle eLearning di laman sesawang jomhadir.com.
Reka bentuk litar dan 3D Casing akan diberikan secara percuma menggunakan konsep sumber terbuka.
Sesiapa sahaja akan mempunyai capaian kepada reka bentuk litar, reka bentuk printed circuit board (reka bentuk PCB ), reka bentuk 3D casing untuk pengukur suhu, serta aplikasi peranti mudah alih untuk membina alat suhu mereka sendiri.
Ilmu yang dipelajari daripada penubuhan sistem kehadiran automatik JomHadir ini jika diketengahkan bersama masyarakat mampu memupuk perkembangan ilmu yang lebih baik dan melahirkan masyarakat yang berkemahiran.
Ini kerana, ilmu ini tidak terhad untuk sistem kehadiran automatik sahaja, malah sangat relevan dengan IR 4.0.
Maka, ilmu ini boleh diterapkan dalam projek-projek inovasi mereka yang lainnya.
Maklumat lanjut layari laman sesawang https://www.utm.my/stemrbtk/jom-hadir/ serta https://jomhadir.com/daftar/.