Jejak Asnaf bantu pelajar UPSI - Utusan Malaysia

Jejak Asnaf bantu pelajar UPSI

Pengurus Besar Perhubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd. Nazri Chik (empat, kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM45,000 kepada Dr. Mohammad Shatar Sabran di Proton City, Tanjung Malim baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan dana yang bertujuan menjaga kebajikan warganya menerusi pelbagai usaha penjanaan pendapatan.

Sumbangan dana pelbagai pihak dimanfaatkan bukan sahaja untuk mahasiswa yang memerlukan malah kakitangan yang ditimpa musibah.

Baru-baru ini Pusat Islam UPSI aktif meneruskan pelaksanaan program Jejak Asnaf Siri 7 dengan memilih asnaf mahasiswa yang tinggal di Sekinchan, Selangor untuk menerima bantuan zakat.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran yang turut serta dalam program itu berkata, ia bertujuan membantu warga UPSI khususnya mahasiswa yang dikategorikan sebagai asnaf yang layak menerima bantuan zakat berdasarkan syarat-syarat dan kriteria yang ditetapkan.

Penerima sumbangan zakat kali ini adalah mahasiswa, Norsyafiq Mohamad Ahpandi dan Aina Aqilah Muhammad Kamaruzaman dari Fakulti Sains Kemanusiaan.

Beliau berkata, baru-baru ini UPSI menubuhkan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) di bawah Jabatan Bendahari yang beroperasi mulai 16 Julai 2020 bagi mengukuhkan lagi dana untuk kebajikan.

“Saya berharap lebih ramai penyumbang dapat memanfaatkan ruang dan saham akhirat ini khususnya melalui Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI yang ditubuhkan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kepada semua penyumbang zakat sama ada dalam kalangan warga UPSI mahupun agensi luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Tarmizi Abdul Rahman berkata, program Jejak Asnaf sebelum itu dijalankan di negeri antaranya, Perak, Kedah, Perlis, Pahang dan Kelantan.

“Ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan baik dan tanda prihatin UPSI bersama masyarakat khususnya keluarga asnaf serta dapat membangkitkan motivasi mahasiswa UPSI untuk lebih berjaya dan cemerlang dalam pengajian mereka,” katanya.

Baru-baru ini, kata Tarmizi, Pusat Islam mewujudkan Tabung Sedekah dan sebanyak RM21,000 disumbangkan kepada Tabung UPSI Prihatin yang diwujudkan khusus untuk membantu kakitangan dan mahasiswa yang memerlukan.

“Tabung yang diwujudkan awal tahun ini berikutan Covid-19 berjaya dimanfaatkan untuk kebajikan mahasiswa yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah WEZAS, Dr. Mohd. Abdul Nasir Abd. Latif berkata, ia antara lain dapat memfokuskan inisiatif-inisiatif universiti khususnya untuk penjanaan dana-dana daripada sumber wakaf, endowmen, zakat atau pun sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, dana-dana yang diterima itu akan dapat dimanfaatkan semula khususnya untuk warga UPSI yang memerlukan dan projek-projek wakaf universiti seperti Akademi Pondok Bitara dan Akademi Sekolah Makmal.

“Baru-baru ini Bank Islam Malaysia Berhad turut mengeluarkan zakat sebanyak RM45,000 kepada WEZAS sekali gus membantu mengukuhkan dana pusat yang baru ditubuhkan itu,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang untuk program-program Pusat Islam UPSI, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) nombor 08068010011204 (Masjid Al-Mursyidin).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya