Jangan mudah mengkafirkan orang - Utusan Malaysia

Jangan mudah mengkafirkan orang

Hanya Mahkamah Syariah boleh memutuskan sama ada seseorang itu telah kafir atau sebaliknya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Dr. Ayman al-Akiti

Iman diibaratkan seperti mutiara yang dapat menyelamatkan seseorang daripada kekal di dalam api neraka. Ini disebabkan dengan sebutir iman sekalipun, seseorang itu digolong sebagai muslim.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidaklah masuk ke dalam api neraka orang yang ada di dalamnya walau sebutir zarah daripada iman. Imam al-Tirmizi menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan hadis ini adalah orang itu tidak akan kekal di dalam api neraka.

Maka iman dalam Islam adalah perkara yang sangat penting bagi seluruh makhluk yang berkehendak kepada kebahagiaan yang abadi di akhirat nanti. Tiada sesiapa yang mengetahui keimanan seseorang itu melainkan Allah SWT dan si punya badan.

Mungkin ada orang yang terlihat selekeh, hodoh, buruk secara zahirnya, akan tetapi hatinya bersih, cantik, indah bahkan jernih di dalam hatinya. Sesuatu yang pasti, kalau ada seorang manusia yang mati tidak dalam iman, maka di dalam Islam jelas orang tersebut akan kekal di dalam api neraka selama-lamanya.

Oleh itu, menuduh seseorang muslim keluar daripada Islam atau diistilahkan dengan kafir adalah perbuatan jenayah yang berat dan besar. Ia berimplikasi negatif kepada diri yang dituduh kufur, juga kepada kesejahteraan negara. Bagaimana tidak? Ketika seseorang muslim dikafirkan oleh saudara seagama Islamnya sendiri, maka penghukuman kufur itu boleh memberi implikasi negatif secara hukum fikah, seperti halalnya darah, isteri dan harta.

Budaya ini akan membuka pintu kepada rakyat awam yang hanya membaca sekerat-kerat buku Islam yang nanti berani berbuat semberono dengan membunuh seseorang hanya dengan alasan halal darahnya kerana ia telah jatuh dalam lembah kekufuran. Walhal, tuduhan itu belum tentu benar. Lebih-lebih lagi seperti yang telah dijelaskan, iman adalah urusan hati yang tidak ada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.

Dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sikap kafir mengkafir sesama muslim adalah dilarang dan ditegah secara tegas. Imam al-Ghazali (w. 505 H) pernah berkata di dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad: Sesungguhnya menghalalkan darah dan harta orang-orang yang solat menghadap kiblat, yang jelas-jelas mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah pesuruh Allah, adalah sangat bahaya. Dalam ungkapan beliau ini, kita dapat memahami bahawa beliau melarang untuk mengkafirkan orang yang solat menghadap kiblat dan jelas-jelas mengucap dua kalimah syahadah.

Imam al-Ghazali yang digelar sebagai Hujjah al-Islam juga menjelaskan: Tersalah di dalam meninggalkan hukum kufur kepada 1000 orang kafir itu lebih ringan daripada tersalah menumpahkan darah seorang muslim. Dalam petikan ini, Imam al-Ghazali secara tegas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mengkafirkan orang yang di sisi Allah adalah kafir; adalah lebih ringan daripada tersalah dalam mengkafirkan seorang muslim. Lebih-lebih lagi ada kemungkinan seorang mujtahid yang mengkafirkan ahli kiblat itu tersalah dalam menghukum. Lalu dikhawatirkan lagi adalah fitnah, hasad dengki dan taksub yang muncul dari serangan batang tubuh seseorang muslim ini.

Pada tahun 1963 timbul budaya tidak sihat, iaitu ada beberapa umat Islam yang mengkafirkan sesama muslim yang berpunca daripada isu politik di tanah air. Ini membuat Mufti Negeri Terengganu Kesepuluh (10); Sayyid

Yusuf bin Ali Az-Zawawi mengeluarkan fatwa berkenaan tuduhan kafir-mengkafir.

Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda: Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).

Beliau bertegas bahawa orang yang tertuduh dengan kekufuran tersebut, tidaklah ia jadi kafir atau apa-apa tuntutan syarak berkenaan murtad selagi tidak dihukum kafir oleh Hakim Syarie. Ini jelas bahawa urusan kafir mengkafir adalah perbuatan dosa yang wajib pelakunya untuk bertauabat, serta yang dituduh tidak boleh dianggap kufur melainkan ia sudah dibicara di Mahkamah Syariah.

Perkara yang ditegaskan oleh mantan Mufti Terengganu itu sangat penting kerana urusan iman adalah berkenaan hati yang tiada mengetahuinya melainkan Allah SWT. Maka tuduhan kufur terhadap seseorang adalah zalim kerana tiada yang mengetahui hati seorang muslim tersebut apakah ia niat masuk agama selain Islam.

Sebab itu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (w. 2004 M) berkata di dalam kitab al-Tahzir min al-Mujazafah bi al-Takfir: Tidak dianggap (kufur) perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang yang tidak niat untuk keluar daripada Islam ke agama selain Islam. Tidak dianggap (kufur) lafaz yang diucapkan oleh seseorang muslim yang isinya mengandung makna kufur walhal dia tidak beriktikad dengan maknanya.

Berdasarkan pelbagai timbangan yang telah disebutkan, jelaslah bahawa apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam kitabnya yang khusus membahas persoalan kafir mengkafir ini dengan judul Faysal al-Tafriqah menyatakan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar adalah tidak mengkafirkan ahli kiblat; iaitu muslim yang masih memperakui kalimah syahadahnya dan masih solat menghadap kiblat.

Adapun kesalahan mereka dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah tidak dapat menyebabkan mereka jatuh kafir. Jadilah yang mengislamkan bukan yang mengkafirkan!

 

 

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya