Ramai yang mengakui kehebatan pelakon ini tatkala beraksi di layar kaca mahupun perak. Dia memberi seluruh jiwa dan menerbitkan segala rasa dalam hati peminat yang menonton lakonannya.
Beri apa sahaja watak, dia laksanakan dengan sempurna. Mungkin bukan sikapnya untuk mengambil mudah tanggungjawab yang diberi, dia akan memberi yang terbaik walaupun sekadar watak seminit dua.
Hampir dua dekad memahat nama dalam industri seni, Nabila Huda bukan calang-calang pelakon. Namun ada yang tertanya, adakah sekadar bergelar pelakon terbaik sudah cukup untuknya? Jiwa seninya tidak mungkin setakat itu cuma.
Berbicara dengan wanita berusia 36 tahun ini, soalan itu segera diajukan.
Perlahan tersenyum lantas mengunci mata, dia mahu terus menggali ilmu seni lain, mendewasakan dirinya dalam bidang yang cukup dicintai.
Bukan kerusi pengarah menjadi dambaan namun, dia memasang impian besar untuk bergelar pengarah sinematografi (DOP). Tidak ada apa yang pelik. Mungkin pelakon lain mahu bergelar produser atau pengarah, tetapi tidak Nabila Huda.
“Tidak pernah terfikir pun mahu jadi pengarah drama atau filem. Saya tak suka mengarah. Tugas itu sangat berat dan bukan untuk saya. Lebih baik saya berlakon.
“Saya mahu jadi pengarah sinematografi atau pengarah seni foto. Saya mahu penonton lihat menerusi mata ini. Setiap kita melihat sesuatu dengan berbeza. Itu yang saya mahu kongsikan dengan peminat,” kata pelakon filem Munafik ini.
Berkobar-kobar mahu menyempurnakan hasrat menyambung pengajian dalam bidang sinematografi, Nabila Huda terpaksa menongkatkan dahulu impiannya dek kesibukan dan situasi semasa yang tidak begitu mengizinkan.
“Sepatutnya tahun ini saya mahu sambung belajar di luar negara. Negara kita mungkin tidak banyak pusat pengajian yang menawarkan program tersebut. Namun apakan daya, kita tunda dahululah cita-cita itu.
“Tahun depan mungkin saya akan mengurangkan terus aktiviti seni dan fokus untuk sambung belajar. Saya mahu menambah ilmu sebelum turut ke set. Tak mahu pandai-pandai sendiri. Kena ada ilmu juga,” kata anak penyanyi rock legenda, Amy Search ini.
Berbicara pengalaman berlakon di bawah arahan pelakon popular, Janna Nick, Nabila mengakui dia cukup kagum dengan semangat aktres itu yang mahu mencuba nasib bergelar pengarah.
“Pertama kali berlakon di bawah arahan Janna. Semua berjalan lancar. Banyak lagi yang dia akan teroka dan bagus untuk cabar diri,” katanya.
Pernah mencetuskan kontroversi dengan gambar-gambar yang kurang sesuai untuk tatapan umum menurut penilaian ‘jabatan penguat kuasa’ media sosial, Nabila Huda kini senang untuk menjadi diri sendiri dan tidak mengendahkan kata-kata sinis warganet.
Namun perkongsian baharu yang menampakkan dirinya berkemban langsung tidak mencetuskan buah mulut peminat di ruangan komen. Apakah mereka sudah terbiasa dengan kelantangan Nabila dan tidak ambil peduli tentang gambar pelakon itu.
“Tak ada pula komen negatif warganet bila saya muat naik gambar begitu. Mungkin mereka sudah tidak kisah sebab dah biasa dengan gambar saya sebegitu. Jadi mereka ambil jalan mudah, lantakkan sahaja.
“Saya cuma jadi diri sendiri. Tak mahu berpura-pura untuk puaskan hati warganet. Apa yang penting, saya gembira dengan apa yang dilakukan. Bab kerja tak ada masalah. Saya pekerja yang tahu tanggungjawab dan tugas.
“Lagipun gambar itu cantik. Saya bukan muat naik sebab hendak tunjuk seksi atau gaya kemban. Tempat cantik, kualiti gambar menarik. Rugi kalau tak muat naik,” seloroh ibu kepada seorang anak ini.
Berbicara tentang tugas di kerusi juri tetap program baharu, The Masked Singer yang sudah menemui peminat sejak 18 September lalu, Nabila tidak dapat menyembunyikan keterujaannya duduk sebaris dengan lapan juri lain.
Menariknya, seperti biasa, Nabila akan tampil dengan imej dan gaya luar biasa yang pastinya menjadi trademark pelakon ini tatkala muncul di layar kaca atau majlis-majlis hiburan.
“Saya memang all out bila bab imej dan gaya. Tak kisah belanja besar asalkan puas hati dan cantik. Saya suka bersiap cantik-cantik. Sebab itu setiap minggu saya akan cipta gaya tersendiri.
“Duduk dengan lapan juri lain memang gila. Bayangkan kita ada Aznil Nawawi, Zizan Razak dan ramai lagi. Memang kecoh sebab kena teka siapa penyanyi di sebalik topeng itu,” katanya.