Keindahan persalinan Mira Filzah pada majlis akad nikah kelmarin terus menjadi bualan.
Kemasan manik dan jemeki pada busana, selendang dan layah mencipta gaya mewah pada busana tradisional kurung Pahang.
Pereka Rizman Nordin, berkata, idea menghasilkan pakaian itu menerusi personaliti Mira yang sentiasa tampil sopan apabila bergaya.
Menurut pemilik jenama Rizman Ruzaini itu, Mira berbincang mengenai pakaian majlis akad nikah dua bulan lalu dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pereka untuk menghasilkannya.
“Mira datang dengan ‘kosong’ justeru kami hasilkan pakaian ini dengan mengkaji personaliti.
“Alhamdulillah beliau suka idea itu. Pertama kali melihat baju ini siap adalah pada hari akad nikah lalu,” katanya yang menjelaskan berat pakaian itu melebihi lima kilogram.
Berhubung reaksi Mira, Rizman berkata, pertama kali menyaksikan pakaian itu Mira suka dan berulang kali mengucapkan terima kasih.
Busana kurung Pahang itu dihasilkan menggunakan fabrik sutera taffeta bersama tatahan manik dan jemeki.
Kata Rizman, beliau mengambil masa sebulan menyiapkan pakaian itu kerana kemasan jemeki memerlukan jahitan tangan.
Katanya, penggayaan pakaian tradisional longgar seperti pilihan Mira mungkin boleh dijadikan aliran semasa untuk segmen pakaian pengantin.
Akad nikah Mira Filzah dengan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar berlangsung Khamis lalu.