Tertarik dengan seni gerakan dan paling penting mahu mempelajari teknik mempertahankan diri mendorong seorang gadis berketurunan Iban menyertai Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang lebih sinonim dengan masyarakat Melayu.
Malah, Josephine Anak Billy, 28, juga membuktikan kecederaan kaki kirinya akibat kemalangan baru-baru ini bukan penghalang untuknya menghadiri majlis penyampaian bengkong atau tali pinggang dengan berkerusi roda, setelah melepasi peringkat asas persilatan itu.
Gadis yang berasal dari Sibu, Sarawak itu berkata, biarpun agak kekok ketika awal-awal dia menyertai Kumpulan Srikandi Sumayyah kerana berlainan agama dan bangsa, namun semua itu berubah sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke gelanggang latihan.
Menurutnya, dia mula mengenali dunia persilatan di bangku sekolah lagi menerusi drama atau dokumentari yang ditayangkan di televisyen sebelum terdetik untuk mengikuti latihan secara serius sejak tahun lalu.
“Saya mula sertai PSSGM Daerah Melaka Tengah sejak Mac tahun lepas, mula-mula saya lihat di Facebook mengenai silat gayong ini dan terus cari nombor telefon orang yang boleh dihubungi.
“Tak sangka kini saya sudah memegang bengkong berwarna putih atau lebih dikenali ‘awan putih’ yang merupakan peringkat asas silat gayong dan memberikan semangat untuk belajar ke peringkat seterusnya sebaik sahaja kaki saya sembuh kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Josephine, seramai 11 lagi pesilat wanita atau digelar Srikandi Sumayyah menerima bengkong masing-masing yang rata-rata mereka berusia 30 ke atas.
Ujar anak kelima daripada lapan beradik itu lagi, keluarganya di Sarawak amat memberi sokongan dan galakan untuk belajar silat tersebut kerana memikirkan keadaan Josephine yang merantau di tempat orang.
“Sebelum ini saya ingat nak sertai kelas Muay Thai tetapi lepas lihat silat gayong saya lebih tertarik untuk menyertainya dan kini ia membina jati diri dan keberanian terutamanya ketika saya berjalan seorang diri,” katanya.
Sementara itu, rakan seperguruan Josephine, Saliza Said, 45, berkata, usia bukan penghalang untuk dia mempelajari ilmu persilatan itu biarpun kebiasaannya pesilat bermula sejak usia belasan tahun.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia menyertai Srikandi Sumayyah bukan untuk menunjukkan kekuatan sebaliknya hanya mahu melengkapkan diri dengan ilmu mempertahankan diri sebagai persediaan kejadian tidak diingini.
“Saya pesilat paling berusia dalam kumpulan ini tetapi itu tidak menjadi masalah selagi kita belajar mengikut kemampuan masing-masing dengan bimbingan guru berpengalaman,” katanya yang juga Pengerusi KumpulanGelanggang Sumayyah yang berpangkalan di Cheng.
Saliza berkata, mereka diajar agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan gerakan silat tersebut kecuali berada dalam situasi terancam dan mahu melepaskan atau mempertahankan diri.