Fazura tak manjakan diri - Utusan Malaysia

Fazura tak manjakan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA cantik ini sememang-nya terlihat kuat. Apa sahaja yang dilakukan, dia mahu yang terbaik. Tidak pernah lelah menyempurnakan impian yang mungkin sudah sekian lama tergantung sepi.

Bersua bicara dengan pelakon cantik, Nur Fazura, jelas tutur kata dan butir madah cukup sopan disusun.

Tidak hairan, dia cukup disayangi ramai peminat yang tahu wanita ini berjiwa humble.

Sarat mengandung lapan bulan, tidak sekali Fazura memanjakan diri. Di kala wanita lain mungkin sudah terbaring dan berehat menghela nafas lelah, pelakon Gol & Gincu ini masih gagah berdiri dan bekerja.

“Saya sudah biasa bekerja dan rasa ralat apabila duduk di rumah sahaja. Saya pun bukan jenis manjakan diri sejak kecil lagi kerana tahu, kejayaan hadir selari usaha.

“Sebab itu ramai yang terkejut dan kagum dengan semangat saya untuk terus bekerja. Tak biasalah duduk rumah sahaja. Rasa dah cukup berehat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari itu.

“Tapi saya sentiasa pantau kesihatan dan kemampuan diri. Tidak mahu memaksa dan ada masa, saya berehat juga. Lagipun saya tak boleh fikir diri sendiri sahaja, bayi dalam kandungan pun ada ‘hak’ untuk berehat juga,” kata isteri kepada pelakon, Fattah Amin ini.

Disogok soalan apakah ‘ujian’ sepanjang proses kehamilan, Fazura hanya tergelak kecil. Dia bersyukur, tidak ada pengalaman mual atau muntah-muntah malah mengidam perkara yang pelik-pelik sepanjang bergelar wanita berbadan dua.

Kelakarnya, jelas pelakon yang juga penyanyi ini, Fattah lebih banyak mengidam dan kuat makan berbanding dirinya. Namun pelakon lelaki itu tidak sedar tentang perubahan dirinya sehingga berat badan turut meningkat selari selera.

“Alhamdulillah, tuhan permudahkan proses kehamilan saya. Alahan tidak ada, malah tak pernah pula muntah-muntah. Kesihatan saya dan bayi juga pasda tahap yang baik.

“Cuma peliknya, saya tidak suka makan nasi lauk kampung padahal itu adalah menu kegemaran sebelum mengandung. Saya pun tidak makan pedas dan juga tidak mengamalkan petua tradisional. Cuma ada sekali saya makan durian, teringin sangat,” katanya disambung gelak kecil rakan wartawan.

Pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ditemui pada pelancaran produk kecantikannya, Fazura Skincare sekali gus membuktikan impiannya untuk memiliki jenama set kecantikan kini termakbul.

Berbicara soal produk, Fazura menjelaskan, dia sendiri turun padang bertemu pakar dan memantau sendiri proses penghasilan produk yang dijual pada harga RM89 itu.

“Sebelum ini saya cuma jadi duta produk penjagaan wajah tapi kini, lahirlah set Fazura Skincare yang diidamkan selama ini. Bahan-bahan semula jadi digunakan dan sesuai untuk semua jenis kulit,” katanya.

 

Single, filem baharu

Impiannya tercapai dengan memiliki jenama kecantikan Fazura Skincare

Mungkin ramai yang tertanya, adakah selepas melahirkan anak, penyanyi lagu Sayangi Dirimu ini bakal memperlahankan langkahnya dalam industri seni. Sementelah, ramai artis wanita memilih sebegitu.

Perlahan menggelengkan kepala tanda tidak setuju, Fazura menjelaskan, dia akan terus bekerja saat habis pantang lantaran sudah banyak susunan kerja yang harus diselesaikan.

“Banyak kerja sudah menunggu sebenarnya. Saya juga bakal membintangi beberapa filem dalam dan luar negara. Jadi selepas bersalin, saya perlu jaga badan dan kembali aktif seperti sebelum ini.

“Namun, saya tahu tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu. Ada batas-batas yang saya perlu jaga serta jadual juga mungkin tidak sesibuk dahulu,” kata anak kelahiran Pahang ini.

Dia juga meluahkan rasa syukur kerana dikekelingi suami dan keluarga yang sangat ringan tulang dan ikhlas hati untuk membantunya saat bergelar ibu kelak.

“Memang melihatkan situasi pandemik yang sedang melanda, kita semua ada perasaan risau. Tetapi saya tak mahu terlalu memikirkan. Asalkan kita tahu jaga diri dan sentiasa jaga Prosedur Operasi Standard (SOP), Insya-Allah semuanya selamat.

“Lagipun, keluarga saya dan mentua sangat membantu sepanjang proses kehamilan. Saya juga tenang dan gembira bila mereka juga ada selepas bersalin nanti.

“Suami saya juga sangat penyabar dan sentiasa ada ketika saya memerlukan. Bila teringat insiden saya menangis kerana mayonis sampai Fattah terpaksa pergi beli balik sandwich, tergelak jadinya,” katanya.

Menambah bicara, Fazura juga bakal melancarkan single baharunya bulan depan dan bakal tampil dengan album kedua tidak lama lagi. Ini adalah pencapaian hebat yang seharusnya dibanggakan pelakon wanita itu.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya