DJ Fuzz cari artis baharu untuk digilap - Utusan Malaysia

DJ Fuzz cari artis baharu untuk digilap

DJ Fuzz berazam melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang penghasilan lagu dan nyanyian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika berbicara tentang lagu hit di radio dan siapakah penggesek piring hitam (DJ) yang menyumbang kepada kelonjakan muzik hip hop dan pop, pastinya terluncur nama DJ Fuzz dalam memori setiap pendengar radio dan pelayar YouTube.

Empunya nama, Farzwa De-Attaher Emir Farit, 43, atau lebih dikenali sebagai DJ Fuzz satu nama yang cukup besar dalam industri hiburan, malah pernah memenangi Jingle Composer of The Year dalam anugerah Malaysia Prestigious Industry Awards 2019.

Tahun sama, anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini pernah dinobatkan sebagai 100 Top Young CEO bagi kategori Usahawan Berbakat Istimewa. Oleh itu, DJ Fuzz berazam melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang penghasilan lagu dan nyanyian.

Tidak menolak pandemik Covid-19 melanda dunia sebagai ujian besar buat penggiat seni, DJ Fuzz optimis bahawa golongan artis perlu pandai menyusun strategi menjana pendapatan sampingan.

“Saya mahu cari bakat baharu sebab sekarang kita cuma ada Waris dan Hael Hazni dalam syarikat rakaman. Kita sedang aktif buat jingle di studio dan banyak lagu iklan jenama tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

ANAK MUDA

Pemilik Mixology Music Malaysia memberitahu, dia sangat memberi galakan kepada anak muda berbakat dan berpotensi untuk pergi jauh menjana pendapatan melalui penghasilan lagu.

Ujarnya, walaupun perlu bersaing dengan otai industri seni, Fuzz yakin, sekiranya dipasakkan dengan keinginan yang tinggi pasti membuahkan hasil dan lagu tersebut mampu pergi jauh.

“Sebagai seorang komposer ada banyak cara jana pendapatan dan kita juga perlu bersaing dengan komposer sedia ada yang sememangnya ada kelebihan masing-masing.

“Caranya adalah kolaborasi dengan artis baharu yang kita nampak boleh pergi jauh. Nasihat saya, buat dengan kos yang rendah, jangan terus pergi kepada syarikat rakaman,” jelasnya.

Menceritakan pengalaman sewaktu menghasilkan lagu Dengan pada 2014 bersama Erwan The Muhibbain yang menyentuh lirik ketuhanan sebagai menguji pasaran radio tempatan, DJ Fuzz menjelaskan, setiap lagu yang dihasilkan mempunyai pasaran sendiri di corong radio.

“Misalnya, lagu bercorak ketuhanan dimainkan di Radio IKIM FM, Zayan FM dan Salam FM. Saya buat lagu ketuhanan sebab hendak memberi semula (pahala akhirat) dan sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dapat diberikan kepada masyarakat.

“Lagu Dengan tu masa awal-awal pembabitan dalam industri hiburan, tetapi lepas itu ada juga lagu masuk carta seperti Alhamdulillah dendangan Wani, Subhanallah lantunan Raqib dan bertahan dalam carta Era selama lapan bulan.

“Apa yang penting penyanyi itu mesti berbakat kerana lima tahun lepas kita tidak perlukan kuasa tular. Janji lagu itu sedap, orang suka, undi dan masuk carta boleh jalan. Saya tidak buat banyak nasyid sebab latar belakang saya adalah pop,” jelasnya.

BIJAK ATUR STRATEGI

Fuzz bijak mengatur strategi perniagaan apabila mula berkecimpung dalam bidang penulisan dengan menghasilkan buku Lagu Pukau iaitu rahsia menguasai pelanggan menggunakan pemasaran audio.

Buku yang kali pertama dicetak tahun lalu akan dipasarkan di universiti tempatan sebagai usaha pendedahan kepada golongan muda menghasilkan jingle dengan teknik yang betul sehingga mampu melekat di telinga pendengar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya