Dakwah laman sosial ada cara- Ashraf Muslim - Utusan Malaysia

Dakwah laman sosial ada cara- Ashraf Muslim

Ashraf Muslim - MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

KEMUNCULAN ramai pendakwah muda di laman sosial kini dilihat menjadi antara trend yang cukup sihat. Bagaimanapun keberanian yang ditunjukkan golongan ini adakalanya memberi impak negatif memandangkan ada pendekatan yang digunakan dilihat tidak sesuai.
Menjadi antara selebriti yang menggunakan dunia seni sebagai medan untuk berdakwah, Ashraf Muslim tidak menolak penggunaan media sosial pada waktu ini adalah medium terbaik untuk berkongsi pendapat.

Namun berpengetahuan dalam ilmu agama sahaja baginya tidak mencukupi dalam membimbing masyarakat kini. Tambah pelakon yang berasal dari Teluk Mas, Melaka ini, dia yakin warganet memerlukan pendekatan yang berbeza dalam memastikan setiap mesej yang diberikan sampai dengan berkesan.
“Saya tidak nafikan laman sosial dan televisyen adalah medium terbaik untuk berdakwah. Penting untuk kita menjelaskan Islam itu agama yang mudah dan indah, tetapi perlu ada acara yang betul. Allah memberi hidayah setiap masa, sama ada masa kita sakit, sihat atau pada bila-bila masa.
“Boleh bertegas, tetapi dalam ketegasan itu perlu ada kelembutan. Dalam masa sama, perlu untuk mereka faham tujuan utama adalah untuk menyampaikan ilmu. Jangan gunakan bahasa kasar atau menegur dengan cara tidak betul, tanya balik kepada diri adakah ini akan mengubah seseorang itu,” kata pelakon berusia 38 tahun ini kepada Pancaindera.
Mengakui sedar akan kewujudan ramai pendakwah muda di laman sosial, bagi Ashraf atau nama sebenarnya, Muhd. Ashraf Muslim yang pengalaman berbelas tahun di dalam industri banyak mengajarnya untuk memahami kehendak masyarakat. Malah dia juga yakin kematangan adalah jawapan kepada setiap permasalahan yang wujud.
“Kadang bila fikir, kita buat benda yang baik tetapi sebenarnya perkara itu tidak baik pun untuk masyarakat. Jadi jangan buat sesuatu itu berdasarkan apa yang kita fikir sahaja, kena ambil kira secara menyeluruh.
“Dalam soal ini pengalaman memainkan peranan penting, sebab ada segelintir daripada mereka ini masih muda dan tidak tahu kekuatan “netizen” itu sendiri. Jadi memang ada yang kena laluinya dahulu,” katanya.Sementara itu, pelakon ini masih menjadi rujukan peminat yang melihatnya sebagai antara artis yang boleh berkongsi masalah. Kata Ashraf dalam konteks ini dia sentiasa bersedia untuk membantu. Namun ada limitasi yang diletakkan dalam mengelakkan kekeliruan.
“Memang ada yang bertanyakan saya tentang masalah yang mereka hadapi. Tetapi saya hanya boleh berkongsi tentang apa yang sudah saya lalui saya, maksudnya melalui pengalaman saya.
“Soal agama memang saya tidak begitu pandai,” kata pelakon Bukan Cinta Malaikat ini.

Covid-19 ubah rutin

Bergelar bekas pesakit Covid-19, ketika ini Ashraf menggambarkan pengalaman yang dilaluinya sebagai satu titik perubahan buat kehidupannya. Malah dia juga melihat kehadiran pandemik itu adalah sebagai ujian buat manusia secara keseluruhan.
“Ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh selama tiga minggu untuk menjalani rawatan dan tempoh kuarantin memberi saya pengalaman baharu.Mungkin ada yang memikirkan bagaimana bosan berada dalam keadaan itu, tetapi bagi saya itulah nikmat yang saya cari selama ini.
“Sepanjang Ramadan, saya solat berjemaah selain mengisi masa dengan aktiviti lain seperti membaca al-Quran. Jujurnya pada mulanya, ada pesakit lain tidak tahu saya adalah seorang selebriti, jadi hubungan yang terjalin itu sangat ikhlas antara kami.
“Apa yang boleh saya katakan penyakit ini adalah ingatan buat kita semua, Allah tidak mengira sesiapa untuk dia beri ujian penyakit ini,” ceritanya.
Selain ujian kesakitan, antara yang turut menganggu Ashraf sepanjang bergelar pesakit Covid-19 juga adalah bagaimana dia terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta.
“Sebelum positif Covid-19 saya berada di Scotland untuk penggambaran drama, jadi tempoh penggambaran dan kuarantin menyebabkan saya tidak bertemu keluarga selama dua bulan.
“Tetapi berjauhan ini bukan satu perkara baharu sebab saya sebelum ini pernah juga berjauhan sebab menunaikan haji. Ikutkan ketika tahu saya positif dengan penyakit ini, perasaan untuk memberitahu kedua-dua isteri itu sangat sedih dan ralat. Bagaimanapun saya tahu keluarga juga faham apa yang berlaku.
“Selepas habis tempoh kuarantin bertemu dengan anak-anak adalah momen yang paling indah. Ketika itu memang tidak ada perasaan takut atau skeptikal dengan keadaan diri saya sebab anak-anak dan isteri saya juga langsung tidak takut untuk mendekati saya,” jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai pandangan orang ramai ketika dia positif wabak berbahaya itu, kata bapa kepada empat anak ini, dia pada mulanya takut dengan pandangan masyarakat.
“Bila saya positif dan dipindahkan ke hospital, memang saya terfikir juga pandangan jiran ketika itu. Tetapi perkara pertama saya maklumkan ke dalam grup perbualan melalui telefon yang menjelaskan keadaan sebenar.
“Risau juga fikiran orang, takut ada yang label saya akan jadi penyebab penyebaran wabak di kawasan itu. Tetapi Alhamdulillah semuanya selamat,” jelasnya

Bukan Ikon

Menyentuh beberapa kes keruntuhan rumah tangga yang membabitkan selebriti terutamanya pendakwah bebas sehingga mendapat kecaman masyarakat, ramai yang membayangkan Ashraf sebagai antara contoh terbaik dalam kehidupan berpoligami.
Malah ada yang menggelarkan dia sebagai antara ikon poligami yang perlu dicontohi. Namun, bagi suami kepada Dr. Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi dia tidak layak untuk apa-apa gelaran sementelah perkara ini terlalu subjektif.
“Bagi saya setiap yang berumah tangga perlu tahu tujuan dahulu. Kena tahu kenapa berkahwin satu atau dua. Berkahwinlah kerana Allah. Sebab dalam perkahwinan, apa yang perlu kita cari adalah ketenangan dan kebahagiaan.
“Dalam mana-mana perkahwinan akan timbul masalah, jadi apa yang saya belajar jangan pernah lari menghadapinya. Bila kita ambil mudah, kita cuba alihkan dengan bawa keluar berjalan-jalan memang lah gembira sekejap. Tetapi masalah itu akan datang lagi. Jadi belajar selesaikan setiap masalah sebab bila ia timbul kembali kita sudah tahu cara selesaikannya,” jelasnya.
Menolak menerima gelaran ikon poligami, pelakon drama Dia Menantu Rahsia ini apabila dihujani soalan mengenai keputusan untuk berpoligami, dia hanya menjawab ini adalah takdir.
“Fokus saya hanya untuk melalui kehidupan seperti biasa. Paling penting dalam perkahwinan bagaimana kita sendiri uruskan diri. Jika kita sendiri gagal, bagaimana mahu uruskan sebuah keluarga,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya