Budayakan rasa malu dalam media sosial - Utusan Malaysia

Budayakan rasa malu dalam media sosial

Media sosial wajar digunakan untuk perkara perkara positif-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin

Teknologi lahir daripada  pengetahuan saintifik manusia. Ia punya satu tujuan iaitu memudahkan kehidupan mereka. Salah satu keperluan penting manusia pula adalah maklumat, pengetahuan dan komunikasi sesama mereka.

Justeru, apabila komputer dicipta dan seterusnya gerbang jalur lebar dibuka oleh Tim Berners-Lee kepada dunia, ia mencetuskan satu revolusi baru yang memudahkan carian, penyimpanan dan perkongsian maklumat.

Mungkin teknologi terkini belum mampu dicapai seumpama yang ditunjukkan dalam filem Star Trek di mana jasad manusia mampu diteleportasi dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Walau bagaimanapun sejak penciptaan telefon, suara manusia telah mampu ‘diteleportasi’ ke tempat yang jauh. Bahkan dengan adanya komputer dan internet, jasad manusia mampu divisualkan secara maya ke segenap penjuru dunia.

Namun, seperti banyak kajian yang telah dilakukan, teknologi juga mengubah sikap dan perlakuan manusia. Apa yang pada awalnya dicipta untuk kemudahan akhirnya pada satu sisi memberi masalah.

Media sosial yang lahir hasil perkembangan teknologi maklumat telah melahirkan corak baru manusia dalam berkomunikasi dan berhubungan. Ia juga secara tidak langsung melahirkan sistem nilainya yang tersendiri untuk para pengguna mereka.

Penghargaan, sanjungan dan ‘ketampanan sosial’ kini dinilai kepada berapa banyak like, views dan share yang didapati oleh seseorang pengguna akaun. Justeru, pengguna media sosial berusaha melakukan apa sahaja demi mendapatkan nilaian sebegitu.

Ada yang sanggup melakukan perbuatan yang kontroversi, meluahkan kata cacian dan kejian atau berjoget dengan pelbagai aksi bagi menyahut challenge yang menjadi trend. Kesemuanya semata-mata demi mendapatkan ‘penghargaan’ pengguna yang lain.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperkenalkan apa yang disebut sebagai etika melayari internet yang diakronimkan kepada BIJAK.

‘B’ dengan maksud berbudi bahasa, bertanggungjawab dengan apa yang ditulis serta berhati-hati mengepos sesuatu ketika melayari internet. ‘I’ pula bermaksud interaksi dengan berhemah dan ‘J’ bermaksud jangan lakukan perkara di alam siber yang tidak anda lakukan di alam realiti serta jangan sebar maklumat tidak benar.

Manakala ‘A’ bermaksud amalkan penggunaan bahasa yang baik serta kawalan kendiri yang positif. Dan ‘K’ adalah kenal pasti rakan maya serta keselamatan internet harus diutamakan.

Lima kod etika ini sememangnya komprehensif dalam melahirkan pengguna media sosial yang berhemah. Walau bagaimanapun perlu disedari bahawa setiap kod etika memerlukan acuannya. Ia supaya ‘kod’ tersebut bukan sekadar memberitahu bahkan menyedarkan.

Kajian antropologi budaya membahagikan spektrum budaya manusia kepada budaya bersalah, budaya malu dan budaya takut (guilt–shame–fear spectrum of cultures). Islam disinonimkan dengan ajaran yang membudayakan rasa malu dalam kalangan penganutnya.

Walaupun klasifikasi sebegini tidak secara tepatnya menonjolkan keseluruhan ajaran agama ini apatah lagi terdapat aspek ganjaran dan hukuman di sebalik setiap amalan yang dilakukan, namun perlu diperhatikan bahawa aspek ‘rasa malu’ dalam Islam menduduki tempat yang tinggi dalam keyakinan.

Muslim yang mengimani kewujudan Allah turut merasai kehadiran-Nya dalam kehidupan mereka.

Justeru, terhalangnya seseorang Muslim melakukan suatu perbuatan, sama ada komen jelik di media sosial atau perilaku sumbang untuk dipertontonkan kesemuanya ditapis dengan malunya mereka terhadap Allah yang Maha Mengawasi setiap tindak tanduk mereka.

Rasa bersalah mungkin hanya dapat terbit selepas sesuatu perilaku dilakukan namun rasa malu bersifat penghalang kepada manusia untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama.

Atas asas tersebut sabdaan Rasulullah SAW bahawa malu sebahagian iman seperti yang diriwayatkan dalam Bukhari dan Muslim adalah bermaksud sifat malu menghalang seseorang melakukan maksiat, dan mendorongnya melakukan taat dan ibadat.

Begitu juga hadis, “dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya,” seperti yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmidzi boleh diterapkan ketika melayari internet serta menjadi seumpama acuan kepada kod etika yang digariskan SKMM di atas.

Hati secara fitrahnya mampu mengetahui sesuatu perbuatan itu keji jika ia menimbulkan rasa gelisah diri. Dalam masa yang sama, nilaian perbuatan itu perlu dipertimbangkan jika kita sebolehnya tidak mahu menunjukkan apa yang kita lakukan di alam siber sama seperti di dunia realiti.

Komen mencela, mengutuk dan mengeji orang lain mungkin boleh diselindungi di sebalik tembok maya namun ingatlah ada Tuhan yang memerhati kita dan malaikat yang mencatat amal.

Populariti, penghargaan dan sanjungan bukan untuk dicari tetapi sebaliknya akan sendirinya dimiliki jika kita berhemah dan berbudi.

Justeru, rasa bertuhan bukan sekadar hanya waktu bersolat dan berdoa tetapi juga perlu dirasai sewaktu jari jemari di papan kekunci dan wajah sendiri ditayangkan di skrin. Dengan itu rasa malu akan mendahului berbanding inginkan populariti.

Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya