Bersihkan sampah sungai secara automatik - Utusan Malaysia

Bersihkan sampah sungai secara automatik

Norshahrizal Nordin (kiri) dan Ridzwan Razali memeriksa komponen AL:BS sebelum memulakan operasi pembersihan sampah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat dan kepakaran yang dimiliki merupakan aset yang dimanfaatkan sebaiknya. Menggilap minat menjadi kerjaya, seorang pereka tempatan, Norshahrizal Nordin bermula menceburi perniagaan pada 2006 dengan mereka bentuk, memperbaiki dan menghasilkan barang-barang kejuruteraan untuk kilang-untuk kilang di sekitar Shah Alam, Selangor selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Produk yang dihasilkan berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran, mengurangkan downtime dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga kerja pada kos yang rendah.

Pada 2008, beliau berjaya mendaftarkan sebuah produk dan sistem teknologi maklumat (IT) berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC).

Sebelum itu, beliau bekerja sebagai jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D) di beberapa vendor syarikat pengeluar automatif tempatan selama enam tahun.

“Saya mula memperbaiki dan mengubah permainan rakan-rakan yang rosak ketika dibangku sekolah rendah. Ayah seorang jurutera enjin kapal di Lembaga Pelabuhan Klang dan saya mula membaca buku-buku kejuruteraan sejak sekolah rendah,” katanya yang meminati bidang kejuruteraan mekanikal dan menolak tawaran jurusan lain yang ditawarkan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau menjadikan projek akhir tahun sebagai inovasi pertama sebelum menceburi bidang pekerjaan.

Penglibatannya itu menjadi titik tolak bagaimana beliau mengorak langkah lebih jauh membangunkan mesin Perangkap Sampah Terapung Automatik (ALBS) iaitu alat perangkap sampah untuk digunakan di sungai dan tali air.

Kerja-kerja R&D sistem tersebut dimulakan sejak tahun 2015. Pada tahun 2016, beliau membangunkan dua unit ALB yang diuji di dua lokasi di Pasir Salak, Perak dan terbukti sangat berkesan dalam kerja-kerja membersihkan sampah terapung di sungai dengan cepat dan mudah.

Sebuah lagi mesin yang terbaharu sedang diuji di Sungai Rasau, Pulau Meranti, Cyberjaya,

Mesin tersebut dibangunkan dengan struktur logam dan mempunyai alat khas atau rotating yang mengalih dan mengumpulkan sampah di satu tempat dan eskalAtor yang berfungsi mengangkat sampah keluar daripada sungai.

“Sebuah mesin berharga kira-kira RM500,000 bagi sungai berkelebaran antara 15 hingga 20 meter (m), tidak termasuk kos-kos sampingan. Konsep kami adalah memberi (mesin) percuma kepada kerajaan dengan syarat kontrak penyelenggaraan dianugerahkan kepada kami atau syarikat lain yang telah ditauliahkan.

“Syarikat berkenaan perlu mempunyai kepakaran teknikal dan diberikan hak untuk menyelenggara sistem ALBS,” ujarnya.

Kata beliau, bagi memenuhi harapan dalam mempertingkatkan kecekapan dan penjimatan dana kerajaan, syarikatnya N & Associates Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2016 menawarkan bantuan khususnya melalui pelaburan infrastruktur berteknologi moden dan terkini.

Pelaburan tersebut bertujuan untuk menaik taraf perangkap sampah konvensional sedia ada di kesemua kawasan sungai atau saliran di seluruh negara menerusi Dana Pembiayaan Swasta (PFI) iaitu kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh syarikat beliau.

“Oleh yang demikian, bagi mengelakkan sistem tersebut disabotaj dan tidak diselenggara atau dioperasikan dengan baik, kami mensyaratkan agar syarikat diberikan hak eksklusif untuk melakukannya.

“Kami juga menawarkan pengurangan kos pengoperasian pembersihan sungai antara 20 peratus sehingga 50 peratus menerusi pemberian kontrak bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun atau sehingga pakej perpindahan teknologi tersebut lengkap,” ujar beliau.

Sebelum ini (kerajaan terdahulu), beliau telah membentangkan mengenai pembangunan mesin tersebut kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan telah ditawarkan geran R&D oleh kementerian berkenaan bagi tujuan untuk menaik taraf reka bentuk dan mengkomersialkan sistem ALBS tersebut.

Menurut Norshahrizal, penggunaan ALBS ketika ini amat penting berdasarkan beberapa faktor iaitu penggunaan tenaga elektrik yang rendah.

Menurut beliau, ALBS hanya menggunakan 15 kilowatt (kWh) tenaga berbanding kaedah lain yang menggunakan antara ­35 hingga 122 kWh.

ALBS ciptaan beliau ini juga merupakan produk rendah karbon dan menepati ciri-ciri teknologi hijau.

Justeru beliau berharap, supaya kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya atau satu jawatankuasa pemerkasaan inovasi tempatan. Ini kerana inovasi tempatan tidak menawarkan pakej-pakej kewangan yang istimewa sebagai mana produk yang diimport.

Menurut beliau, produk tempatan juga perlu dibentangkan dan diperdebatkan bagi mengenal pasti faedah dan nilai sebenar sesuatu inovasi, kerana bukan semuanya boleh dikategorikan sebagai inovasi.

“Sebahagian besar idea yang diuar-uarkan sebagai inovasi sebenarnya hanyalah satu kreativiti atau penggunaan teknologi luar yang telah lama digunakan di luar negara dan diangkat sebagai inovasi di negara ini.

“Inovasi juga boleh disalahgunakan untuk mengiktiraf produk-produk yang bertentangan dengan prinsip inovasi.

“Perkara ini perlu dibanteras dengan mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa pemerkasaan inovasi tempatan,” kata beliau lagi.

Purim mahu bantu komersialkan inovasi tempatan

Kesungguhan Norshahrizal Nordin membangunkan inovasi tempatan bukan setakat melakukan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata, tetapi beliau mahukan supaya hasil penyelidikan tersebut diangkat menjadi produk yang menjana keuntungan.

                                                           Norshahrizal Nordin

Buktinya, beliau berjaya menubuhkan Persatuan Usahawan Reka Cipta dan Inovasi Malaysia (Purim) pada tahun lalu yang menjadi penggerak kepada hasratnya menjadikan inovasi tempatan sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

“Kita dapati inovasi tempatan gagal dikomersialkan antaranya disebabkan stigma masyarakat yang mengagungkan produk luar (negara) sedangkan kita mempunyai produk sendiri,” ujar beliau.

Ramai mendakwa menghasilkan inovasi sendiri sedangkan ia berkemungkinan hanyalah memasangnya sahaja dan ini tidak memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia memandangkan proses pemindahan teknologi tidak berlaku.

Justeru, beliau berpendapat kerja-kerja pereka cipta di negara ini makin mencabar dan semua pihak perlu memainkan peranan menyokong usaha memartabatkan inovasi tempatan.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana negara di dunia yang memindahkan teknologinya kepada negara lain seratus peratus kerana mereka juga bertungkus lumus memperolehinya.

“Justeru kita mahu bertindak sebagai pemudah cara dan kita sepatutnya menjadi pengeluar teknologi, mengarusperdanakan hasil kreativiti dan inovasi rakyat Malaysia , “ ujarnya yang menjadi pengerusi persatuan tersebut.

Purim yang mempunyai kira kira 150 ahli terdiri daripada pereka cipta dan mereka yang menyokong usaha membangunkan inovasi tempatan ditubuhkan bagi membantu usahawan mengembangkan idea reka cipta dan inovasi dengan cara yang betul dan mengikut lunas undang-undang.

Purim juga membantu mereka yang mempunyai idea kreatif dan reka cipta yang inovatif untuk merealisasikanmya kepada prototaip yang boleh berfungsi mengikut spesifikasi yang melebihi standard sedia ada.

“Purim juga memperjuangkan hak inovasi tempatan untuk dimartabatkan kedudukan nya sebagai satu karya seni yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara menerusi pengkomersialan domestik dan luar negara,” katanya.

Dalam masa sama, Purim bercadang berkempen ke seluruh negara bagi menggalakkan pelajar supaya memilih bidang sains dan reka cipta dan menjadikan kerjaya tersebut sebagai pilihan.

Beliau mengakui terkejut apabila bertanya soalan kepada pelajar apakah cita cita mereka nanti, jawapan yang diterima adalah mahu menjadi penyanyi pelawak atau pemain bola.

“Kita berkemungkinan akan ketandusan saintis inovasi dan jurutera (akan datang ),” katanya.

 

Kelebihan ALBS
» Menggantikan kaedah pembersihan sungai yang menggunakan jengkaut (excavator log arm) dan trash rake kepada sistem automatic escalator.
» Menggantikan perangkap sampah jenis manual log boom yang memerlukan tenaga manusia untuk menolak sampah rapat ke tebing sungai kepada automatic log boom yang merapatkan sampah ke tebing sungai secara automatik.
» Mengelakkan penyebaran penyakit bawaan air kotor dari sungai-sungai tercemar akibat kerja pembersihan sungai.
Mengelakkan pekerja terdedah kepada bahaya binatang buas seperti buaya dan ular.
» Menjimatkan kos penyelenggaraan daripada 50 peratus hingga 80 peratus kerana kos tersebut diserap kedalam kos pengoperasian ALBS.
» Memastikan sampah yang diperangkap oleh ALBS dapat dikeluarkan dari sungai dalam masa kurang 12 jam bagi mengelakkan pencemaran mikro plastik kedalam ekosistem akibat terendam di dalam air terlalu lama.
» Boleh beroperasi 24 jam sehari.
» Cepat dan boleh mengeluarkan sampah sebanyak satu tan dalam masa kurang lima minit.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya