Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) baru-baru ini membangunkan penyelidikan mengenai potensi air hujan untuk kegunaan sebagai air minuman berbungkus (pembotolan air hujan).
Inisiatif ini dijayakan oleh Penyelidik di Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim, NAHRIM menerusi pelaksanaan Projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dan Inkubator Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Hujan Terawat.
Objektif kajian adalah untuk mengumpul, merawat dan membotolkan air hujan sebagai air minuman yang mematuhi Spesifikasi Piawai Air Minuman Berbungkus oleh Kementerian Kesihatan.
Lokasi tadahan air hujan yang menggunakan SPAH NAHRIM ini adalah pada bumbung tadahan air hujan pejabat agensi tersebut di Seri Kembangan, Selangor dan bumbung tadahan air hujan di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.
Air hujan daripada kedua-dua sumber diproses dalam Inkubator AMB yang dibina di NAHRIM.
Produk akhir air minuman daripada sumber Kuala Tahan dinamakan Raindrops manakala air minuman dari sumber tadahan NAHRIM dinamakan Cloudrain.
Lesen AMB bagi kedua-dua jenama ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan pada 21 September 2018. NAHRIM perlu memastikan jaminan kualiti air minuman daripada air hujan yang dihasilkan mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Puluh Lima bagi AMB dan mendapat akreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Sehingga kini, NAHRIM memantau kualiti pemprosesan air hujan terawat dan membuat penambahbaikan berterusan ke atas fasiliti, peralatan serta tenaga kerja bagi memastikan produktiviti dan jaminan kualiti bagi tujuan pengkomersialan produk minuman air hujan berbungkus pertama negara dapat direalisasikan.
Dispenser air hujan terawat NAHRIM
NAHRIM Direct Rainwater Dispenser diilhamkan yang oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh dalam usaha agensi tersebut memperkenalkan produk minuman air hujan terawat sebagai pilihan alternatif kepada produk-produk minuman berbungkus yang sedia ada di pasaran kini.
Mesin tersebut mempunyai dwifungsi dalam menyediakan air panas dan sejuk, sama seperti mesin dispenser air konvensional lain yang berada di pasaran.
Namun keistimewaannya ialah air yang dibekalkan bersumberkan air hujan terawat.
Bekalan air hujan terawat ini diproses di Inkubator Air Minuman Berbungkus NAHRIM, Seri Kembangan, Selangor. Dua produk akhir yang dihasilkan di inkubator ini dijenamakan sebagai Raindrops dan Cloudrain.
Produk NAHRIM Direct Rainwater Dispenser dilancarkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 11 Jun lalu, yang dihadiri oleh timbalannya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad semasa lawatan rasmi beliau ke NAHRIM.
Sebagai pengenalan, produk ini telah dibekal pasang di pejabat pengurusan tertinggi kementerian berkenaaan, di Parcel F, Putrajaya dan di Bangunan Parlimen.
Selain pemasangan di bangunan kerajaan, NAHRIM juga merancang untuk memasang dispenser ini di sekolah-sekolah, klinik dan rumah anak yatim yang terpilih. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai di samping mempromosi dan kempen kesedaran potensi air hujan yang boleh dimanfaatkan.
Terkini, NAHRIM sedang dalam proses mereka bentuk jaringan sistem perpaipan secara terus dari tangki simpanan air hujan terawat yang terletak di Inkubator AMB ke dispenser air yang bersaiz kompak.
Produk daripada sistem ini dinamakan NAHRIM Direct Rainwater Dispenser. Sistem tersebut dilihat lebih efektif iaitu bekalan air minuman tidak akan terputus kerana disalurkan terus dari tangki di inkubator.
Fungsi mesin dispenser ini telah ditambah baik dengan pemasangan sensor penetapan suhu yang dikehendaki dengan hanya menekan touch button.
Untuk maklumat lanjut hubungi Ir. Azman Mat Jusoh ([email protected] atau [email protected]), Pengarah Pusat Kajian Sumber Air & Perubahan Iklim, NAHRIM.