Seronok ke wayang pandu masuk (drive in cinema) yang diadakan buat kali pertama di Malaysia? Rasa teruja dan tidak sabar bercampur-campur dalam benak fikiran. Maklumlah pengalaman itu sesuatu yang baharu bagi penduduk negara ini.
Walaupun panggung wayang dibenarkan kembali beroperasi sejak Julai lalu, namun persekitarannya yang gelap dan tertutup agak membimbangkan.
Sebelum ini, menonton wayang di dalam kereta banyak dilihat daripada filem Hollywood.
Penularan Covid-19 bagaikan mimpi menjadi nyata. Impian kita untuk menonton wayang di dalam kereta telah pun menjadi kenyataan.
Maka, muncullah konsep panggung wayang pandu masuk pertama di negara ini yang diadakan di M-Junction, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) , Jalan Ampang.
Program tersebut adalah hasil kerjasama Twospicy Entertainment Live dan MD Events Asia.
Sebelum itu, ia menjadi bualan di media sosial kerana orang ramai tidak sabar untuk menikmati pengalaman menonton wayang di dalam kereta masing-masing buat kali pertama.
Tayangan selama tiga jam itu tidak bererti penonton hanya duduk dalam kereta, sebaliknya mereka bebas untuk ke tandas atau bersolat.
Lebih menarik, sekiranya berasa lapar, dan perlukan makanan, apa yang perlu dilakukan ialah membuat pesanan makanan dengan mengimbas kod yang diberi dan membayar secara dalam talian.
Harga tiket bermula daripada RM99 bagi setiap kereta, sementara pakej orang kenamaan (VIP) berharga RM159 termasuk makanan dan minuman.
Menerusi tiket VIP, penonton dapat duduk di dua barisan hadapan. Walau bagaimanapun hanya dua orang dibenarkan berada di dalam sebuah kereta bagi menjaga penjarakan fizikal.
Meskipun konsep tersebut nampak okey, masih ada kelemahan kerana beberapa sebab antaranya termasuklah cuaca panas yang merimaskan.
Dari satu segi, harga agak mahal berbanding biasa tetapi berbaloi kerana dapat menikmati udara dan permandangan indah.
Sementara itu, Pengurus Twospicy Entertainment Live, Arvin Randahwa, berkata industri hiburan antara yang terkesan akibat wabak berkenaan.
Katanya, dalam usaha menyelamatkan pekerjaan dan industri serta menjana ekonomi, pihaknya memutuskan untuk menganjurkan panggung wayang konsep seperti itu.
“Ia bukan sahaja perlu bagi memenuhi norma baharu, sebaliknya produk ini turut kami hasilkan sesuai dengan keadaan sekarang.
“Bagi memberi kepuasan kepada penonton, kami turut menyediakan pembesar suara yang dipasangkan di dalam kenderaan manakala kipas angin turut diberikan kepada setiap kereta,” katanya.
Sekiranya perlu penonton, mereka boleh merujuk jadual filem dan membeli tiket di laman sesawang www.mjunction.com.my.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pihaknya akan meneliti dan memperhalusi Lesen Pemameran Filem (EF) bagi sektor pawagam pandu masuk seiring pengamalan normal baharu susulan pandemik Covid-19 tersebut.
Ahmad Idham berkata perkara itu perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan kandungan filem yang bakal ditayangkan supaya tidak menjadi mangsa cetak rompak.
“Kita mungkin akan menggubal atau melakukan beberapa penambahbaikan terhadap lesen berkenaan untuk disesuaikan dengan jenis tayangan sebegini.
“Sehingga hari ini, kita masih belum ada keputusan muktamad,” katanya yang dipetik oleh Bernama.
Persediaan sebelum mencuba:
» Pakai baju yang nipis dan selesa.
» Bawa bateri mudah alih (powerbank) atau kipas sendiri .
» Tidak boleh keluar daripada kereta selain pergi ke tandas.
» Bawa plastik sampah sendiri untuk membuang sampah