SEKITAR 1960-an, terdapat kira-kira 40 bengkel pembuatan atap tradisional daripada tanah liat mineral di sepanjang tebing sungai di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, Kelantan.
Difahamkan, Kampung Pengkalan Baru adalah satu-satunya lokasi penghasilan atap Singhora di negara ini. Setelah 60 tahun berlalu, kini hanya tinggal sebuah perusahaan yang aktif.
Walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis atap genting moden, atap Singhora atau lebih dikenali sebagai atap bata tradisional dalam masyarakat Pantai Timur masih berdaya maju dan mampu bertahan.
Noraini Jusoh, 54, kini merupakan pengusaha tunggal di Kampung Pengkalan Baru. Dia mewarisi kemahiran membuat atap bata daripada keluarganya yang menjalankan perusahaan tersebut sejak turun temurun.
Noraini merupakan generasi kelima yang memanfaatkan kepakaran tradisional dan satu-satunya usahawan kraf wanita yang masih mampu bertahan dan berjaya mengharungi pasaran semasa di bawah Syarikat Nadik Resources.
Menurutnya, generasi masa kini memang tidak mengetahui cara pembikinannya walaupun suatu ketika dahulu keseluruhan rumah Melayu dan Siam di Kelantan menggunakan bata Singhora sebagai atap rumah masing-masing.
“Sekarang pun, kebanyakan pekerja yang mengambil upah membuat bata adalah dalam kalangan wanita berumur 50 tahun ke atas dan tidak ada orang muda yang tampil, sekali pun untuk bekerja secara sambilan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, baru-baru ini.
Noraini berkata, bata terhasil daripada tanah liat yang diuli lumat menggunakan mesin khas menjadi ketulan tanah liat lembut sebelum diletakkan di atas acuan kekuda kayu.
Ketulan tanah liat itu terpaksa dimampatkan menggunakan kedua-dua belah kaki sebelum dipotong menggunakan pemotong khas dengan saiz ketebalan kira-kira satu sentimeter (sm).
Hasil bata yang masih lembut dikeluarkan daripada acuannya disusun dan dijemur untuk tempoh tiga bulan sebelum dibakar.
Noraini berkata, produk daripada tanah liat itu masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna berikutan harganya yang berpatutan serta nilai estestika seni krafnya yang tersendiri.
Katanya, ia masih digunakan sebagai atap rumah dalam kalangan pencinta kraf, atap untuk seni bina tradisional seperti wakaf dan gazebo.
“Abu sekam padi bakar digunakan untuk mengelakkan tanah liat melekat pada acuan kayu. Dawai digunakan sebagai pemotong untuk membuang lebihan tanah liat.
“Teknik memijak mesti dilakukan untuk memadatkan tanah pada acuan. Pekerja pastinya akan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki ketika bekerja,” katanya.
Bagi menghasilkan atap Singhora yang berkualiti, ia akan dibakar selama 240 jam atau 10 hari pada suhu 800 darjah celsius. Jangka masa yang sama juga diambil untuk proses penyejukan bata di dalam tanur.
“Lazimnya, 40,000 keping bata Singhora dibakar sekali gus dalam tanur (Gok) pada satu-satu masa.
“Kudrat lelaki sebagai pekerja sambilan digunakan bagi mengangkat dan menyusun bata untuk dibakar. Bahan api yang digunakan hanyalah kayu getah yang dibeli khas,” katanya.
Pada tahun 2014, Noraini diberi pengiktirafan sebagai Tukang Ulung oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bagi memartabatkan kemahiran dan kegigihannya dalam meneruskan perusahaan penghasilan atap Singhora.
Bantuan daripada Kraftangan Malaysia sebanyak RM70,000 diterimanya termasuk mesin pelumat tanah liat daripada Universiti Malaysia Kelantan.
“Saya masih mampu bertahan kerana bekalan mentah iaitu tanah liat berhampiran sungai air masin masih mencukupi.
“Saya membeli sekeping tanah dengan keluasan 0.03 hektar berharga RM25,000 beberapa tahun lalu (untuk menjalankan perusahan),” katanya.
Harga sekeping atap Singhora berukuran 12.7 sm lebar dan 25.4 sm panjang yang dahulunya adalah 35 sen sekeping, kini dijual 90 sen sekeping.