Variasi lagu indie - Utusan Malaysia

Variasi lagu indie

Sekumpulan Orang Gila antara kumpulan yang akan memberi cabaran dalam ALI 2020
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAR dan bervariasi! Itu yang boleh dikatakan tentang senarai pendek 200 lagu terbaik Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 yang diumumkan Selasa lalu.

Daripada nama sebesar Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah sehingga kumpulan yang ‘orang tak kenal’ seperti Blocksevenfive dan Crinkle Cut, kesemuanya mempunyai peluang setara untuk mara ke separuh akhir, ALI bermula 28 Ogos ini.

Kesemua 200 lagu tersebut berjaya melepasi saringan awal yang dilakukan oleh penganjur yang nyata berusaha keras dalam menilai sebanyak 630 buah lagu yang diterima pada peringkat pencalonan.

Antara nama besar tersenarai adalah SOG, Orkes A. Hizadin, The Impatient Sisters, Loko dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Kuasa underdog

Penyertaan daripada kumpulan dan penyanyi yang sebelum ini tidak begitu dikenali mahupun dalam komuniti indie, nyata menjadi sebutan. Antaranya kugiran alternatif-indie Fugo yang baru ditubuhkan pada Disember lalu.

Walaupun masih ‘hijau’, kugiran itu berjaya menempatkan tiga lagu dalam senarai pendek, iaitu Waiting, Di Sampingmu dan Adonim.

Begitu juga dengan Langkasuka. Mereka mempertaruhkan dua lagu iaitu Langkasuka dan Sang Biru. Bunyian klasik urban, dibawakan oleh mereka sangat segar dan pastinya menjadi suatu kelebihan menambat hati juri.

Namun, underdog yang dilihat paling berpotensi mara peringkat lebih jauh adalah A. Limin dan Faris Fuad & Konfederates (FFK). Sebetulnya, sukar meletakkan taraf underdog kepada kedua-dua kugiran ini, namun ternyata mereka masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

FFK contohnya, membawa nuansa segar dalam industri muzik Malaysia menerusi alunan jazz atau pop dalam lagu Aneh sepatutnya sudah boleh menolak mereka masuk ke arus perdana.

Begitu juga A. Limin yang lebih kompleks muziknya namun mempunyai keindahan tersendiri. Hanya satu lagu mereka layak dalam senarai pendek iaitu Gentayangan, namun satu lagu itu sudah cukup untuk menggentarkan hati saingannya yang lain.

Comeback orang lama

#ALI2020 juga nampaknya menjadi medan untuk ‘orang lama’ membuat kemunculan semula.

Antaranya ialah Blocksevenfive. Dianggotai bekas gitaris kumpulan Roti, Amran Kamaruddin. Amran sendiri sudah lama menyepi daripada dunia muzik namun dua lagu ciptaannya berjaya disenarai pendek, iaitu Port Dickson dan Perawan Anonymous.

Bekas rakan sekugiran Amran, Aliff Hassan pula kembali aktif bersama kugirannya, The Alif. Alif mempertaruhkan lagu Kisah Cinta Yang Tak Diduga hasil kolaborasinya bersama Kamelia Syermain.

Begitu juga dengan penampilan semula kugiran Joy92 yang lebih 10 tahun lalu popular dalam kalangan komuniti indie dengan lagu Hey! Kali ini mereka mempertaruhkan lagu Pedoman ciptaan oleh mereka sendiri dan lirik oleh Zamzarin dan Zulzaidi.

Variasi genre

Bukan hanya fokus pada muzik berasaskan rock, lagu bergenre hip hop turut mendominasi pencalonan dengan nama-nama seperti Gard Wuzgut, QYO dan Sxph. Masing-masing mempertaruhkan tiga lagu dengan Sxph berjaya menempatkan dua lagu nyanyiannya dalam senarai pendek.

Justeru, inilah masa terbaik buat peminat meneroka bakat-bakat hip hop di Malaysia yang berada di luar lingkungan K-Clique, Joe Flizzow, Altimet dan Malique.

Selain itu, bagi penyanyi-pencipta lagu, Megat Fazly yang popular bersama kumpulan Mafidz berjaya menempatkan tiga lagu solonya dalam senarai pendek sebagai petanda baik bagi karier solo beliau yang baru bermula.

Memperlihatkan persaingan sengit, pastilah tugas berat menanti para juri bagi menapis 200 lagu yang disenarai pendek. Siapakah yang bakal bersaing di separuh akhir? Siapa pula akan ke peringkat akhir lalu merangkul gelaran juara #ALI2020? Sama-sama kita nantikannya.

Anugerah Lagu Indie (ALI)
» 200 lagu yang disenarai pendek, hanya 30 lagu akan terpilih ke peringkat separuh akhir yang akan diadakan selama tiga minggu pada 28 Ogos, 4 September dan 11 September.
» 12 lagu akan bersaing pada peringkat final, pada 26 September bagi merebut gelaran juara ALI.
» Membabitkan tujuh orang juri, antaranya Jennifer Thompson,Fly Halizor dan Ad Samad.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya