Tolong jangan guna nama MAY lagi – Man - Utusan Malaysia

Tolong jangan guna nama MAY lagi – Man

Mohd. Sharip Yaacob MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keretakan sebuah kumpulan muzik kebiasaannya berpunca daripada sikap anggota yang tiada sefahaman. Keluar membawa haluan adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan apatah lagi jika sudah dikenali dan mampu bergerak sendiri. Populariti, usia dan kematangan sesebuah kumpulan tidak boleh dijadikan ukuran. Semuanya terletak pada niat sendiri.

Kumpulan MAY yang satu ketika dahulu terkenal dengan lagu Sendiri dan Gadis Bertudung Putih juga tidak terkecuali terkena tempiasnya. Walaupun nama MAY masih gah dalam kalangan peminat muzik rock, namun pengunduran penyanyi utamanya, Mus baru-baru ini menimbulkan sedikit ketegangan.

Tiga orang anggota asalnya iaitu Man, Abu dan Yus dikatakan masih tidak berpuas hati dan sering menzahirkan rasa terkilan mereka terutamanya dalam media sosial.

Bagi mereka pengunduran Mus bukanlah satu masalah besar, namun ketidakpuasan itu lahir apabila bekas penyanyi tersebut masih menggunakan nama MAY untuk setiap persembahan pentasnya ketika ini.

Baru-baru ini bertempat di Backpacker Chokodok Reggae House Ipoh, Perak, Man selaku pemain dram, mewakili suara anggota MAY lain sempat meluahkan kecelaruan itu bersama Mingguan Malaysia.

“Ramai peminat tak tahu sebenarnya Mus bukanlah anggota asal kumpulan MAY, dia masuk selepas kami bertiga menubuhkan kumpulan ini. Kami audition dia dan ambil jadi penyanyi. Dia sendiri tahu perkara ini, jadi dia bukan pengasas.

“MAY adalah hak milik kami bertiga, jadi Mus janganlah kaitkan dirinya dengan MAY lagi. Kalau dia rasa nama dah cukup kuat dia boleh bergerak dengan nama sendiri. Kami pun tak pernah kaitkan nama dia dalam setiap persembahan MAY sekarang ni.

“Sebelum ini pun dia pernah dua kali keluar dari MAY dan masuk semula, takkan dia tak belajar daripada pengalaman lalu? katanya.

Menurut empunya nama Mohd. Sharip Yaacob ini, faktor pengunduran Mus dikatakan berpunca daripada masalah kesihatannya, namun Man mempertikaikan alasan tersebut kerana menurutnya jika benar Mus ingin berehat dari menyanyi dia tidak mungkin memenuhi jemputan persembahan termasuk di sebuah stesen tv baru-baru ini.

“Pada mulanya kami faham dan akur sebab sebelum ini memang dia terlantar sakit di hospital, dia pun ada beritahu tak mampu lagi menyanyi macam dahulu untuk satu show yang panjang di pentas, tapi bagi kami banyak cara lain untuk selesaikan masalah itu contohnya, mungkin kita boleh perform lima, enam lagu sahaja untuk setiap show dan turunkan sedikit key jika tak mampu nak guna high pitch macam dulu.

“Tapi bila dia tetap kata nak keluar kami tak boleh halang. Mungkin dia ada plan sendiri dan faktor kesihatan tu hanya sebagai alasan. Tapi yang buatkan kami tak puas hati dia tetap jaja nama MAY dalam setiap persembahannya. Untuk apa?

“Kenapa perlu bertongkatkan nama MAY? Dahulu dia pernah menganggotai kumpulan Strangers dan Wings, jadi kenapa tak guna nama Mus Strangers atau Mus Wings?

“Kami bertiga tak kisah dengan pengundurannya kerana sebelum ini pun dia pernah dua kali keluar dari MAY, tapi tolong jangan kaitkan diri dengan menyanyikan lagu-lagu MAY lagi. Kalau dia nak nyanyi pun pastikan dia nyanyi lagu yang dia cipta sendiri, jika tidak dia boleh nyanyikan lagu-lagu dari album solonya sebelum ini,” katanya.

Mewakili rakan seperjuangan lain, Man mengakui mereka bukanlah bersikap kejam dan zalim terhadap Mus malah persahabatan yang terjalin antara mereka sudah terlalu lama, keakraban mereka sudah seperti adik beradik, namun adakalanya prinsip perlu diutamakan memandangkan ini adalah periuk nasi mereka.

“Kita semua ini dah ‘senja’. Kami anggota MAY ini bukan tiada hati perut. Kami masih boleh bertolak ansur. Kami berkawan bukan sehari dua, namun bila melibatkan isu ini Mus kena faham, dia sudah tak boleh lagi ‘bertongkatkan’ nama MAY, Dia kena bergerak sendiri. Kalau guna nama bekas penyanyi MAY, kami boleh terima lagi.

“Sekarang ini kami jalan terus. Perjuangan MAY tetap diteruskan. Tiada Mus bukan bermakna MAY mati. Sebelum ini pun masa Mus tinggalkan MAY kami tetap ‘hidup’ dan teruskan perjuangan bersama vokalis Yantzeen dan Oney, jadi pengunduran penyanyi ini sudah lumrah buat kami,” tegasnya.

Dah ada pengganti Mus

Pengunduran Mus tidak memberikan masa lama untuk kumpulan MAY mencari pengganti. Walaupun pilihan mereka bukanlah individu yang dikenali, namun mereka merasakan penyanyi baharu ini mampu menggalas tugas untuk meneruskan kegemilangan kumpulan ini.
Menurut Man, pemilihan penyanyi baharu yang dikenali sebagai AG atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Kamaruddin, 41, cukup menepati kriteria yang mereka inginkan.

“Saya mengenali AG ini sejak sembilan tahun lalu ketika dia beraksi dengan sebuah kumpulan dalam pertandingan nyanyian Battle of The Band di Lanchang, Pahang. Waktu itu saya ada ambil nombornya, tapi disebabkan terlalu lama nombornya hilang pula, nasib baik jumpa di Facebook, terus saya hantar pesanan dan offer dia untuk datang audition.

“Saya lihat AG ni mampu menyanyi non-stop dan langsung tak pancit. Ciri-ciri inilah yang kami mahukan walaupun ada yang mengatakan lenggok dan teknik nyanyiannya seperti Mus.
“Saya beritahu dia tak dapat ubah tone tu, tapi cuba ubah dari segi showmanship dan cara berinteraksi dengan penonton. Saya tak mahu orang label dia copyright Mus pula. Dia kena ada originality sendiri, dan alhamdullillah dia dah boleh sesuaikan diri sekarang ini,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, kumpulan MAY sedang dalam perancangan menerbitkan single terbaharu dan pertunjukan pentas di Ipoh, Perak bersama kumpulan rock gergasi Bumiputra Rockers (BPR) dan Kris.

“Jika tiada aral melintang mungkin MAY akan keluarkan single terbaharu Oktober ini. Konsep tetap sama seperti MAY yang dahulu iaitu satu lagu moderate dan satu lagu fast. Dari segi arrangement dan melodi kami takkan lari dari konsep asal, kerana itulah MAY. Jadi kena kekalkan ‘bau’ MAY itu.

“Dan ikutkan rancangan asal pada 10 Oktober ini MAY akan beraksi bersama BPR dan Kris. Lokasinya di Tepian Gelanggang bersebelahan Stadium Indra Mulia, Ipoh. Bagaimanapun kami masih menunggu kata putus daripada penganjur kerana negara masih berhadapan wabak Covid-19 ini. Kami tak mahu nanti tiba-tiba ada pula kluster MAY,” katanya mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya