AHMAD FAZRIN YAHAYA
Sehingga sekarang saya masih berhubung untuk bertanya khabar dan bertukar maklumat dengan rakan-rakan dari Afrika (pensyarah universiti) dan Kemboja (pegawai di Pejabat Mufti Kemboja) setelah kami berkenalan semasa dijemput menjadi peserta ‘Program Tetamu Pelayan Dua Kota Suci’ mengerjakan haji pada 2017.
Kebiasaannya saya hanya menguruskan para tetamu di Malaysia sahaja, tetapi pada tahun tersebut saya dijemput bersama isteri sambil menjadi koordinator kepada 40 jemaah tetamu dari Malaysia.
Program yang diperkenalkan secara rasmi sejak 1417H oleh Raja Fahd Abdul Aziz Al Saud ini telah pun mencecah usia 23 tahun. Program yang menghimpunkan ribuan jemaah haji serata dunia saban tahun ini secara jelas bertujuan mendekatkan lagi silaturrahim sesama pimpinan umat Islam.
Ia juga untuk memperkenalkan para tetamu tentang wasatiyyah Arab Saudi dengan lebih dekat dan memberi peluang kepada mereka saling bertukar pengalaman serta pandangan tentang hal ehwal umat Islam seluruh dunia.
Malaysia telah menyaksikan ramai tetamu yang memenuhi jemputan Diraja ini dari kalangan tokoh-tokoh negara. Sudah tentu keutamaan ialah tokoh-tokoh agamawan terdiri daripada para mufti, pimpinan jabatan-jabatan agama, para imam masjid, para aktivis dakwah kepada bukan muslim, para pensyarah universiti, pimpinan NGO Islam termasuklah pimpinan dari kalangan bekas menteri, penasihat khas menteri, dan pegawai-pegawai kanan lain.
Program ini juga saban tahun menerbangkan ratusan hingga ribuan ahli keluarga para syuhada Palestin. Jika kita masih ingat beberapa tahun lepas telah tular video si ibu dari Palestin yang merupakan salah seorang tetamu diraja dipertemukan dengan anaknya di Mina setelah beberapa tahun mereka berpisah.
Masih segar dalam ingatan saya apabila sebuah karya penulisan terhasil dari kerjasama dua orang alumni tahun 1439H (2018) program ini. Buku yang diberi judul 40 Hadis Pelestarian Alam
Sekitar karya Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang (Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar) dan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd Yusoff (Ketua Pusat Penyelidik Al-Quran Universiti Malaya).
Kedua-dua tokoh ini menjadi akrab semasa program ini dan terus saling bertukar manfaat hasil perkenalan yang diberkati. Banyak lagi kisah pertukaran manfaat yang berlaku hasil program ini.
Semoga lebih banyak manfaat yang akan terhasil di masa hadapan.