Terapi ‘ikan’ bantu sembuhkan Harun - Utusan Malaysia

Terapi ‘ikan’ bantu sembuhkan Harun

Adam Syah (kiri) bersama bapanya, Harun Mat Yusop, memerhati ikan laga dalam sebuah balang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK diserang angin ahmar atau strok November tahun lalu, Harun Mat Yusop, 49, hanya terlantar di katil. Bekas tukang masak di sebuah hotel di Pulau Langkawi itu hanya diberi minum susu khas sebagai makanan utamanya. Doktor turut meramalkan jangka hayat Harun tidak panjang.

Namun, tiada siapa mampu melawan kuasa Allah SWT apabila setelah hampir beberapa bulan terbaring dan diuruskan anak-anaknya di rumah mereka di Jalan Pulau Gadong, Melaka, di sini,

Harun yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan jalan raya kini sudah boleh duduk.

Bahkan, bukan setakat kasih sayang anak-anak yang memberi semangat untuk dia pulih, kemahiran mengurut dimiliki anak sulung Harun, Adam Syah, 27, turut membantu dia sembuh.

Tetapi, terdapat satu lagi ‘cara’ rawatan unik yang digunakan Adam Syah iaitu ‘terapi minda’ ikan laga atau nama saintifiknya Betta lendens dengan meletakkan ikan perhiasan itu sepanjang masa di tepi katil bapanya.

Adam Syah percaya, minat mendalam mereka berdua terhadap ikan comel itu telah membantu memulihkan bapanya yang setiap hari merenung botol kaca ikan tersebut.

“Saya buat keputusan bawa balik bapa ke rumah setelah doktor maklumkan keadaannya sukar untuk pulih. Sejak itu, berbekalkan kemahiran yang ada setiap hari saya mengurut bapa sebagai alternatif merawatnya.

“Pada masa sama, saya turut meletakkan seekor ikan laga di tepi katil bapa sebagai terapi minda kepadanya. Bapa memang peminat ikan laga sejak muda dan ia diperturunkan kepada saya,” katanya.

ADAM BELACAK

 

                                             Adam Syah menunjukkan ikan laga peliharaannya

 

Dia yang kini berniaga ikan laga sebagai sumber pendapatan berkata, melalui pengalamannya, pesakit strok memerlukan komunikasi dan sokongan moral berterusan walaupun tidak memberi sebarang tindakbalas.

“Dengan izin Allah SWT, lama-kelamaan kami perasan air mata bapa mula mengalir sebagai reaksi pertamanya berbanding tiada apa-apa pergerakan sebelum itu.

“Sejak itu kami sering memberinya semangat dan terus meletakkan ikan laga tersebut sebagai terapi kepadanya. Alhamdulillah bapa beransur pulih. Kini bapa boleh duduk, makan dan berbual seperti biasa,” katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu percaya, aura kasih sayang dalam keluarga, termasuk tiga adik perempuannya berupaya memulihkan kesihatan bapanya.

“Dulu saya ambil upah jadi tukang urut tradisional secara bergerak. Tetapi sejak bapa terlantar sakit saya tak boleh tinggalkan rumah terlalu lama. Kini saya membuka kedai menjual ikan laga dengan nama Adam Belacak,” katanya.

Setelah lebih dua bulan berjaya membiakkan ikan laga peliharaanya, Adam Syah mula menerima pelanggan yang sehingga kini telah mencatatkan penjualan lebih 10,000 ekor ikan tersebut.

Malah, dia juga kini mampu tersenyum apabila berjaya meraih pendapatan lumayan hasil perniagaan ikan tersebut yang turut membantunya menyara keluarga.

KENA KECAM

Walaupun pernah mendapat kecaman kerana menjual pada harga lebih murah, tetapi beliau nekad meneruskan perniagaan itu.

“Selain ikan ini terapi kepada bapa, saya juga mahu orang lain berkongsi minat membela ikan laga,” katanya.

Sementara itu, Harun berkata, ikan laga disifatkan sebagai lambang ketenangan dan kebebasan yang memberi kekuatan kepadanya untuk pulih walaupun masih belum berupaya berjalan.

“Saya tak sangka dapat pulih kerana dahulu memang terbaring sepanjang masa, tetapi setiap kali saya melihat ikan laga yang Adam Syah letakkan di tepi katil saya, ia memberi semangat luar biasa,” katanya.

Minat dikongsi Adam Syah itu sebetulnya mengimbau kenangan Harun sewaktu remaja.

Minat terhadap ikan itu mendorongnya mengorek tanah di depan rumah sewanya untuk membina kolam sementara menggunakan kanvas.

“Saya sentiasa memberikan semangat kepada Adam Syah meneruskan perniagaan ini. Saya seronok melihat kedai ikannya dikunjungi pelanggan pelbagai bangsa dan dan usia,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya