oleh Yahya Awang
Pembukaan semula Taman Botani Perak (TBP) di Taiping sesungguhnya memberi makna kepada pencinta alam semula jadi yang gemarkan persekitaran dipenuhi pokok dan bunga-bungaan indah menghiasi taman.
Manakan tidak, taman tersebut yang popular di Taiping bakal menjadi tumpuan semula dalam kalangan mereka yang sukakan aktiviti riadah berkonsepkan alam semula jadi atau taman bunga-bungaan.
Taman tersebut yang pada awalnya dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 16 Ogos tahun lalu terpaksa dihentikan operasinya selama kira-kira empat bulan berikutan penularan Covid-19, dan dibuka semula pada 4 Ogos 2020 lalu, dengan amalan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, (JLN) Rotina Mohd. Daik pembangunan taman tersebut dilaksanakan menerusi Program Penyelidikan dan Pemuliharaan Landskap JLN dengan persetujuan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi menjadikan Taman Tasik Taiping sebagai TBP dengan restu daripada Kerajaan Negeri Perak. TBP adalah mewakili Zon Semenanjung Malaysia.
Beliau memberitahu, untuk tujuan itu, pihaknya menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM50 juta manakala jabatan tersebut terbabit secara langsung dalam peringkat perancangan, strategik, reka bentuk dan pembinaannya berteraskan keunikan dan kepelbagaian biologi setempat.
“Taman ini berkonsepkan muzium hidup tumbuhan-tumbuhan yang ditafsirkan sebagai satu pusat mengumpul dan mempamerkan pelbagai koleksi tumbuhan yang mempunyai nilai estetik dan saintifik, “ ujarnya.
Rotina menyatakan demikian pada majlis perasmian taman tersebut yang disempurnakan oleh beliau di Taiping baru-baru ini.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir, ketua-ketua jabatan MPT, Ahli Majlis Mesyuarat MPT dan kakitangan serta Pekerja TBP.
Walau bagaimana pun kata beliau, berikutan dengan wabak Covid-19, maka operasi TBP terpaksa dihentikan selama kira-kira empat bulan dan mula dibuka semula kepada kunjungan orang ramai baru-baru ini.
Katanya, fasa Pertama TBP seluas 14.38 hektar siap dibina pada 16 November 2018 dengan pembangunan fizikal membabitkan kawasan seluas 6.24 hektar , manakala kawasan selebihnya seluas 8.14 hektar dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan badan air, selain pembangunan. kemudahan infrastruktur untuk keselesaan pengunjung.
Dalam fasa ini, terdapat empat laman yang telah dibangunkan.
Rotina berkata, taman tersebut harus berfungsi sebagai sebuah pusat penyelidikan saintifik, pendidikan dan konservasi sumber kebangsaan dalam membangun botani, landskap, hortikultur dan lain-lain bidang yang berkaitan taman botani. Ia wajar berperanan sebagai pintu masuk dan dijadikan medium untuk pertukaran sumber koleksi tanam-tanaman botani di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan fungsi tanaman seperti itu secara komprehensif. Maka dengan itu, sokongan kepakaran adalah amat diperlukan bagi pengekalan biodiversiti dan memelihara khazanah negara.
Katanya, keperluan ini telah diperincikan dalam Pelan Pengurusan TBP yang wajar dijadikan panduan komprehensif untuk pengurusan dan perancangan masa depan taman tersebut.
Sehubungan dengan itu Rotina berkata, jabatan berharap taman tersebut dapat diurus dan diselenggara dengan baik oleh MPT dengan sokongan kerajaan negeri.
Orang ramai juga diharap memainkan peranan bersama-sama kerajaan dalam menjaga kelestarian taman tersebut.
“Jabatan juga berharap agensi swasta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat menyumbang untuk meningkatkan kemudahan rekreasi dan aktiviti pendidikan botani kepada masyarakat terutamanya kepada pelajar sekolah.
“Perkara ini dapat direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara MPT dan pihak swasta,” kata beliau.
Pengunjung kena patuh SOP
Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, selepas empat bulan operasi Taman Botani Perak (TBP) dihentikan akibat penularan Covid-19, ia dibuka semula untuk menerima kunjungan orang ramai pada 4 Ogos lalu dengan mengamalkan pembudayaan norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menurutnya, beberapa syarat dan langkah keselamatan perlu dipatuhi, termasuklah antaranya persediaan fizikal dan langkah-langkah pencegahan kesihatan yang perlu disediakan oleh TBP supaya operasi taman berjalan lancar dengan mengikut saranan pihak berkuasa.
Khairul Amir berkata, pembudayaan norma baharu dan tata cara pengunjung TBP telah disediakan yang terbahagi tiga kumpulan berbeza.
Kumpulan pertama adalah pengunjung awam, kumpulan kedua (pelawat atau kontraktor taman) dan kumpulan ketiga adalah kakitangan taman tersebut.
Bilangan pengunjung yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa pula ialah seramai 500 orang maksimum.
Malah pengunjung juga dikehendaki melalui saringan suhu badan serta mengisi maklumat diri ke dalam buku daftar pengunjung sebelum masuk ke TBP.
Pengunjung juga digalakkan memuat turun aplikasi di telefon pintar masing-masing bagi memudahkan penyaluran maklumat pengunjung dan membantu rakyat melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Katanya, bagi memastikan pengunjung yakin dan selamat, maka kerja-kerja penyahkuman pada permukaan yang kerap disentuh akan dilakukan setiap hari oleh kakitangan TBP. Selain itu, cecair sanitasi (hand sanitizer) turut disediakan di kaunter masuk bagi kegunaan pengunjung.
“Pada masa ini kemasukan pengunjung ke TBP masih percuma. Walau bagaimana pun, MPT sedang mempertimbangkan caj konservasi wajib bermula 1 Januari tahun depan pada harga RM2 kepada setiap pengunjung, kecuali kanak-kanak di bawah 12 tahun.
“Caj konservasi ini adalah salah satu usaha membantu ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna yang terdapat di TBP terutamanya spesies-spesies tumbuhan terancam yang tersenarai dalam buku Malaysia Plant Red list Peninsular Malaysia 2012 seperti pokok paku aji atau bogak yang ditanam di Laman Endemik Zon Utara dan Laman Tema.
“MPT berharap dengan pembukaan semula TBP ini maka jumlah bilangan pengunjung dijangka kembali meningkat dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke bandar Taiping, “ ujarnya.
INFO
Taman Botani Perak (TBP)
» Jumlah pengunjung sejak mula dibuka 16 Ogos 2019 hingga 17 Mac lalu adalah 52,579 orang.
» Memiliki pelbagai koleksi tumbuhan yang mempunyai nilai estetik dan saintifik.
» Projek pembangunan fasa satu melibatkan sebanyak 12,445 tumbuhan pelbagai kategori dan 122 spesies.
» Dibuka pukul 8.30 pagi hingga 7 malam.
» Pengunjung tidak dibenarkan masuk semasa hujang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kategori laman
» Laman Endemik Zon Utara – Zon penanaman yang mewakili spesies endemik yang hanya terdapat di sekitar negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Antara tanaman ialah pokok Maingaya, mata pelanduk Langkawi dan Nyatuh Pulau Pinang
» Laman Melayu Perak – Mewakili spesies yang berunsurkan nama-nama daerah dan tempat di negeri Perak seperti pokok kangsar, ipoh, kemunting, beruas dan sungkai.
» Laman Palmatum- Merangkumi pelbagai spesies palma antaranya termasuklah pinang raja, Queen Sago dan Serdang.
» Laman Tema – Sebagai taman terbuka yang mengenengahkan semua spesies mewakili setiap laman di Taman Botani Perak antaranya termasuklah pokok daun payung perak, kurma, beruas dan binjai.
Spesies istimewa
Johannesteijsmania perakkensis – Daun payung perak, yang merupakan satu-satunya spesies Perakensis yang ditanam di TBP.
Samanea saman Yellow Hujan-hujan permaisuri, pokok yang simbolik dengan Taman Tasik Taiping.