Hanizan Hadrus hanya seorang penjual ais krim jalanan yang akan singgah di mana-mana dengan motosikalnya setiap hari bagi mencari rezeki yang halal.
Hanizan atau lebih dikenali sebagai Abang Zan, 42, bukan sahaja terkenal dalam kalangan kanak-kanak yang membeli ais krimnya, pemuda dari Kampung Repoh, Arau di Perlis cukup dikenali kerana keluhuran hatinya yang sentiasa melakukan kerja-kerja amal.
Sebut sahaja nama Abang Zan, pastinya dalam kalangan asnaf, anak yatim dan para pesakit kronik akan mengingatinya sebagai seorang ‘hero’ yang muncul di saat mereka memerlukan bantuan serta sokongan.
Malah, adakalanya dia berpakaian kostum adiwira Spiderman demi menghiburkan pesakit dalam kalangan ‘anak syurga’ ini ketika berkunjung menyampaikan bantuan kepada mereka.
Mula menjadi aktivis masyarakat sejak 10 tahun lalu, Hanizan tidak pernah kenal lelah setiap kali mengumpul dana seterusnya membantu golongan memerlukan.
Itulah Abang Zan. Tidak pernah mengeluh dalam meneruskan kerja-kerja amal meskipun dia sendiri perlu mencari rezeki bagi menampung kehidupan seharian dengan pendapatan sekitar RM70 sehari itu.
Katanya, dia akan mengumpul dana daripada mereka yang sudi menyumbang. Seterusnya memegang amanah tersebut dan mengagihkan bantuan khususnya dalam bentuk barangan keperluan kepada mereka yang memerlukan terutama pesakit kronik.
Katanya, boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja rumah yang dikunjunginya di sekitar negeri ini untuk menyampaikan bantuan.
“Saya sudah biasa melakukan kerja-kerja amal ini, rasa tidak lengkap hidup kalau tidak membantu mereka yang memerlukan. Melihat senyuman kanak-kanak para pesakit kronik ini membuatkan hati saya tenang dan bersemangat untuk terus melakukan kerja-kerja amal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah bapa kepada seorang anak berusia 18 tahun itu, dia kini turut menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma yang dibeli dengan harga RM21,000 bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Saya berjaya membeli sebuah van yang siap dibaiki dan diubahsuai. Wang membeli van itu diperolehi daripada rakan-rakan yang sudi menyumbang untuk kerja-kerja kebaikan ini. Selalunya saya sendiri akan memandu van membawa jenazah,” katanya.