Berbicara dengan ‘orang lama’ yang khazanah seninya tidak bernoktah memang mengasyikkan, umpama membaca naskah yang tidak pernah tamat. Serba serbinya dilontarkan, malah ada ketikanya kisah yang tak terjangkau dek akal juga dizahirkan. Tujuannya hanyalah untuk berkongsi pengalaman suka duka sebelum bergelar anak seni.
Ironinya, ia bukan sahaja cukup bernilai, malah tidak mungkin dirasai oleh segelintir insan seni yang bertapak hari ini, bak kata pepatah, jika tiada yang lama masakan ada yang baharu.
Menurut Rashid Abdul Wahab, 61 atau lebih dikenali dengan panggilan Shidee, melakar nama untuk menjadi sebutir bintang yang sentiasa bersinar bukan mudah. Jatuh bangun perkara biasa, namun kekuatan untuk memahat nama perlukan semangat juang yang tinggi terutamanya dalam persaingan menambat hati peminat.
Pelantun lagu popular, Sayang Semuanya Sudah Terlambat ini sempat meluangkan masa berkongsi cerita dengan Mingguan Malaysia tentang perit jerihnya ketika bergelar anak seni.
Pop Yeh-Yeh, Rock
“Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum bergelar penyanyi saya terlebih dahulu menjadi penyanyi Pentas Rama di bawah Jabatan Penerangan pada 1979. Waktu ini saya dah pusing satu Malaysia.
“Namun pada 1986 barulah saya berpeluang menjadi artis rakaman dan insan bertanggungjawab memperkenalkan saya ke dalam industri ketika itu ialah abang Tik, pemuzik okestra RTM. Alhmdullillah, album pertama saya berjaya dihasilkan dan diterbitkan oleh Datuk Seri Ahmad Nawab dibawah label SCS.
“Tetapi ada masalah lain pula ketika itu. Ketika album dah siap dan ingin diedarkan tiba-tiba demam Pop Yeh-Yeh melanda Malaysia, Kumpulan Search pula mula digilai peminat. Saya seolah berperang tiga penjuru. Waktu itu saya blank sekejap. Fikir, ada ke orang nak dengar lagu aku ini,” katanya
Lagu killer
Namun rezeki telah tertulis. Menurut Shidee, selain lagu-lagunya berjaya mencuri hati pendengar, media juga banyak membantunya ketika itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja cerita tentangnya di akhbar dan majalah di samping melakukan jelajah ke pelosok tanah air untuk mempromosikan karyanya. Dia perlu memastikan agar segala usaha dan penat lelahnya selama ini berbaloi dan membuahkan hasil.
“Saya akui ketika itu memang tak berhenti buat promosi. Setiap lokasi saya turun menyanyi walaupun tiada bayaran. Saya nak orang kenal saya, kerana kalau tak buat begitu macam mana orang nak kenal saya? Nak beli kaset saya? Saya bukan penyanyi era sekarang yang boleh promosi dan jual suara dalam media sosial.
“Lagu Amy, Bayangan Wajahmu dan Bicara Buat Teman digilai peminat. Bayangkan sebagai penyanyi baharu lagu saya berjaya mengungguli carta radio selama 18 minggu berturut-turut dan berjaya menewaskan Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Datuk Jamal Abdillah dalam kategori Anugerah Penyanyi Popular anjuran Berita Harian/Nescafe yang diundi peminat.
“Walaupun saya percaya semua itu adalah rezeki, namun mampu menewaskan dua nama besar yang merupakan idiola saya ketika itu adalah sesuatu menakjubkan,” katanya.
Menurut Shidee ketika bermulanya proses pembikinan untuk album kedua dia mula mempelajari strategi pemasaran yang betul. Maksudnya meletakkan banyak lagu ‘killer’ dalam satu album (seperti album pertamanya) bukanlah cara berkesan. Oleh itu, untuk album kedua dia bersedia meletakkan satu lagu ‘killer’ yang mampu meledakkan namanya.
“Sayang Semuanya sudah terlambat bukanlah lagu yang saya minat. Saya fikir lagu ini langsung tidak mencabar vokal sepenuhnya kerana melodinya mendatar. Saya lebih suka lagu bernada tinggi dan berlenggok Arab kerana ia lebih feel jika dinyanyikan di pentas.
“Tapi yang peliknya lagu itu meletup dan berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu di samping memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) pada 1987. Akhirnya barulah saya tahu sebagai penyanyi kita tak boleh syok sendiri. Kita kena hormati citarasa peminat,” katanya.
Episod Suram
Episod suram dan pincang kariernya bermula ketika pembikinan album keempat di bawah label rakaman Rock Records. Komposer dan penerbit Ahmad Nawab yang banyak membantu dalam menghasilkan album-albumnya sebelum ini ditukarkan kepada Wan Zul. Sedikit sebanyak perubahan ini merencatkan perjalanan kariernya.
“Saya tak nafikan Wan Zul seorang komposer dan pencipta lagu yang bagus, tapi mungkin untuk kumpulan Iklim dan bukannya saya. Kita kena lihat kesesuaian dan keserasian. Waktu itu saya dah mula protes dan memberontak. Terus terang saya katakan saya langsung tiada nafsu dan semangat untuk menyanyi.
“Dalam hati saya berkata, album ini mesti hancur punya. Saya fikir dan buat keputusan kalau album ini tak diterima peminat saya akan resign. Sebagai penyanyi saya rasa kecewa yang teramat.
“Kekecewaan saya ditambah apabila dalam rangka promosi album, syarikat meminta saya membuat road tour bersama kumpulan Kapilla. Waktu itu saya garu kepala! Mana mungkin kami boleh bergerak bersama dalam genre muzik berbeza.
“Akhirnya pada 1991 saya bawa diri ke Brunei. Tujuh tahun saya berniaga dan menetap di sana. Saya memang merajuk. Sesiapa yang panggil menyanyi waktu itu saya tolak. Saya kecewa sehingga langsung tak nak dengar radio dan tengok tv,’’ jelasnya.
Rezeki tak pernah putus
Semua itu memberikan pengalaman dan pengajaran besar buat Shidee. Sebagai penyanyi dia mengakui tidak mampu membuang jauh jiwa seni yang dimilikinyai. Bakat yang dianugerahkan akan menjadi sia-sia jika dia tidak kembali bangkit dan mencari tapak untuk bermula semula.
“Alhamdulillah, walaupun saya ini orang lama, namun rezeki yang saya terima hari ini tidak pernah putus. Rupanya ramai yang masih mahu mendengar suara orang lama seperti saya. Oleh itu, saya sentiasa pastikan kesihatan dan pernafasan terjaga kerana apabila diberi peluang, kita kena balas kepercayaan itu,”tambahnya.
Terkini Shidee dilamar oleh sebuah syarikat antarabangsa untuk meneruskan projek seninya. Bertempat di Richmore, Petaling Jaya mereka menyediakan pentas yang mampu memuatkan hampir 300 penonton.
Menurut penyanyi kelahiran Bagan Datuk ini selain menghiburkan penonton, syarikat ini juga menyediakan peluang perniagaan buat rakan-rakan artis dan orang ramai yang berminat menyertainya.
“Insya-Allah 29 Ogos ini adalah persembahan pembukaan dari saya dan selepas itu mungkin saya akan menjemput rakan-rakan artis lain untuk membuat persembahan di situ,” katanya.
Bagi rakan-rakan artis atau individu yang ingin mendapatkan maklumat terperinci tentang perniagaan ini atau sebarang pertunjukan pentas bolehlah menghubungi pengurusnya, Effendi di talian 017-5588549.
“ Saya akan cuba bantu dan berkongsi rezeki dengan anda semua. Mungkin ini adalah titik permulaan buat kita semua untuk melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya mengakhiri perbualan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia.