KUALA LUMPUR – “Saya tidak menyesal” itu kenyataan Ali Puteh ketika diminta mengulas tindakannya menfailkan saman terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali.
Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 31, memberitahu, apa yang dilakukan ini dilihat sebagai satu tindakan yang betul dalam mengembalikan maruah keluarganya.
“Selepas abang saya pergi hanya saya satu-satunya lelaki dalam keluarga. Hati anak mana yang tidak sedih melihat ibunya dikecam dengan pelbagai kata-kata tidak benar.
“Apa yang saya buat ini demi keluarga dan tanggungjawab saya kepada ibu. Jadi saya akan tetap teruskan saman seperti yang sudah dinasihatkan peguam saya,” katanya kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.
Sementara itu, Ali juga memberitahu laman sosialnya kini juga dibanjiri pesanan netizen yang ingin meminta maaf.
“Yang masih mengecam itu saya anggap mereka tidak faham hukum faraid. Selalunya yang mengecam ni budak-budak. Sudah saya terangkan saya tidak mahupun harta arwah saya tahu hukum.
“Tapi sebenarnya lebih ramai yang meninggalkan pesanan minta maaf di laman sosial saya. Selama ini tidak tahu apa-apa. Jujurnya saya juga malu dengan apa yang berlaku.
“Dalam soal ini sebagai seorang anak adik dan pak cik, perlu saya lakukan sesuatu. Bukan saya tidak tengok wajah anak buah saya itulah satu-satunya waris abang saya,” katanya.
Sebelum ini Ali memaklumkan dia menerima surat saman daripada Hidayah bermula 26 Februari lalu. Saman itu berkaitan tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.