oleh ROHANA MAN
SETIAP tahun, kebanyakan daripada kumpulan pendaki akan mengadakan program ‘tutup tirai’ bagi kesemua aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun.
Begitu juga sekumpulan pendaki daripada Eco Adventure yang memilih Bukit Batu Sawa yang terletak di Kampung Peradong, Jalan Kuala Klawang – Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan sebagai aktiviti akhir tahun, sekali gus menutup tirai kalendar aktiviti bagi tahun 2019.
Walaupun aktiviti itu telah lama berlalu namun kenangan mendaki yang disertai peserta seawal usia dua tahun hingga 57 tahun kekal segar dalam ingatan.
Dalam pendakian santai itu, seramai 19 pendaki menjayakan program mendaki bukit setinggi kira-kira 333 meter dari paras laut itu. Dalam kalangan pendaki tersebut, ada yang datang dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Saya yang merupakan ketua ekspedisi bagi program mendaki ini mula membuat persediaan beberapa minggu sebelum tarikh ekspedisi pada 7 dan 8 Disember lalu bagi memastikan program berjalan lancar.
Tidak dinafikan perancangan awal amat penting terutama dalam membuat tempahan penginapan iaitu sebuah inap desa di Kampung Peradong. Banglo dua tingkat menjadi pilihan kami memandangkan terdapat bilik dan ruang tamu yang luas untuk kami berehat dan melelapkan mata.
Kumpulan WhatsApp bertajuk Bukit Batu Sawa menjadi tempat kami berbincang mengenai segala perkara berkaitan pendakian. Antara yang dibincangkan ialah tahap kesukaran trek mendaki, menu untuk dua hari satu malam dan lain-lain.
Sekitar tengah hari Sabtu hari pertama program, kami mendaftar masuk ke inap desa.
Menu makan tengah hari yang lazat disediakan oleh Rosshimy Rahim, 36, iaitu ayam masak merah, gulai lemak nanas dengan ikan sepat masin, sayur campur dan sambal belacan.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut membawa suami dan kesemua anak-anaknya yang berusia dua, enam dan lapan tahun menyertai pendakian tersebut. Katanya, beliau dan suami, Mohd Jamri Jaafar, 41, meminati aktiviti mendaki dan sering mendaki bersama.
“Jika trek mendaki mudah dan santai seperti Bukit Batu Sawa, kami akan membawa anak-anak untuk turut sama mendaki.
Teruja melihat pokok merah
KAMI memulakan pendakian sekitar pukul 9 pagi iaitu seusai sarapan mi goreng mamak yang disediakan oleh saya. Perjalanan awal bermula dari inap desa yang terletak di kaki bukit iaitu kira-kira 300 meter dari tempat mula mendaki.
Daripada situ, kami melalui kawasan kebun getah. Bau getah yang membeku di dalam mangkuk di pangkal pokok agak menusuk hidung.
Daun-daun pokok getah yang kering menutupi laluan sehingga ke simpang menuju ke hutan lalang. Lalang yang tinggi ‘menenggelamkan’ kami. Bagi mengelak miang pada kulit, kami cepat-cepat melepasi laluan tersebut.
Kami berhenti rehat di kawasan pencawang elektrik, tetapi tidak lama kerana terik mentari mulai terasa. Dari sini, kami memasuki laluan hutan.
Apa yang menariknya ialah ketika semakin menghampiri puncak, kami ‘dihidangkan’ dengan pemandangan hutan pokok yang batangnya berwarna merah.
Kami memutuskan untuk bergambar di celah-celah pokok merah ini selepas misi menggapai puncak Bukit Batu Sawa dicapai. Ini kerana kami tidak mahu ‘berpanas’ di puncak yang sempit.
Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba di puncak yang diliputi bongkah-bongkah batu besar. Kami berehat sambil menikmati teh o panas dan mi segera yang disediakan seorang peserta, Azman Ahad, 51. Selain itu, bekalan roti dan coklat yang dibawa peserta turut dikongsi bersama.
Selesai sesi bergambar, kami beransur-ansur turun dan masing-masing tidak melepaskan peluang bergambar di celah-celah pokok merah.
Kami menamatkan pendakian sekitar tengah hari dan pulang semula ke inap desa sebelum mendaftar keluar untuk ke satu lagi destinasi iaitu Jeram Gajah di Kampung Purun, Jelebu.
Kami menikmati makan tengah hari dan mandi manda di jeram tersebut sebelum pulang ke rumah masing-masing sekitar pukul 3 petang.
Dalam pada itu, kami sempat berbincang mengenai program akan datang yang dijadualkan diadakan pada bulan Januari 2020. Selamat tinggal Bukit Batu Sawa.