Prinsip, limitasi Wany Hasrita - Utusan Malaysia

Prinsip, limitasi Wany Hasrita

Wany Hasrita, MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PERMULAAN seni gadis cantik ini mungkin agak mudah di pandangan mata. Namun, semuanya berbalik kepada rezeki. Benar, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu bukan?
Wany Hasrita sememangnya bukan calang-calang anak seni. Mana tidaknya, di usia tidak sampai tiga tahun dalam industri seni, dia sudah merangkul trofi Bintang Paling Popular. Satu pencapaian yang cukup hebat.
Namun di sebalik suka dan tawa meraikan kejayaan, gadis berusia 28 tahun ini bagaikan dirantai harapan dan persepsi segelintir peminat. Salah langkah, pasti dicemuh dan dikatakan lupa diri.
Tidak mahu mengubah diri semata-mata untuk meraih populariti, penyanyi lagu Menahan Rindu tetap dengan prinsip seninya. Dia tidak akan sesekali menjadi orang lain untuk populariti yang cuma bertahan sementara.
“Empat tahun melukis kerjaya di kanvas seni. Memang ada terpalit juga lumpur kontroversi dan percikan yang merencatkan sedikit lukisan itu, namun itu pengalaman yang tiada galang ganti.
“Saya lebih senang jadi diri sendiri. Tak mahu berpura-pura atau cipta peribadi berbeza. Tidak mahu menekan diri mengikut acuan orang lain,” tegas anak kelahiran Perak ini.
Ditebak soalan, tidakkah kanvas seninya membosankan sementelah, kisah sensasi jarang sekali memalitkan namanya? Apakah dia selesa kekal begitu? Atau memilih untuk berhati-hati dalam menyusun atur kerjayanya.
Akur dengan kenyataan itu, namun Wany punya pandangan sendiri. Populariti bukan tujuan utama dia menerjah masuk ke dunia seni. Dia cuma mahu bahagiakan keluarga dan melempiaskan minat yang mendalam terhadap seni.
Pernah disuruh untuk berubah, Wany tegas dengan pendirian. Nama baiknya tidak perlu dilumur lumpur untuk popular.
“Ada yang suruh saya jadi plastik. Berpura-pura jadi orang lain. Ada suruh jangan terlalu ramah dan mesra dengan peminat. Tapi saya tanya balik diri sendiri, apa niat masuk industri? Popular?
“Saya juga bawa nama keluarga. Saya tidak akan menconteng arang di wajah ibu bapa untuk populariti,” jelas penyanyi Canggung ini.
Mengenali hajah muda ini, dia seorang yang cukup berjiwa hamba. Sentiasa mengukir senyuman. Maka, untuk apa dia menjadi orang lain semata-mata untuk memuaskan diri mereka yang tamak populariti.

Sayap dilebar luas

Membuka gelanggang bicara tentang percaturan seninya, Wany tidak mahu kerjayanya hanya berputar gelaran sebagai seorang penyanyi semata. Dia mahu melebar sayap seluas mungkin, melangkaui tembok-tembok seni yang pernah dia jejaki.
Teringin mencuba bidang pengacaraan, graduan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dalam jurusan Sains Perubatan ini tahu peminat juga mahu dia berani mengambil risiko dan tidak terpuruk dalam tempurung seni yang sama.
Berpeluang berdiri sebagai pengacara MeleTop baru-baru ini, pengalaman berharga itu digenggam kemas memori penyanyi itu sebagai asas pembelajaran. Dia mahu terus meneroka bakat diri sebagai pengacara.
Membaca komen-komen positif warganet, penampilan Wany sebagai pengacara cukup memberangsangkan. Rata-rata peminat suka dengan keberanian dan mahu pelantun lagu Menahan Rindu itu terus bergelar pengacara.
“ Kini masa untuk mengukuhkan jenama diri. Tidak boleh selesa dengan kedudukan sekarang. Saya perlu berani cuba jadi pengacara dan pelakon. Kena pelbagaikan cabang seni.
“Persaingan semakin sengit. Kehadiran artis baharu silih berganti. Jadi kita yang sudah bertapak kena meneroka bakat diri. Kita tak boleh selesa sangat, lama-lama orang bosan dan lupa.
“Ini kali kedua saya berdiri sebagai pengacara MeleTop. Pertama kali dulu ketar lutut, tapi kali kedua saya beranikan diri. Tak boleh lemah lutut, takut-takut nanti orang muak,” selorohnya yang juga pernah cuba berlakon drama Tergantung Rindu sebelum ini.
Dunia seni siapa yang tidak pernah dilambung ombak, namun tidak sekali semangat Wany luntur dek ujian dan cabaran. Tidak pernah sekali terfikir untuk berhenti, bagi penyanyi Terlalu Memuja ini kerjaya seni ini adalah tapak rezeki yang perlu diteruskan.
Namun Wany sedar, dia perlu menjana pendapatan lain menerusi perniagaan sementelah ramai rakan artis sudah mula mengorak langkah membina jenama sendiri. Perlahan mengayuh perahu rezeki demi kelangsungan hidup.
“Pening juga sebenarnya nak fikir mahu berniaga apa. Kalau tudung atau baju, sudah ramai artis yang kini bergelar usahawan berjaya. Saya mahu cuba sesuatu baharu, mungkin sahaja produk kecantikan atau kosmetik.
“Ramai yang berjaya dan ada juga yang gagal bila berniaga, saya kena berani cuba. Takkan selamanya nak takut kan? Doakan saya berjaya di dunia dan akhirat,” katanya. – Pancaindera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya