Perpaduan pondok tunas perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah - Utusan Malaysia

Perpaduan pondok tunas perkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah

SUASANA pembelajaran di Pondok Moden Al-’Abaqirah di Kuala Lumpur yang diharap dapat melahirkan ulama Islam dalam pelbagai disiplin ilmu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENA DR. AYMAN

Keruntuhan kekuasaan Islam bermula daripada kejatuhan kedaulatan kerajaan Islam di Andalusia (Selatan Sepanyol). Ia bermula apabila Kristian Katolik Sepanyol berganding kuasa menjadi kerajaan yang kuat selepas Raja Ferdinand II dari Kerajaan Aragon berkahwin dengan Isabella I dari Kerajaan Castile.

Islam ketika itu pula mengalami krisis politik yang dahsyat apabila bandar-bandar Andalus berpecah-belah menjadi emiriah-emiriah kecil yang tidak bersatu di bawah satu sultan atau khalifah.
Kuasa Katolik Sepanyol ketika itu berjaya menemukan salah satu formula terbaik untuk mengalahkan kuasa Islam di Andalusia.

Caranya menggunakan taktik ‘adu domba’ antara amir-amir (pemimpin) di Andalusia sehingga satu persatu negeri Islam jatuh ke tangan Katolik.

Akhirnya reconquista (membebaskan Andalusia dari tangan umat Islam oleh Katolik Salibis) mereka berjaya pada 1491 ketika berlakunya Perjanjian Granada apabila kuasa Islam terakhir Nasarid menyerahkan Istana Alhambra kepada Ferdinand-Isabella.

Pada 1502 pula, Raja Ferdinand melanggar Perjanjian Granada dengan memaksa seluruh warga Muslim di Andalus murtad menjadi Kristian. Dengan itu, berakhirlah pengaruh Islam di Andalusia dan seluruh masjid, madrasah dan pondok berubah menjadi gereja atau biara (monastery) Katolik.

Dengan kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia, maka penjajahan Afrika oleh kuasa Eropah menjadi mudah kerana pintu laut sudah terbuka yang sebelum ini banyak dihalang oleh kuasa Islam. Satu persatu pelabuhan di pesisir pantai Afrika dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah terutamanya Portugis, Itali, Belanda dan lain-lain.

Akhirnya hampir seluruh kerajaan Islam yang kecil dan besar jatuh ke tangan penjajah termasuklah di Kepulauan Melayu.

Penjajahan ini bukan hanya menamatkan kuasa Islam, akan tetapi merubah budaya dan pendidikan umat Islam lebih-lebih lagi di Alam Melayu.

Seperti yang diketahui, institusi pendidikan tertua yang sudah wujud sebelum penjajahan lagi adalah sistem ‘pondok’; iaitu sebuah sistem pendidikan Islam di mana ibu bapa menghantar anak-anak mereka pondok untuk dididik di bawah seorang tuan guru (Sheikh) dalam hal ilmu pengetahuan dan akhlak. Inilah yang dipanggil pendidikan zahir dan batin.

Pendidikan pondok juga membuahkan hasil dengan jayanya apabila umat Islam di Indonesia berjaya mengusir penjajah Belanda apabila kuasa Barat itu kembali merebut Indonesia yang ditinggalkan Jepun.

Melalui ‘Resolusi Jihad’ yang disepakati oleh para kiai dan pelajar-pelajar (santri) pondok di bawah payung organisasi besar Nahdatul Ulama, mereka telah berjihad meraih kemerdekaan sebagai negara yang betul-betul merdeka.

Jasa ulama pondok ini tidak mungkin tercapai tanpa campur tangan Kiai Haji Hashim Ash’ari kawan Sheikh Abdullah Fahim yang merupakan bapa kemerdekaan Malaya.

Pada 1953, Sheikh Abdullah Fahim membentuk sebuah organisasi dengan nama yang sama iaitu Nahdatul Ulama Malaya (NAAM). Harapannya dapat mengajak seluruh ulama pondok di Malaya bersama-sama mempersiapkan negara untuk merdeka dari penjajahan British.

Guru-guru pondok

Sayangnya, organisasi ini tidak hidup lama. Ini membuatkan tuan-tuan guru pondok tidak lagi memiliki sebuah ‘payung’ untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pondok di peringkat kebangsaan. Maka apa yang terjadi, pondok menjadi sebuah institusi persinggahan dan diberikan kebajikan hanya ketika diperlukan untuk kepentingan golongan tertentu.

Kebajikan pendidikan tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan kecuali apabila pondok tersebut akur untuk tunduk kepada sistem pendidikan arus perdana kerajaan. Walaupun hakikatnya akan menjejaskan keaslian sistem pendidikan pondok yang tradisional.

Ini berbeza dengan Indonesia yang dengan berkat perjuangan Nahdatul Ulama, maka pada tahun 2019 telah diluluskan Undang-Undang Pesantren, iaitu sebuah undang-undang yang mengiktiraf pendidikan pondok tradisional di Indonesia. Malah di negara jiran itu, pondok-pondok berhasil membina universiti-universiti yang masih menjaga turath warisan ulama dahulu.

Di Maghribi pula, pada tahun 2000 Raja Muhammad VI meluluskan sebuah sistem pendidikan tradisional yang diberi nama Ta’lim Atiq (Pendidikan Tradisional). Pondok-pondok di Maghribi turut diiktiraf oleh kerajaan Maghribi.

Universiti al-Qarawiyyin (universiti tertua di dunia) menjadi perguruan tinggi tradisional yang menyediakan tempat untuk pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah bagi sistem pendidikan tradisional ini.

Keberhasilan ini tidak mungkin dapat dicapai melainkan terdapat sebuah wadah yang menjadi kenderaan ulama-ulama pondok untuk membawa aspirasi mereka ke peringkat kerajaan dan mencari solusi demi kelangsungan sistem pendidikan warisan Melayu ini.

Maka tidak ada cara lain, melainkan mereka mengetepikan segala perbezaan mereka sama ada pandangan politik, aliran mahupun darah kekeluargaan dan fokus bersama dalam memperjuangkan warisan pondok dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Ash’ariyyah di Malaysia.

Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikenal dulu dengan nama ‘Kaum Tua’ memerlukan agamawan dan tuan guru yang alim lagi hebat seperti ulama-ulama terdahulu. Pondok boleh dianggap sebagai pusat pengkaderan tuan guru tersebut yang sekian lama telah berhasil mencetaknya.

Namun, institusi pondok di Malaysia berada dalam keadaan yang agak tenat memandangkan kerajaan belum lagi memberi ruang rasmi mengiktiraf persijilan pondok sebagaimana yang dilakukan oleh Indonesia dan Maghribi.

Jika perkara ini tidak segera diselesaikan, maka seorang pelajar yang lulus dari pondok, sealim apapun dirinya, keilmuannya tidak akan diiktiraf oleh kerajaan.

Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Kanan Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM dan Felow Kehormat IKIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya