Pak Non Adiguru kraf wau - Utusan Malaysia

Pak Non Adiguru kraf wau

PAK Non menunjukkan rangka dan juga Wau Lang yang siap dengan coraknya yang mampu disiapkan dalam masa tiga atau empat hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH setengah abad mengabdikan diri dalam seni pembuatan wau tradisional, Samat Man tidak pernah sama sekali berganjak dalam usaha memartabatkan seni warisan bangsa itu.

Meski diri kian dimamah usia, jemu dan lelah meneruskan kerja-kerja pembuatan wau, tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Dia yang lebih mesra disapa Pak Non sebaliknya menyifatkan kelangsungan usia yang kini menjangkau ke angka 73 tahun, adalah untuk memperjuangkan seni kraf tangan itu. Pak Non tidak mahu khazanah bangsa itu lapuk ditelan zaman dek kealpaan anak bangsa.

Katanya, seni pembuatan wau harus dipertahankan malah dia sememangnya mahu menurunkan ilmu kepada generasi muda agar ada pelapis dalam meneruskan legasi ditinggalkan itu.

“Datang sahaja belajar di sini, Pok Non tidak minta bayaran pun, tetapi kenalah buat betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia yang berkunjung ke kediamannya di Kuala Perlis baru-baru ini.

Kehadiran kami turut disambut Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Perlis, Ahmad Said.

Pengalaman dan kesungguhan anak jati Tok Kaya, Kuala Perlis ini melayakkan dirinya dinobat sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada 2018.

Minat wau terserlah dalam dirinya apabila sejak muda aktif menyertai pelbagai pertandingan berkaitan wau sama ada dalam atau luar negara.

Permainan itu turut membawanya terbang ke banyak negara termasuk Perancis, China dan Thailand.

Walaupun semakin berusia tetapi pendengarannya jelas. Sinar matanya tidak menipu mengenai cintanya terhadap wau.

“Ada tiga jenis wau yang popular di negara ini iaitu wau bulan, wau kucing dan wau jala budi yang juga dikenali sebagai wau Malaysia.

“Wau ini berbeza di setiap negeri antaranya wau lang di Perlis, wau puyuh di Kelantan, wau kapal di Selangor, wau merah di Johor, wau kang kang di Kedah dan wau Seri Bulan di Perak.

“Apabila sesebuah negeri itu menjadi tuan rumah untuk pertandingan wau peringkat kebangsaan, para peserta wajib membawa wau yang berasal daripada negeri masing-masing untuk dipertandingkan selain wau-wau mereka yang lain,” katanya.

 

Mewarisi bakat datuk

 

BAGI memastikan rangka wau dihasilkan dengan sempurna, Pak Non mengimbangkan bahagian tengah buluh supaya buluh yang diraut adalah sama besar.

 

Antara wau popular dihasilkan ialah wau helang iaitu wau tradisi unik yang menggunakan daun palas selain wau jala budi, wau bulan, wau Lang dan sebagainya.

Berjinak-jinak dalam seni itu sejak usia kecil lagi, Pak Non mewarisi bakat seni pembuatan wau daripada datuknya.

Minat itu kian berkembang hasil galakan datuknya yang sering mengajaknya membuat dan bermain wau setelah tamat musim menuai padi.

Apabila meningkat ke usia remaja, minat itu diasah lagi apabila dia bertemu seorang tokoh pembuat wau di Kelantan, Yusof Omar pada tahun 1970-an sehingga Pak Non terus memperhalusi bakatnya dengan pergi menuntut ilmu di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mengulas mengenai masa depan wau, dia optimis menyatakan ia akan terus popular kerana masih ramai meminati cabang seni itu.

“Insya-Allah, Pak Non rasa wau tradisional ini tidak akan hilang sebab ada banyak anak murid yang mewarisinya. Ada anak dan menantu yang boleh buat, malah saya juga ada ramai anak murid di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berharap agar warisan kraf tersebut akan terus terpelihara dengan adanya Adiguru Kraf Wau yang banyak memberi tunjuk ajar kepada generasi baharu.

 

                                     AHMAD SAID

Katanya, pembuatan wau ini perlu diteruskan dan dimartabatkan bukan sahaja rana ia adalah warisan seni negara tetapi merupakan satu produk yang unik.

“Saya berharap agar pihak korporat dapat membantu mempromosikan seni negara ini seperti meletakkan produk wau di pejabat mereka sebagai hiasan yang sekali gus memperkenalkan identiti negara,” katanya.

Dalam banyak jenis buluh, Pak Non lebih suka menggunakan buluh duri untuk dijadikan rangka wau.

“Ia lebih tahan lama dan anjal selain mudah didapati di negeri ini berbanding buluh betong yang banyak digunakan di sebelah Pantai Timur,” katanya yang menjelaskan wau bagi tujuan hiasan tidak memerlukan proses yang panjang dan boleh diraut selepas ditebang.

Bapa kepada lima anak dan 10 cucu ini berkata, asasnya proses membuat buluh memakan masa sebulan daripada proses mencari buluh hingga mengeringkannya.

Dia mampu menghasilkan sehingga 10 rangka wau bersaiz 60 sentimeter (sm) dalam masa sehari dan mengambil masa antara tiga hingga empat hari untuk menyiapkan keseluruhan wau bagi saiz sama.

Mengulas mengenai wau sobek, katanya, ia memerlukan proses lebih lama kerana ia wau tradisional ini menggunakan kaedah meretas dan menebuk sehingga boleh mencapai lima lapisan kertas.

“Kalau untuk pertandingan wau sobek boleh dikatakan wau tercantik, biasanya akan dibuat hingga lima lapis kertas.

“Lebih banyak lapis kertas itu, lebih unik dan juga rumit pembuatannya kerana kami perlu menebuk setiap lapisan kertas bagi menampakkan warna dan corak yang menarik,” katanya.

 

BUAT WAU
» Pilih buluh matang berumur tiga tahun dan ke atas.
» Potong ikut saiz wau yang ingin dibuat.
» Rendam buluh ke dalam air garam selama tiga hari. (boleh juga direndam dalam air laut).
» Jemur hingga buluh itu benar-benar kering atau anggaran masa selama sebulan. Proses ini penting bagi mengelakkan buluh dimakan ulat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya