Bermula daripada minat dan suka membela haiwan peliharaan daripada jenis reptilia, seperti ular dan mengkarung, ia kemudian dikomersialkan dengan membuka pusat pembiakan haiwan atau breeding facility, Brotherhood Reptiles.
Mohd. Zulaiman Din, 23, berkata, pusat berkenaan menyediakan pembiakan lebih 10 jenis reptilia yang menjadi haiwan peliharaan orang ramai seperti ular putih, mengkarung dan sesumpah.
Katanya, pembiakan itu dilakukan bagi memenuhi minat terhadap spesies reptilia. Dalam masa sama memastikan haiwan itu dapat melalui proses pembiakan dengan baik dan sempurna.
“Sepanjang perniagaan ini dijalankan saya sudah ‘melahirkan’ lebih 300 jenis haiwan eksotik yang dieksport ke luar negara seperti Afrika dan Amerika Syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mula berkecimpung dalam dunia perniagaan pada 2015 dengan hanya mengambil tempahan dan mengumpul pesanan daripada pelanggan di kedai-kedai haiwan.
Berbekal pengalaman, beliau ditemani isteri, Nur Nina Farisha Woo, memberanikan diri membuka kedai haiwan eksotik pada tahun 2016, Brotherhood Reptiles di Cheras, Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah peniagaan saya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Bila sudah ada pusat ini, operasi peniagaan saya menjadi semakin rancak,” katanya.
Berhubung aspek kos perbelanjaan, katanya daripada segi pemakanan, haiwan berkenaan tidak makan terlalu banyak.
“Makanan dan juga makanan tambahan tidaklah begitu tinggi berbanding haiwan lain seperti kucing. Saya menganggarkan peruntukan untuk makanan RM7 seminggu atau RM28 sebulan.
“Ular sawa bola atau ball phyton pula contohnya kos makanan bagi seminggu hanyalah RM3 kerana ular jenis ini hanya makan sekali seminggu.
“Reptilia bukan macam kucing yang kena selalu diberi makan, ia juga boleh makan sebarang jenis serangga,” katanya.
Mohd. Zulaiman meminati reptilia sejak di bangku sekolah dengan haiwan pertama dimiliki ialah ular sawa spesies ball phyton hadiah pemberian ibunya semasa berusia 15 tahun.
Mengulas mengenai aspek cabaran dalam menguruskan haiwan berdarah sejuk ini, Mohd. Zulaiman menegaskan, pemilik perlu tahu suhu sesuai dengan haiwan peliharaannya.
“Haiwan ini perlu mendapatkan suhu yang sesuai untuk dirinya memanaskan badan. Kalau tidak, ia mudah terkena penyakit seperti selesema terutamanya ular,” katanya.
Bagi yang tertanya-tanya adakah memelihara haiwan ini memerlukan lesen yang sah, jawapannya adalah ya.
Anda perlu dapatkan lesen terlebih dahulu kerana ia membabitkan isu keselamatan dan haiwan kian pupus, antaranya kala jengking dari Mesir.
Mereka yang ingin memelihara reptilia sebagai haiwan peliharaan, Mohd. Zulaiman ada menjual kit permulaan bagi sesiapa yang ingin berjinak-jinak dengan reptilia ini.
Nasihatnya, bagi individu yang ingin memelihara haiwan, mereka perlu terlebih dahulu mengenal pasti jenis haiwan yang menjadi pilihan untuk dibela.
“Seterusnya belajar mengenai selok-belok penjagaannya supaya ia kekal sihat dan dapat membesar dengan sempurna,” katanya.