Merungkai misteri ‘gergasi’ di angkasa lepas - Utusan Malaysia

Merungkai misteri ‘gergasi’ di angkasa lepas

Dr. Adlyka dan rakan-rakan penyelidik berjaya menunjukkan bahawa M51b (galaksi kecil sebelah kiri) mengandungi salah satu lohong hitam supermasif yang paling lemah dalam alam semesta kita. Imej oleh NASA/JPL-Caltech, IPAC.Bumi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Susunan LAUPA JUNUS

Kebanyakan daripada kita tidak mengambil kisah apa yang berlaku di angkasa lepas meskipun fenomena tersebut mempunyai perkaitan dengan kehidupan manusia.

Sebenarnya ada keperluan untuk mengkaji sebarang fenomena tersebut yang mungkin berkaitan kelestarian atau kelangsungan alam semesta dengan syarat kita mempunyai sumber kewangan yang kukuh berbuat demikian.

Sebagai contoh, manusia telah mengkaji satu fenomena dikenali sebagai lohong hitam iaitu objek di angkasa lepas yang mempunyai daya tarikan graviti yang sangat kuat, sehingga tiada apa pun yang boleh terlepas daripada daya tarikannya, termasuklah cahaya.

Salah satu kajian tersebut telah dijalankan oleh Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar yang membuat pencerapan terhadap lohong-lohong hitam supermasif aktif yang malap di sekitar kejiranan kosmik kita dengan menggunakan teleskop Nuclear Spectroscopic Telescope Array (NuSTAR) yang dikendalikan oleh Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat.

Lohong hitam supermasif adalah lohong hitam yang mempunyai berat lebih sejuta kali berat matahari.

Penyelidik antarabangsa

Kajian ini merupakan kerjasama antara 23 penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Dr. Adlyka daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia dibiayai oleh Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FGRS), Kementerian Pendidikan Tinggi manakala kertas kajian ini diterbitkan dalam jurnal Monthly Notices of the Royal Astronomical Society.

Menurut Nur Adlyka yang juga pensyarah di Jabatan Fizik Gunaan, UKM, beliau mengkaji empat lohong hitam supermasif dalam lingkungan 50 juta tahun cahaya dari Bumi. Lohong-lohong hitam ini kelihatannya malap dan lemah berdasarkan cerapan sinar-X bertenaga rendah.

“Kajian ini membantu kita mengkaji dan menguji teori-teori fizik, serta membantu memahami tentang lohong hitam di tengah-tengah galaksi kita sendiri,” ujarnya.

Namun begitu, pemerhatian tersebut mendapati beberapa lohong hitam yang dicerap sebenarnya tidak malap seperti yang disangka kerana tersembunyi di sebalik awan gas dan debu yang tebal.

Lohong hitam yang sedang aktif membesar memancarkan cahaya sepanjang seluruh spektrum sinaran elektromagnet, daripada radio yang bertenaga rendah sehinggalah sinar-X yang bertenaga tinggi.

Katanya, pencerapan sinar-X bertenaga tinggi diperlukan bagi melihat lohong hitam yang berada di sebalik awan gas tersebut kerana sinar ini mampu menembusi awan gas yang melindunginya.

NuSTAR, merupakan sebuah teleskop sinar-X bertenaga tinggi paling sensitif pernah dibina, berjaya membekalkan data yang diperlukan, bersama-sama data sinar-X bertenaga rendah yang diperoleh daripada teleskop Chandra milik NASA dan teleskop XMM-Newton milik Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Dr. Adlyka yang mengetuai penyelidikan tersebut mendapati bahawa dua daripada empat lohong hitam yang dikaji, yang berada di pusat galaksi ESO 121-G6 dan NGC 660, diselubungi oleh awan gas yang tebal.

Menariknya teleskop NuSTAR berjaya membongkar bahawa lohong-lohong hitam tersebut sebenarnya adalah gergasi yang bercahaya dan mempunyai tenaga yang tinggi.

 

Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar,

 

“Hasil kajian ini membuatkan kita tertanya-tanya berapa banyak lagi gergasi ini yang tidak ditemukan meskipun berada berhampiran dengan galaksi kita,” kata Dr. Adlyka.

Kebanyakan lohong hitam yang sedang membesar dipercayai tersembunyi daripada pandangan manusia.

Buktinya adalah berdasarkan pemerhatian terhadap lohong-lohong hitam yang berada lebih jauh daripada kita, dan kajian berkaitan sinaran latar sinar-X kosmik.

Lohong hitam

Dua lagi lohong hitam yang dikaji oleh Dr. Nur Adlyka bermula 2017 bersama rakan-rakan penyelidik, yang berada di pusat galaksi M51b dan galaksi NGC 3486, tidak kurang menariknya.

Dua lohong hitam itu dikenal pasti sebagai antara lohong hitam supermasif aktif paling lemah pernah ditemukan.

Meskipun objek-objek tersebut kelihatan serupa sebelum adanya teleskop NuSTAR, namun struktur dan proses fizik lohong hitam yang lemah ini mungkin berbeza daripada lohong hitam ‘gergasi’ yang ditemukan.

“Pemerhatian baharu daripada teleskop NuSTAR ini mengesahkan kajian teori tersebut, dan berjaya menemukan lohong-lohong hitam aktif paling malap pernah dijumpai,” kata Profesor David Alexander, salah seorang penyelidik bersama kajian ini dan juga profesor astronomi di Centre for Extragalactic Astronomy, Durham University, United Kingdom(UK).

Dr. Adlyka yang juga ahli Young Scientists Network Academy of Sciences Malaysia adalah salah seorang penyelidik dalam kerjasama teleskop NuSTAR yang dikendalikan oleh NASA sejak melanjutkan penyelidikan peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Durham, UK pada tahun 2013.

NuSTAR bantu kajian lohong hitam

Jika melihat langit dengan mata kasar, kita mendapati bahawa ruang di antara objek-objek astronomi seperti planet, bintang dan galaksi kelihatan gelap.

Namun, jika menggunakan teleskop sinar-X untuk mencerap ke angkasa, kita akan dapati bahawa langit ini sebenarnya bercahaya dalam sinar-X. Inilah yang kita panggil sinaran latar sinar-X kosmik.

Cahaya sinar-X ini dipancarkan oleh bahan-bahan yang ‘dimakan’ oleh lohong hitam tersebut.

Oleh kerana kebanyakan pancaran sinar-X di alam semesta kita datangnya daripada bahan-bahan yang dimakan oleh lohong hitam, sinar latar ini mengandungi maklumat tentang semua proses pembesaran lohong hitam yang pernah berlaku sejak permulaan alam semesta kita sehingga kini.

Meskipun begitu kata Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar, bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang proses pembesaran lohong hitam, perlu dipastikan apa yang dilihat pada hujung alam semesta kita selari dengan apa yang dilihat di galaksi-galaksi berhampiran, iaitu sekitar ‘kejiranan kosmik’ kita.

Beliau berkata, sebelum wujudnya teleskop NuSTAR, ahli-ahli astronomi telah menemui lohong-lohong hitam yang bersembunyi di sekitar galaksi berhampiran, tetapi tidaklah sebanyak yang dijangka.

Kini, teleskop NuSTAR berjaya mengenal pasti lebih banyak lohong-lohong hitam tersembunyi.

“Hal ini mengukuhkan lagi pemahaman kita terhadap proses pembesaran lohong hitam di alam semesta,” ujarnya.

Seperti yang kita ketahui, di tengah-tengah galaksi kita juga terdapat satu lohong hitam supermasif.

Oleh itu, kajian mengenai lohong hitam secara amnya dapat membantu manusia memahami lebih lanjut tentang lohong hitam dalam galaksi ini dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada ‘rumah’ kita ini.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya