Masjidil Haram di Kota Mekah, Arab Saudi adalah masjid paling suci bagi umat Islam. Seni binanya sangat unik dan menarik, mampu memukau mata yang memandang.
Tahukah anda, kembarnya, sebuah masjid baharu menggunakan model yang sama telah dibina di kawasan selatan negeri Kelantan, Gua Musang?
Masjid mirip Masjidil Haram berkenaan diberi nama Masjid Razaleigh, sempena nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Pembinaan masjid diilhamkan Tengku Razaleigh itu menelan belanja RM32 juta dan bakal menjadi ikon baharu untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri serambi Mekah ini.
Difahamkan ketika ini, proses pembinaan masjid itu sudah 95 peratus siap. Masjid berkeluasan 70,000 kaki persegi itu dilengkapi bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam, dewan makan dan ruang solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid itu juga menyediakan ruang kepada bakal haji mengadakan kursus secara praktikal seperti tawaf.
Berlatar belakangkan gua batu kapur, Gua Musang, masjid itu bukan sahaja besar, bahkan turut mempunyai rekaan warna, jubin dan hiasan luar termasuk sembilan menara mirip Masjidil Haram.
Selain itu, masjid yang dibina oleh pakar tempatan sejak akhir 2016 itu juga dilengkapi tempat letak kereta yang luas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang terlibat sejak awal pembinaan masjid berkenaan berkata, binaan itu bakal mengubah wajah Gua Musang sebagai pintu masuk ke negeri Kelantan.
Beliau berkata, Masjid Razaleigh akan menjadi produk pelancongan yang berkembang pesat iaitu pelancongan keagamaan.
“Kita melihat banyak negara melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing. Mereka mempromosi secara besar-besaran pusat keagamaan sebagai salah satu destinasi pelancongan.
“Kita juga berharap Gua Musang akan mengambil langkah sama untuk menyebarkan keagamaan serta membantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pembinaan masjid berkenaan bakal menjana ekonomi penduduk di kawasan Bandar Lama yang semakin lesu dengan pertumbuhan beberapa bandar baharu.
Katanya, rakyat harus berbangga apabila bakal mendapat kemudahan yang gah untuk beribadat.
“Kita bersyukur Gua Musang bakal memiliki sebuah masjid yang begitu unik dan indah. Kita berharap apabila masjid ini dibuka nanti dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat,” katanya.
Impian melawat Masjidil Haram seakan tercapai
Masjid Razaleigh mempunyai ruang berwuduk yang selesa
“Impian ke Masjidil Haram di Mekah seakan tercapai apabila saya menjejakkan kaki ke Masjid Razaleigh,” kata seorang penduduk tempatan, Amran Mamat, 47.
Amran mengakui Masjid Razaleigh di Bandar Lama di sini saling tidak tumpah Masjidil Haram dan teruja melihat keindahannya.
Katanya, dia telah melawat masjid berkenaan walaupun belum dibuka secara rasmi.
“Alhamdulillah, cukup indah dan betul-betul menyerupai Masjidil Haram kerana reka bentuknya yang mempunyai sembilan menara,” katanya.
Amran antara ratusan pengunjung yang tidak putus-putus melawat Masjid Razaleigh yang hampir siap dibina.
Masjid itu sepatutnya dibuka untuk solat tarawih pada Ramadan lalu tetapi ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19.
Hasnah Deraman, 48, pula berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat bersolat di masjid itu selepas tiga kali berkunjung walaupun pembinaan belum siap sepenuhnya.
Katanya, binaan memukau itu boleh dijadikan destinasi pelancongan umat Islam negara ini.
“Saya tidak sabar menggunakan kemudahan yang ada di masjid ini dan berharap ia dapat dibuka cepat.
“Selaku rakyat Kelantan, kami berbangga memiliki masjid kembar Masjidil Haram,” katanya.