Masa untuk `move on' - Utusan Malaysia

Masa untuk `move on’

DJ Radio, Haniff Hamzah, Loy Ekzam dan Bob Akmar -Mingguan/MOHD.FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lapan tahun sejak kali terakhir XFM ke udara namun masih ada yang meratib supaya stesen radio itu kembali.
Pastilah kesan yang ditinggalkan XFM kepada peminat-peminat gerakan muzik indie tidak kecil. Setiap hari kita lekatkan telinga pada radio itu untuk dengar lagu-lagu indie terbaharu dan nasihat-nasihat cinta Brader Lev dahulu.
XFM menjadi sumber pengetahuan kita tentang perkembangan gerakan muzik indie Malaysia. Telatah lucu DJ seperti Haniff, Ray, Shac dan Ira menemani hari-hari remaja.
Namun, kita harus terima kenyataan pada tanggal 9 Julai 2012, usia XFM telah tamat. Seperti resamnya kita menghormati makhluk yang telah pergi; pusara XFM boleh dilawati sekali-sekala namun tidaklah boleh kita ratapi pemergiannya sepanjang masa.
Itu yang diharapkan dua individu yang pernah mengecapi zaman kegemilangan bersama XFM, Haniff Hamzah (Haniff) dan Mohamed Hairul Ekzan Mohamed Hisham (Loy).
Kedua-dua mereka bermula di XFM sebagai krew XFresh Street Surfers dan kini mereka mendaki karier masing-masing dalam industri radio dengan Haniff menjadi antara DJ senior di Era FM manakala Loy sebagai Eksekutif Muzik di Rakita FM.
Rondivu mewawancara mereka berdua bersama dengan wakil DJ radio ‘generasi baharu’, Mohamad Fakhrulakmal Mohamad Yusof (Bob) bagi mendapatkan pandangan mereka tentang peranan radio dalam mengangkat karya muzik tempatan, khususnya dalam gerakan muzik indie.
Bagi Bob yang terkenal dengan rancangan Malam Rakita, peminat indie masih boleh meneroka muzik dalam gerakan itu di Rakita, namun kualiti lagu yang disiarkan haruslah melepasi saringan stesen radio tersebut.
“Memang (scene) indie tengah naik sekarang tetapi Rakita sebagai stesen radio tak boleh siarkan semua (lagu), kena kawal juga kualiti.
“Kami akan tapis dari segi kualiti lagu dan lihat, adakah kugiran itu selalu main di gig? Aku sendiri selalu turun gig jadi boleh tengok,”katanya.
Menapis kualiti lagu adalah prosedur biasa bagi semua stesen radio, malah ia juga dilaksanakan di XFM. Cuma, menurut Haniff, kelebihan XFM adalah lesen penyiarannya mewajibkan stesen itu memainkan seratus peratus lagu tempatan.
“Kalau radio nak main semua lagu indie pun, mereka dari arus perdana pula akan persoalkan, kenapa tak main lagu kami?
“Mudahnya, kalau mahu lagu anda dima­inkan di radio, kena bersaing. Tak ada, orang kata, radio tak main lagu indie. Kalau lagu itu ba­gus, radio akan main.
“Kalau nak masuk radio, buat lagu untuk radio. Buat lagu untuk orang ramai dengar. Itulah radio, kami akan (sasarkan) pendengar yang lebih ramai,”kata Haniff.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Loy yang menegaskan, industri radio adalah sebuah perniagaan. Dalam perniagaan itu, mana-mana stesen radio akan berusaha untuk mendapatkan keuntungan bagi memastikan hayatnya tidak berakhir; seperti yang berlaku kepada XFM.
“Kena move on. Peminat tak boleh nak minta benda lama sebab zaman pun dah berbeza. Sekarang ada Spotify, Youtube.
“Buat yang meminta XFM kembali, soalan pertama, adakah anda akan dengar dan sokong (perniagaan) radio?,”soalnya.
Bagi ketiga-tiga mereka, radio masih mempunyai peranan tersendiri bagi mempromosikan muzik tempatan, khususnya dalam gerakan indie namun perbezaan zaman telah mengubah situasi.
Mungkin dahulu radio mampu mendapatkan jutaan pendengar dengan memainkan genre muzik yang spesifik buat sekumpulan pendengar, namun dengan persaingan platform penstriman, ia mungkin sukar dicapai sekarang.
“Lebih baik kugiran atau penyanyi sendiri yang cuba cipta nama dahulu, kemudian radio akan promosikan mereka,”kata Loy.
Ketika ini, Rakita adalah antara stesen radio yang sering memutarkan lagu-lagu indie yang sukar mendapat tempat dalam stesen radio lain. Malah, rancangan Malam Rakita yang dikendalikan Bob bersama rakan penyampainya, Atoi didekasikan sepenuhnya untuk gerakan muzik indie.
XFM adalah kenangan manis buat semua peminat indie yang hidup dalam zamannya, sekitar tahun 2005 sehingga 2012. Namun, ia perlu kekal sebagai kenangan. Cukup-cukuplah kita meratib supaya ia bangkit dari pusara.
Peluk realiti zaman ini. Melangkah keluar dari kepungan nostalgia dengan berani, riang dan terbuka. Barulah boleh kata ‘kami tak hot, kami cool’. – Rondivu, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya