Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperkenalkan program perladangan hijau di Cameron Highlands bagi mengatasi masalah alam sekitar ekoran amalan pertanian yang tidak lestari di kawasan peranginan tanah tinggi tersebut selama ini.
Program tersebut yang akan dilaksanakan secara berterusan akan menumpukan kepada beberapa amalan pertanian lestari termasuklah antaranya berkonsepkan organik, penggunaan agen kawalan biologi dan menghalang hakisan tanah dengan menggunakan tanaman sesuai.
Amalan pertanian di tanah tinggi berkenaan sering menjadi isu alam sekitar kerana aktiviti pertanian yang dilakukan secara intensif di kawasan keluasan bertanam yang terhad akan mudah terdedah isu atau masalah hakisan tanah serta penggunaan racun makhluk perosak yang meluas.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor berkata, sejajar dengan pengenalan program tersebut, pihaknya akan beralih menjadikan Cameron Highlands sebagai Pusat Kecemerlangan Perladangan Hijau berbanding selama ini sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian Tanah Tinggi.
“Kita sudah memulakan program ini secara berperingkat pada tahun lalu apabila melancarkan agen kawalan biologi dengan melepaskan serangga yang akan memusnahkan ulat perosak” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Masalah utama yang dihadapi adalah serangan serangga perosak tanaman krusifer terutamanya kubis yang dikenali sebagai Rama-Rama Intan ataupun Diamondback Moth (DBM) ataupun nama saintifiknya Plutella xylostella.
Serangga perosak ini amat sukar dikawal kerana mudah rintang atau kebal terhadap racun perosak dan mampu membiak dengan cepat.
Menurut Dr. Mohamad Roff petani biasanya akan menyembur racun makhluk perosak yang digunakan dan jika tidak berkesan , mereka membuat semburan racun yang berlebihan yang akhirnya mengakibatkan kerintangan kepada setiap jenis racun.
Oleh kerana penggunaan racun makhluk perosak masih diamalkan secara berleluasa kerana lebih mudah dan murah, maka hanya tinggal beberapa spesies utama yang ditemukan masih kekal hidup dan menjalankan peranan dan fungsinya sebagai agen kawalan biologi di ladang bertaraf organik di Cameron Highlands.
MARDI kata beliau tekah menemukan satu lagi agen kawalan biologi iaitu sejenis lalat yang dikenali sebagai Tiger Fly ataupun nama saintifiknya Coenosia exigua.
Tiger fly menyerang hendap perosak di peringkat dewasa iaitu pelombong daun ataupun leafminer ataupun nama saintiknya Liriomyza spp. pada tanaman krusifer berdaun termasuklah kubis dengan mencucuk dan menggigit mangsa menggunakan sistem proboscis yang mempunyai prestomal seumpama gigi.
Tiger fly mula diperkenalkan pada tahun 2010 di Cameron Highlands bagi mengawal populasi pelombong daun yang boleh mengakibatkan kehilangan hasil sayuran sehingga 100 peratus.
“Bagi mengawal hakisan pula, MARDI akan menggunakan kaedah penanaman terpilih sama ada buah buahan atau sayuran yang mempunyai akar yang kuat bagi mengelakkan hakisan.
“Oleh kerana kaedah pertanian di Cameron Highlands kebanyakannya di kawasan tebing, maka tanaman perlu dipilih yang boleh menghalang air larian permukaan membawa tanah semasa turun daripada tanah tinggi, ” ujarnya.
Justeru, untuk tujuan itu, beberapa pegawai telah dan sedang memulakan kajian berpusat di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands yang selama ini berfungsi sebagai pusat penyelidikan pertanian tanah tinggi.
Dr. Mohamad Roff berkata, setakat ini enam pegawai telah ditempatkan di pusat penyelidikan tersebut dan akan ditambah kepada 10 orang secara berperingkat.
Pegawai-pegawai tersebut akan bekerjasama dengan penyelidik di ibu pejabat MARDI di Serdang ,Selangor bagi menghasilkan beberapa modul amalan pertanian lestari dengan sokongan kakitangan sedia ada.