Lokasi tumpuan peminat kartun, komik di ibu kota - Utusan Malaysia

Lokasi tumpuan peminat kartun, komik di ibu kota

Pandangan dari luaran RKKM sahaja pasti menggamit kedatangan pengunjung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an memiliki komik bagaikan suatu anugerah. Menatapnya dari satu halaman ke halaman yang lain adalah suatu nikmat. Waktu membacanya juga kadangkala perlu dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Menghayati lawak dan cerita dihidangkan lebih seronok ‘baca sorang-sorang, gelak pun sorang-sorang’ mempunyai nikmat tersendiri.

Nikmat itu bertukar sejajar peredaran zaman. Kemajuan teknologi melahirkan telefon pintar, secara perlahan-lahan memudarkan fungsi komik sebagai bahan hiburan dan senda masyarakat.

Bagi mengelakkannya daripada terus mati dan menjadi tinggalan sejarah sebuah Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) yang terletak di Taman Botani, Kuala Lumpur, ditubuhkan pada 1 April 2017 sempena Hari Kartunis Semalaysia.

Rumah berkenaan menyimpan khazanah karya kartun yang berusia lebih 80 tahun. Antaranya karya lukisan Mahsuri, hasil sentuhan Saidin Yahya dan komik yang menjadi fenomena suatu masa dulu, Gila-Gila dan Ujang.

Pengurus Pameran RKKM, Tazidi Yusuf berkata, RKKM menghimpunkan lebih 500 karya daripada 50 kartunis tempatan dari tahun 1930-an, seperti Datuk Mohd Noor Khalid atau Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri, Rossem, Gayour dan Lambok.

“Karya dipamerkan di sini semua asli. Kami mengambil masa hampir setahun untuk mengumpulnya bagi membolehkan ia dinikmati orang ramai.

“Sudah tentulah cabaran paling getir kami hadapi ialah untuk membaik pulih karya yang sudah rosak tulisannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, pengunjung turut berpeluang melihat karya kartun yang dihasilkan pada zaman penjajahan Jepun sekitar tahun 1940-an yang pernah tersiar dalam akhbar dan majalah tempatan seperti Malai Sinpo, The Malay Mail, Syonan Times serta Semangat Asia.

“Seperti kita ketahui, kartun tidak sekadar hiburan tetapi turut dijadikan sebagai medium propaganda sewaktu pendudukan Jepun selama tiga tahun lapan bulan di Malaysia,” katanya.

Pameran di rumah kartun turut menampilkan karya baharu mengikut isu dan perkembangan semasa dan ia ditukar setiap tiga hingga empat bulan sekali.

“Misalnya kami mengadakan pameran Kartunis vs Covid-19 yang memaparkan lebih 50 karya, bukan sahaja kartunis Malaysia tetapi juga dari Indonesia dan Singapura,” katanya yang menambah kini RKKM sarat dengan karya berunsur kemerdekaan.

RKKM anjur kelas

Antara bahan pameran yang disediakan

 

Tidak sekadar ruang pameran, RKMM turut menganjurkan bengkel dan kelas bagi mereka yang berminat mendalami seni lukisan kartun dan komik.

Menurut Tazidi, kelas dijalankan pada hujung minggu selama dua jam bermula pukul 3 petang itu dibuka penyertaannya kepada semua lapisan masyarakat bermula usia tujuh tahun hinggalah ke 40 tahun dan ke atas.

“Seni ini luas. Peminat merangkumi warga tempatan dan pelancong. Bagi yang benar-benar minat, ada yang sanggup menghabiskan sehingga berjam-jam meneliti karya kartunis di sini.

“Ini jugalah tempat kartunis berkumpul dan memperoleh idea baharu dalam berkarya,” katanya.

RKKM mengenakan bayaran masuk RM5. Harga yang cukup murah berbanding nilai seni di dalamnya.

Bagi yang tidak pernah melalui nikmat menatap komik dan kartun tempatan, silalah berkunjung ke sini. Mana tahu dalam kunjungan itu anda berpeluang bertentang mata dengan kartunis tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya