KUALA LUMPUR: Pengacara terkenal Awal Ashaari memberitahu anaknya Lara Alana mula menunjukkan sikap cemburu dengan kehadiran bakal adiknya.
Jelasnya, pada mulanya Lara yang kini berusia enam tahun turut gembira dengan berita kehamilan ini. Namun sikap anaknya itu mula berubah apabila merasakan dirinya kurang perhatian.
“Lara faham yang mengandung itu bermakna ada bayi, jadi bila saya terangkan dia turut gembira.
“Namun dalam tempoh Scha mengalami perubahan emosi memang selalunya dia tidak bercakap. Jadi Lara ada mengadu kenapa ibunya seperti tidak melayan dia yang membuatkan dia rasa kurang perhatian,”katanya kepada Utusan Online.
Mengakui ini adalah cabaran untuk dirinya, kata Awal dia juga mengambil masa dalam menerangkan kedudukan sebenar kepada Lara.
“Memang dalam tempoh sekarang Lara sudah mula merengek seperti mahu kita beri lebih perhatian.
“Kita fahamlah, cuma sebagai seorang ayah saya akan cuba terangkan kepada dia kehadiran adik nanti bukan akan menyebabkan dia kekurangan kasih sayang dan ajar untuk berkongsi,”katanya.
Beberapa hari lalu Awal memuat naik video di Instagram miliknya mengumumkan kehamilan kedua Scha yang sudah masuk empat bulan.
Sementara itu pasangan yang berkahwin pada 2012 dikurniakan Lara selepas dua tahun berkahwin.