APABILA disebut perkataan dakwah, mungkin ramai yang terbayang program realiti seperti Imam Muda, Pencetus Ummah, Da’i dan pelbagai lagi program realiti televisyen (TV). Ada di antara program yang masih berjalan dan tidak kurang juga yang telah berkubur.
Namun dakwah tidak seharusnya dieksklusifkan hanya kepada peserta rancangan realiti tetapi juga dijiwai dan dilakukan oleh semua Muslim yang waras dan akil baligh. Masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan dalam masyarakat.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Siapa yang dikurniakan Allah sedikit kekuasaan, maka gunakan kuasa yang dikurniakan untuk mencegah kemungkaran kerana Nabi SAW sekali lagi bersabda yang bermaksud: Setiap kalian adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya. Amir (kepala negara), dia adalah pemimpin manusia secara umum, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas mereka.
Seorang suami dalam keluarga adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah tangga suaminya dan terhadap anak-anaknya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas mereka.
Seorang hamba sahaya adalah pemimpin dalam urusan harta tuannya, dia akan diminta pertanggungjawaban atasnya. Ketahuilah, bahawa setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas siapa yang dipimpinnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun apabila kita memilih jalan dakwah, ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak pernah dijanjikan jalan dakwah ini akan dibentang dengan karpet merah. Sebaliknya, tercatat dalam sejarah, jalan dakwah penuh dengan liku, titisan peluhan dan darah.
Barang siapa yang ingin mengikuti sunah baginda SAW dengan berdakwah, maka bersiap sedialah juga menghadapi cabaran dan rintangan seperti mana nabi SAW dan para sahabatnya.
Sebagai pendakwah, perlu ingat bahawa kita yang memilih jalan ini dan kita berdakwah bukan kerana janji manusia tetapi kita menagih janji Allah SWT.
Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7) |
Ya. Kita menagih janji Allah untuk membantu kita selagi mana kita membantu agama-Nya. Pendakwah perlu mencontohi baginda SAW dalam berdakwah. Ada lemah lembutnya dan ada ketegasannya.
Hari ini, jalan paling selamat bagi seorang pendakwah agar disukai ramai ialah hanya bercakap apa yang orang ramai suka dengar, jangan cuba menegur mana-mana individu atau pihak, diam dalam isu semasa yang melibatkan ancaman terhadap agama dan negara. Hanya fokus berkongsi kebaikan dan kebenaran Islam. Itu jalan paling selamat.
Ramai yang akan menyokong dan kurang yang membenci kita. Mereka yang membenci kita akan diserang bertubi-tubi oleh penyokong kita yang sayang dan suka pada cara dakwah kita. Namun, tepuk dada tanya iman. Apakah itu cara dakwah nabi Muhammad SAW iaitu play safe?
Apabila saya dalami sirah baginda SAW, saya terjumpa pendekatan dakwah baginda yang cukup dinamik. Baginda SAW bukan sahaja bercakap tentang kebenaran dan kebaikan Islam tetapi baginda juga bercerita tentang kebatilan dan mencegah kemungkaran!
Baginda ditentang dan diperangi bukan kerana bercakap tentang kebaikan dan kebenaran Islam sahaja tetapi baginda ditentang, diperangi, dimusuhi waima mahu dibunuh kerana mencegah kemungkaran.
Baginda mengatakan sesuatu yang tidak disukai pembesar musyrikin dan pengikut mereka. Musyrikin cuba berbincang agar nabi SAW berkompromi. Mereka tawarkan baginda menyembah berhala mereka sehari dan mereka akan sembah Allah seminggu tetapi nabi tolak.
Mereka cuba tawar lagi nabi sembah berhala sehari dan mereka akan menyembah Allah sebulan dan seterusnya sehingga Allah SWT menurunkan surah Al-Kafirun yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. (al-Kafirun:1-6)
Isu akidah adalah harga mati. Nett price. Tiada tolak ansur. Isu fikah kita berlapang dada.
Seorang pendakwah perlu sanggup memikul dan meneruskan tugasan para anbiya. Mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Semua Muslim adalah pendakwah maka laksanakanlah amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita semua.
Seimbangkan dakwah kita dengan mengajak manusia kepada kebaikan dan kebenaran serta mencegah kemungkaran