Menolak lagu baharu miliknya ditujukan kepada bekas isteri, Fendy yang juga pemain drum kumpulan Caliph Buskers memberitahu sudah sampai masanya untuk dia dan bekas isteri diberikan ruang daripada terus dikaitkan.
Malah sejak bercerai dengan pemain perkusi Caliph Buskers, Nur Nadira Rubiana dua tahun lalu tegas Fendy mereka berdua juga sudah selesa dengan kehidupan masing-masing.
“Saya tahu ada netizen mengaitkan lagu tersebut dengan bekas isteri. Ada yang kata saya kembali mengharapkan cintanya semula dan macam-macam hal lain. Tetapi semua itu hanyalah persepsi mereka semata-mata.
“Janganlah mengaitkan apa-apa dengan bekas isteri. Dia pun sudah ada kehidupan tersendiri dan mungkin juga sudah bertemu dengan orang lain. Tak manis untuk terus mengaitkan kami lagi,” jelasnya.
Bercakap mengenai lagu Mengharapkan Mu yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu, Fendy dengan jujur memberitahu, lagu itu ditujukan khas kepada seseorang.
“Mereka boleh sahaja mengatakan apa sahaja tetapi yang tahu kebenarannya tetap saya juga. Lagu ini tidak ada kaitan sama sekali dengan bekas isteri.
“Ini adalah luahan hati saya terhadap seorang wanita lain, bagaimanapun hubungan kami tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu sepanjang perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Azalea Zafirah yang kini berusia 5 tahun.