LAGU Another Loser Anthem dibuka dengan baris lirik “I’m bad at so many things but I’m worst at being me”.
Ia baris pembuka yang baik kerana menjelaskan segala yang hadir selepas itu; baik bait-bait lirik mahupun kekerasan muzik.
Another Loser Anthem adalah sebuah bingkisan dari hati seorang lelaki yang pernah rasa kecewa dengan diri.
Sesiapa yang pernah jatuh ke daerah minda itu akan memandang rendah diri sendiri sehingga segala keyakinan diri berkecai. Diri sendiri dianggap sebagai manusia paling tak berguna, jika dicampak ke Wilayah Tong Sampah pun tidak ada sampah yang mahu berkawan.
Daerah minda itu bernama depresi. Masalah yang sering diratib generasi pascamoden yang setiap hari berlumpur dalam kubang media sosial.
“Generasi kita ini dah besar baru kenal media sosial, pun dah rasa tekanannya. Bayangkan generasi baharu yang dari kecil dah ada dalam dunia media sosial,” kata Hyke Nasir, vokalis dan penulis untuk lirik-lirik Hacktick! dalam EP Dog Days Diaries: A Self-help Book.
‘Generasi kita’ yang dimaksudkan Hyke adalah generasi saya dan dia. Kedua-dua kami berumur 27 tahun. Penyakit mental dan depresi begitu sinonim dengan generasi kami dan di bawah kami. Statistiknya menakutkan.
Bagi Hyke dan empat lagi rakan kugirannya, Ash Anuar (bass/vokal); Mo Ariffin (keyboard/vokal/synthesizer); Mun Bahar (gitar) dan Zul Zaidon (dram/perkusi), EP itu tidak pernah diniatkan untuk menjadi sumber motivasi pendengar mereka.
“Cuma itu pernah jadi impian aku, untuk buat lagu yang boleh teman orang. Waktu aku down, banyak lagu yang teman aku.
“Kira okay la, salah satu impian aku dah tercapai,” kongsi Hyke.
Selain Another Loser Anthem, lagu yang turut mempunyai sifat memujuk dan memberi motivasi dalam EP tersebut adalah Mujikalau Kita Kata Ke Depa, Bukan Depa Nak Mau Dengaq dan yang paling popular, Jangan Risau.
Lirik Jangan Risau turut memasukkan pesan yang pernah diberikan Ash kepada Hyke, iaitu jangan sentiasa menyalahkan diri sendiri jika kita buat silap.
“Waktu aku cakap, aku hanya pesan sebab kawan tengah ‘barai’. Cuma nak positifkan dia.
“Tapi bila aku sendiri melalui fasa ‘barai’ itu, aku dengar semula lagu Jangan Risau, aku pula yang termotivasi,” kongsi Ash.
Walaupun dilancarkan pada 2018, ternyata lagu-lagu Hacktick! terus malar segar kerana mesejnya relevan sehingga kini.
Kelima-lima anggota Hacktick! datang dari sekolah yang sama, iaitu SMK Shahbandaraya, Klang. Kugiran ini juga mula tertubuh di sekolah tersebut pada 2009 oleh anggota asalnya, Hyke, Ash dan Rizqan.
Menjelang 2011, Rizqan meninggalkan Hacktick! dan Zul menyertainya. Pada 2013, Mun dilamar untuk mengisi posisi gitar utama sebelum Mo menyertai mereka pada 2016 sebagai pemain keyboard selepas menolak posisi penari latar.
Mendengar lagi-lagu Hacktick!, mungkin ada yang menganggap mereka sebagai satu lagi ‘kugiran-yang-mahu-jadi-Bunkface’. Namun, karya mereka ada keunikannya tersendiri. Siapa sangka sebuah kugiran pop punk boleh menghasilkan lirik yang bukan sahaja mempunyai makna yang mendalam, malah bait katanya puitis.
“Rahsianya, Hyke minat sastera dari sekolah lagi,” kata Ash.
Bercerita tentang lirik Jangan Risau, Hyke sendiri sebenarnya tidak suka pada rangkap korus lagu itu yang baginya kurang puitis.
“Klise gila tapi nak tukar aku tak tahu nak letak apa. Masa itu kawan aku cakap, aku jujur tak bila tulis? Aku rasa jujur, jadi ia kekal macam itu,” kata Hyke.
Kejujuran dalam berkarya menjadi rahsia kejayaan Hacktick! sehingga diangkat sebagai penerima Anugerah Jeremy dalam Tapau Awards 2019, anugerah yang menobatkan bakat baharu paling menyerlah pada tahun tersebut.
Lebih penting lagi, mesejnya akan kekal relevan selagi pendengar mereka perlukan motivasi untuk meneruskan kehidupan.
Seperti yang ditulis dalam rangkap akhir Another Loser Anthem: “the world’s an ugly place, why don’t we just decorate this space?”.
Jika anda juga fikir dunia ini serba hodoh, apa kata anda cuba hias dunia anda dengan lagu-lagu Hacktick!?- Rondivu, Pancaindera