Suara Ruwaq Jawi
Antara isu yang diperkatakan oleh al-Quran adalah isu pemberontakan (atau dalam bahasa Arab: al-Baghy) yang merupakan antara isu yang berbahaya bagi kehidupan bermasyarakat secara umum.
Pemberontakan adalah penentangan terhadap seseorang pemerintah yang wajib ditaati berpandukan kepada takwilan dalil yang kononnya membuktikan bahawa para pemberontak bersama dengan kebenaran dan dalam masa yang sama, para pemberontak memiliki kekuatan persenjataan yang boleh mengancam pemerintah.
Maka untuk mengatakan sesuatu gerakan adalah pemberontakan, ia perlu kepada tiga syarat:
Pertama: Pemberontak mesti terdiri daripada sekumpulan orang Islam yang memiliki kekuatan ketenteraan atau kekuatan politik yang memberi mereka kekuatan untuk merancang penggulingan seseorang pemerintah dengan berhujahkan kepada takwilan dalil yang salah yang kononnya membenarkan tindakan penggulingan tersebut.
Para fuqaha mensyaratkan bahawa para pemberontak tersebut hendaklah merupakan orang Islam. Sekiranya mereka bukan beragama Islam, maka mereka adalah Ahlul Harb (bukan Islam yang berhak diperangi) dan bukannya lagi dianggap pemberontak.
Sekiranya sekumpulan orang Islam yang memberikan ancaman tersebut melakukan kekacauan tanpa disandari oleh takwilan dalil yang salah dan tidak dengan tujuan penggulingan pemerintah yang sedia ada, maka jenayah ini termasuk dalam katagori Qutto’ al-Toriq (boleh diterjemahkan kepada golongan gangster dan samseng). Hukuman ke atas mereka berbeza dengan hukuman ke atas pemberontak.
Kedua: Masyarakat telah memberikan ketaatan kepada pemerintah yang sedia ada di samping mereka hidup dalam keadaan aman dan telah menerima kebaikan-kebaikan daripada pemerintah.
Jika syarat kedua ini tidak berlaku disebabkan kelemahan pemerintah itu yang menyebabkan timbulnya kumpulan yang ingin memberontak dan menggulingkan kerajaan yang sedia ada, maka tindakan tersebut tidak tertakluk dengan hukum-hakam yang berkait dengan jenayah pemberontakan.
Ketiga: Pemberontakan berlaku secara al-Mugholabah. Maksudnya, golongan yang mahu menggulingkan kerajaan telah menunjukkan mereka mempunyai kekuatan untuk menguasai orang lain.
Dalam masa yang sama mereka mempunyai ketua yang ditaati segala arahan-arahan yang dikeluarkan olehnya.
Isu pemberontakan yang bertujuan menggulingkan kerajaan akan berlaku apabila wujud perbezaan dalam sudut kepentingan.
Tindakan untuk mencapai tujuan pemberontakan akan berasaskan kepada keinginan tertentu yang akhirnya menjadikan hawa nafsu sebagai penghukum kepada tindakan-tindakan yang dibuat.
Bahkan akan menjadi rujukan dalam menentukan hukum dan undang-undang.
Lalu natijah yang bakal berlaku adalah kerosakan dan lari daripada kebenaran yang di penghujungnya akan mengakibatkan kerosakan masyarakat, kerajaan tidak stabil, hawa nafsu semakin menguasai, menggalakkan tercetusnya peperangan dan pergolakan sesama anak bangsa sekali pun sama agama.
Pemberontakan boleh berlaku dalam dua situasi:
Pertama: Peperangan berlaku antara dua kumpulan yang masing-masing ingin memberontak. Maka dalam keadaan ini, yang menjadi kewajipan adalah usaha menyatukan persaudaraan kedua-
dua kumpulan tersebut agar tidak lagi berlaku persengketaan atau sebarang usaha yang boleh membawa kepada perjanjian damai antara kedua pihak.
Jika usaha ini tidak berlaku, maka kerajaan wajib memerangi kedua-dua kumpulan pemberontak ini dengan mengambil kira kaedah secara politik dan peperangan sehinggalah mereka kembali kepada hukum Allah.
Sekiranya sebab pemberontakan yang membawa kepada peperangan adalah kesalahan mereka dalam memahami dalil-dalil syarak, maka kerajaan wajib menerangkan kepada mereka takwilan dalil yang benar berdasarkan bukti-bukti kukuh agar kesilapan takwilan mereka dapat diperbetulkan.
Kedua: kewujudan satu kumpulan sahaja yang ingin menjatuhkan kerajaan yang telah sedia ada secara mengangkat senjata. Maka yang wajib dilakukan adalah memerangi kumpulan tersebut sehingga mereka kembali bertaubat dan memberi ketaatan kepada pemerintah yang sedia ada. (Rujuk ayat 9, surah al-Hujurat)
Al-Quran memberi gambaran yang terperinci bagi isu pemberontakan menerusi ayat di atas dan ayat sesudahnya seperti berikut:
Pertama: Apa yang berlaku antara dua kumpulan yang salah satunya ingin memberontak terhadap kumpulan yang kedua adalah sebahagian daripada tindakan syaitan, cita-citanya dan penipuannya.
Syaitan sebagaimana yang diterangkan di dalam surah al-Maidah ayat 91 ingin mewujudkan permusuhan dan kebencian sesama muslim. Allah memerintahkan kita memutuskan usaha syaitan dengan cara yang telah dinyatakan oleh Allah menerusi surah al-Ma-idah ayat 92 yang bermaksud: Taatilah kamu semua akan Allah dan taatilah kamu semua akan Rasul dan hendaklah kamu semua berjaga-jaga.
Kedua: Ayat ke-9 dari surah al-Hujurat menjelaskan bahawa pemberontakan kadang-kadang boleh terjadi sesama muslim. Ini adalah dalil yang mengizinkan peperangan terhadap orang Islam yang melampaui batas dan dalil utama dalam memerangi golongan yang mentakwil dalil-dalil syarak secara salah yang kononnya membenarkan tindakan pemberontakan mereka kepada pemerintah negara.
Ayat ini juga menjadi pegangan para sahabat Rasulullah SAW dalam mengambil tindakan terhadap sebahagian para sahabat baginda yang melakukan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah Islam ketika itu.
Maka ayat ke-9 dari surah Hujurat ini menjelaskan tindakan memberontak terhadap pemerintah tidaklah menyebabkan para pemberontak murtad daripada Islam. Inilah dalil yang menunjukkan perbuatan melakukan dosa besar tidak menyebabkan pelakunya menjadi murtad sekali gus menunjukkan bahawa para sahabat nabi SAW yang terbabit dengan pemberontakan adalah tetap beragama Islam.
Ketiga: Perintah Allah SWT di dalam ayat 9, surah al-Hujurat yang bermaksud: … maka kamu semua perangilah kumpulan yang melampau adalah merupakan fardu kifayah.
Ini adalah punca sebahagian para sahabat nabi SAW tidak menyertai tentera kerajaan Islam memerangi para sahabat yang memberontak. Ayat tersebut juga menunjukkan kesilapan pandangan sebahagian para ulama yang tidak membenarkan peperangan ke atas orang Islam yang memberontak.
Syarat bagi kerajaan yang ingin memerangi golongan pemberontak adalah kerajaan lebih kuat daripada golongan pemberontak atau hampir menyamai kekuatan golongan pemberontak. Ini supaya peperangan itu tidak mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar.
Keempat: Memerangi golongan pemberontak mempunyai had tempohnya iaitu sehinggalah para pemberontak kembali kepada kebenaran.
Ayat ke-9 dari Surah al-Hujurat juga menjelaskan, penyelesaian kepada isu pemberontakan adalah islah atau memperbaiki golongan yang memberontak. Islah disebut sebanyak tiga kali di dalam ayat tersebut.
Hairul Nizam Mat Husain ialah Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah, Mesir.