Hobi premium pemilik kereta klasik - Utusan Malaysia

Hobi premium pemilik kereta klasik

Deretan kenderaan antik yang pastinya mengujakan penggemarnya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun nampak seperti besi lama tetapi jika dijaga dan diubah suai pastinya memiliki nilai tinggi di pasaran.

Mungkin itulah yang terlintas di hati empunya kereta antik. Mereka sanggup berhabis ratusan ribu ringgit semata-mata ingin memastikan milik kesayangan terus hidup sebaris kenderaan moden hari ini.

Jika berada di atas jalan raya, pastinya mata tidak terlepas memandang pada badan kereta yang sememangnya nampak unik.

Rakyat Malaysia gemar akan keunikan kereta antik. Walau bagaimana tidak semua mampu memilikinya disebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi maka minat tersebut terkubur begitu sahaja.

Hobi seumpama ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi kerana perlu mengambil kira kerja-kerja pengubahsuiana bagi menjadikan kereta tersebut mempunyai nilai estetika tersendiri.

Seorang pengumpul kereta antik, M. Rukshan tidak berkira untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membaiki dan mengubah suai kereta lama kerana menyedari nilai yang begitu tinggi di pasaran.

Beliau yang juga pemilik perniagaan import, peniaga kereta dan motosikal klasik, My Classic Cars mewarisi minat mengumpul kereta itu daripada ayahnya yang memiliki Volkswagen antik.

Berikutan minat yang mendalam, Rukshan mula berjinak-jinak dengan mengumpul pelbagai jenis kereta antik daripada pelbagai jenama.

“Saya pernah memiliki 50 kereta antik tetapi kini tinggal 20 sahaja. Kereta-kereta ini boleh dijual pada harga ratusan ribu ringgit mengikut model selepas diubahsuai,” katanya.

Rukhsan yang memiliki kereta antik jenama Packard model Clipper Deluxe tahun 1954, memberitahu, kenderaan tersebut dibeli daripada anak bekas Menteri Kewangan, Tun Henry Lee Hau-shik, lebih dikenali sebagai Tun H. S. Lee.

“Kereta Clipper ini satu-satunya model yang ada di Malaysia dan direka khas untuk orang kenamaan.

“Enjinnya sangat baik dan tidak bising. Saya beli kereta ini pada 2007 sebelum harganya mencecah RM100,000. Kini harga pasaran boleh mencecah RM400,000,” katanya.

Rukshan memberitahu, beliau bersedia menjual kereta berkenaan kepada mereka yang berminat meskipun telah berhabis hampir RM130,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Dalam pada itu, beliau turut menawarkan sewaan bagi mereka yang ingin menggunakan kenderaan seumpama itu semasa meraikan hari-hari istimewa.

“Kami juga menawarkan sewaan kereta antik bagi tujuan perkahwinan atau sebarang majlis pada harga serendah RM1,000 untuk enam jam termasuk pakej pemandu dan hiasan kereta,” ujarnya.

 

Pesona kereta premium, antik

 

                                                                   Pameran My Classic Cars di Cyberjaya mendapat tumpuan

 

Terdiri daripada pelbagai latar belakang, namun tidak menghalang bagi peminat kereta antik atau vintaj dari seluruh Malaysia berkumpul setiap kali adanya pameran.

Baru-baru ini, Ikhasas Group Development dengan kerjasama My Classic Cars menganjurkan pameran kereta klasik buat julung kalinya di Shaftsbury Square, Cyberjaya. Program ini berjaya mengumpul kira-kira 80 pemilik kereta antik dari seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Ikhasas dan Presiden Pertubuhan Amal THZ, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj berkata, pameran tersebut bukan sahaja memberi peluang peminat kereta antik berkumpul tetapi menggalakkan mereka melakukan kerja amal melalui kutipan derma yang disalurkan kepada rumah kasih harmoni Paya Jaras dan Pusat Jagaan Anbe Sivam.

“Kali ini kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengumpul kereta antik. Daripada asalnya sekadar 40 pemilik kereta yang bersetuju untuk menyertai pameran ini meningkat kepada 80 orang,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Nordin memberitahu, dengan tema Klassik Kulture Sunday, pameran itu berjaya memukau dan menarik minat golongan muda khususnya dari Cyberjaya dan berdekatan untuk sama-sama berkongsi minat dan cita rasa terdapat variasi kereta antik.

 

            Penampilan sebuah kenderaan klasik amat terserlah dengan hiasan unik

 

“Kami berharap aktiviti seperti ini akan membuka lebih peluang untuk orang ramai mengenali model kereta-kereta antik yang sukar diperoleh di pasaran.

“Aktiviti ini juga merupakan titik permulaan bagi peminat kereta antik mengeratkan siraturahim sesama mereka dan orang ramai,”ujarnya.

Sementara itu, Shaftsbury Square bakal berubah wajah dan bakal menjadi kawasan tumpuan baharu golongan muda bersantai

Wakil Shaftsbury Square, Nor Aziatul Fatiha Mohd. Azlan berkata, bangunan itu bakal membuka mata orang ramai untuk menghabiskan hujung minggu yang sememangnya memiliki variasi premis makanan dan pejabat.

“Selain pameran kereta antik, kita mahu wujudkan tarikan baharu di Cyberjaya kerana itu kami turut memperkenalkan Bazar Lorong Belakang yang menjual pelbagai barangan, makanan dan minuman setiap dua minggu,” katanya.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya