“Ada peluang dan kemungkinan.” Itu jawapan penerbit dan pelakon popular, Datuk Gerald Hans Isaac ketika ditanya sama ada dia akan menceburi arena politik suatu hari nanti.
Jelasnya, dengan usia dan pengalaman bekerja dalam agensi kerajaan sebelum ini membolehkan dia melihat keadaan ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dirinya.
Namun tidak mahu menjadikan itu sebagai fokus utama. Kata Hans, buat masa sekarang dia lebih senang mencari keseimbangan dalam kehidupannya untuk membantu lebih ramai orang. Bagi anak seni yang sudah hampir 30 tahun dalam industri perlu dia bertukar angin dalam mendapatkan motivasi diri meneruskan perjalanan hidupnya.
“Soal sama ada saya akan terjun dalam bidang politik bukan sesuatu yang boleh ditentukan diri saya sendiri. Bergantung kepada masyarakat sama ada mereka sendiri yang mahukannya.
“Tetapi dengan usia dan pengalaman bekerja dalam agensi kerajaan, apa yang boleh saya kongsi ada peluang dan kemungkinan,” katanya kepada Pancaindera.
Hans yang juga pemilik syarikat produksi Tall Order Sdn. Bhd., memberitahu ketika ini dia yakin rakyat cukup matang dalam menilai seorang pemimpin. Malah secara peribadi juga dia berharap sudah sampai waktunya untuk Malaysia melahirkan ahli politik yang lebih berkualiti dan berintegriti.
“Kalau pemimpin itu hanya membuat janji palsu, secara jelas masyarakat akan tahu.
“Sebagai rakyat Malaysia apa yang saya harapkan adalah untuk melihat dunia politik lebih profesional. Tanpa pergaduhan, tak perlu menjatuhkan orang lain untuk naik. Boleh berbeza pendapat tetapi itu bukan tiket untuk menghina dan bersikap kurang ajar.
“Sebab ini adalah pelajaran yang akan ditinggalkan buat generasi akan datang,”jelasnya panjang lebar.
Mahu lebih jelas dengan apa yang diusahakan dirinya. Kata Hans,48, yang juga pencetus kepada kempen #Kitabudakampang ketika ini apa yang cuba dilakukan melalui kempen ini adalah untuk membantu penduduk sekitar.
Bergerak dengan sumber kewangan sendiri, jelasnya, sudah sampai waktunya dia melihat sesuatu yang lebih luas.
“Melalui kempen #Kitabudakampang saya cuba membantu penduduk di sekitar kejiranan saya. Sebagai penduduk Ampang sejak 38 tahun lalu saya cukup selesa di sini. Malah pejabat saya sendiri terletak di Ampang.
“Kami mempunyai masa dua bulan sahaja untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang sudah dirancang. Tidak melibatkan politik memandangkan usaha ini dalam membantu masyarakat sekitar dalam menikmati kehidupan yang lebih selesa dan terjamin. Apa yang diusahakan saya dan beberapa rakan lain turut menerima sokongan penduduk di luar Ampang,” jelasnya panjang lebar.
Neelofa hanya jodoh sebagai kawan
Menduga kisah cintanya sebelum ini dengan selebriti cantik Neelofa, kata Hans apa yang jelas ketika ini jodohnya dengan pengacara popular itu hanya akan bernoktah sebagai kawan sahaja.
Menjelaskan apa yang berlaku sepanjang percintaanya dengan Lofa dia akui ada yang `hilang’ dalam hubungan itu.
“Dahulu kami bercinta, tetapi ada yang tidak kena dalam hubungan itu yang membuatkan kami rasa hubungan sebagai kawan itu lebih selesa.
“Mungkin Lofa lebih sesuai dengan orang lain. Bukan dengan saya,” katanya ringkas.
Mengakui cukup matang dalam mencari makna dalam sebuah hubungan kini, Hans tanpa berselindung mengakui memang sudah ada wanita lain mencuri hatinya. Namun belum sampai waktunya untuk dia mendedahkan siapa gerangan wanita bertuah itu.
“Saya memang sedang berkenalan dengan seseorang, tetapi tidak akan mendedahkan siapa wanita itu buat masa sekarang.
“Soal perkahwinan memang terfikir, sebab ketika ini saya bukan mencari kekasih tetapi seorang isteri,” katanya.
Seronok tidak bersama Finas
Sempat mengemudi jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selama 13 bulan. Sehingga kini Hans akui ada perasaan kecewa yang menyelubungi hatinya.
Namun melihat perjalanan Finas kini, tidak dinafikan ada sisi kelegaan untuk dia tidak lagi berada di agensi kerajaan tersebut.
“Memang saya akui kecewa, sebab ada perkara yang tidak sempat kami selesaikan. Dalam tempoh itu apa yang berlaku saya cuba bersihkan Finas selain dalam usaha mendapatkan kelulusan mengubah akta Finas untuk kepentingan penggiat seni.
“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, sokongan akan tetap diberikan jika benda itu betul tetapi saya akan tetap bersuara jikalau ada perkara yang salah.
“Cuma apa yang boleh saya katakan kini, cukup gembira tidak lagi bersama badan kerajaan itu lagi memandangkan semakin keliru dengan fokus dan hala tuju Finas kini,”katanya.
Tidak menolak Finas masih lagi relevan dalam membantu industri filem negara, namun kata Hans ada usaha yang perlu diperbetulkan dalam memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.
“Saya tidak perlukan duit Finas, apa yang ada pada hari ini bukan daripada dana Finas sendiri. Namun saya tahu ada pihak yang mengharapkan Finas sebagai tempat mereka mencari makan.
“Cuma dalam konteks ini Finas tidak sepatutnya menjadi platform kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan semata-mata. Dana dalam Finas adalah duit kerajaan untuk membantu penggiat filem jadi perlu salurkan kewangan itu dengan betul,”katanya.
Menerima beberapa tawaran lakonan ketika ini, bagi Hans bukan waktunya untuk kembali sibuk di hadapan kamera. Katanya dengan kekangan waktu, ada yang perlu diutamakan dahulu.
“Saya terpaksa menolak kesemua tawaran lakonan buat masa sekarang. Bukan waktu yang sesuai untuk saya berlakon buat masa ini. Saya sudah cukup lama dalam industri. Jadi ada perubahan yang saya lakukan.
“Sama ada saya akan meninggalkan terus dunia lakonan, tiada keputusan untuk perkara itu lagi,” jelasnya. – Mingguan Malaysia