Gajah mengamuk tanda ‘tertekan’ - Utusan Malaysia

Gajah mengamuk tanda ‘tertekan’

Jabatan Perhilitan Johor menangkap gajah liar termasuk seekor gajah betina yang disyaki menyerang pengawal keselamatan hingga maut baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh DR AHMAD ISMAIL

Kejadian gajah mengamuk seperti yang dilaporkan berlaku di Lebuh raya Timur Barat dekat Gerik pada 3 Ogos lalu lalu mungkin dapat dielakkan sekiranya perancangan dibuat dengan teliti semasa menjalankan sesuatu projek pembangunan.

Pembinaan jalan raya merentas hutan menghalang laluan tradisi gajah dan ini boleh menimbulkan konflik manusia-gajah. Begitu juga dengan kes yang dilaporkan di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi-Mersing) yang juga bersebelahan habitatnya di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi.

Kajian perlu dijalankan sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan dan sentiasa memberikan pilihan kepada hidupan liar seperti gajah agar tiada konflik dengan manusia.

Laluan khas hidupan liar seperti gajah perlu dibina bagi membolehkan haiwan tersebut melintas lebuh raya dengan selamat.

Sebelum ini mungkin rakyat Malaysia pernah mendengar ‘pengisytiharan’ perang terhadap pemburu haram dalam usaha pemuliharaan harimau yang dikatakan kurang daripada 200 ekor.

Walhal kerajaan menyasarkan 1,000 ekor Harimau Malaya dalam habitat asalnya di seluruh Semenanjung pada tahun ini.

Sasaran asal itu terkandung dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) dilancarkan pada 2008.

Begitu juga penekanan kerajaan dengan Gajah Asia yang juga sangat terancam.

Kerajaan komited dalam pengurusan gajah liar. Pelan Induk Pemuliharaan Gajah Asia (Elephas maximus) Semenanjung Malaysia yang diwujudkan sejak tahun 1990 dan dikemaskini pada tahun 2006 sebagai Pelan Pengurusan Gajah Semenanjung Malaysia menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha melindungi haiwan tersebut.

Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) untuk 10 tahun (2013-2022) pula menyediakan strategi pemuliharaan yang fokus kepada tindakan yang khusus.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan pemuliharaan hidupan liar di Semenanjung. Ini bermakna gajah dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.

Kawasan lain seperti Ulu Muda dan Belum- Temenggor antara kawasan yang terdapat banyak gajah. Populasi gajah dikira berdasarkan kesan tapak kaki, tahi gajah atau menggunakan perangkap kamera dan data konflik manusia-gajah.

Namun bilangan gajah sebenar masih tidak dapat ditentukan. Kaedah lain perlu diterokai terutamanya pada zaman teknologi informasi bagi mendapatkan bilangan sebenar gajah.

Penerokaan hutan untuk pertanian, ladang rakyat, kawasan perumahan dan perbandaran mengurangkan habitat gajah. Projek penanaman klon getah memberikan tekanan kepada habitat gajah.

Penebangan hutan mengganggu laluan tradisi gajah dan apabila keluasan hutan semakin mengecil dan berpulau-pulau akhirnya menyebabkan konflik dengan manusia.

Konflik manusia-gajah adalah masalah kedua dalam konteks konflik manusia-hidupan liar selepas konflik manusia-kera. Ini berpunca daripada habitat hiawan semakin kecil dan manusia terdedah kepada haiwan liar. Konflik manusia-gajah termasuklah gangguan tanaman dan masuk ke kawasan perumahan.

Langkah kerajaan mengurangkan konflik adalah dengan memindahkan gajah ke tempat lain seperti di taman negara. Antara tahun 1974 hingga 2010, terdapat lebih 600 gajah dipindahkan ke taman negara dan kawasan hutan sekitarnya seperti Pulau Besar and Sungai Ketiar, Belum-Temengor dan Endau Rompin.

Program pemindahan gajah dilakukan setelah pembunuhan gajah diharamkan pada 1974. Malaysia adalah negara yang terkenal dalam program pemindahan gajah.

Pelaksanaan CFS (Central Forests Spines) masih lagi belum dinyatakan berbanding kadar kemusnahan hutan yang menjadi habitat gajah.

Sempena hari gajah tahun ini marilah seluruh rakyat Malaysia bersama kerajaan meneliti pelaksanaan kerajaan dalam pemuliharaan gajah liar.

Agresif kerana terancam

 Seorang pemilik kebun pisang memerhatikan kemusnahan yang dipercayai angkara gajah     yang mengamuk.

 

Kejadian gajah mengamuk baru baru ini memberi pengajaran kepada kita dalam pengurusan gajah liar atau pun hidupan liar amnya.

Kawasan-kawasan yang dikatakan diganggu gajah ini adalah lokasi perbuatan haiwan berkenaan keluar dari hutan dan melintas jalan raya kerana ini adalah kawasan tradisinya.

Gajah bertindak agresif apabila berasa terancam disebabkan gangguan manusia. Misalnya pengguna jalan raya yang terserempak gajah dilaporkan membunyikan hon kereta.

Ada juga yang teruja keluar daripada kenderaan kerana ingin merakam gambar dan video gajah yang keluar melintas. Tindakan ini boleh mengundang bahaya kepada manusia.

Banyak kes-kes sebelum ini tentang gajah yang dikatakan mengamuk atau konflik dengan manusia. Misalnya pada Jun 2017, seekor anak gajah dirempuh dan mati apabila sedang melintas di Lebuh raya Gerik-Jeli.

Pada Februari 2018, seekor gajah betina dewasa terkena renjatan elektrik berhampiran sebuah kem tentera di Tasik Banding, Perak.

Pada Januari 2018 gajah menghampiri perkampungan manusia akibat penebangan hutan di kawasan berdekatan di Baling, Kedah.

Pada bulan September, 2018 pula, seorang pesara tentera mati dipijak gajah jantan dekat Padang Terap, Kedah. Konflik atau kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya penbangunan dirancang dengan teliti.

Ancaman utama gajah adalah aktiviti pemburuan haram. Permintaan tinggi terhadap gadingnya mendedahkan haiwan tersebut kepada pemburuan haram.

Antara negara yang memerlukan gading ialah China. Pemburuan gajah juga untuk daging, kulit dan lain-lain bahagian badannya.

Ancaman lain adalah kehilangan habitat kerana penebangan hutan untuk balak, pertanian dan penempatan manusia.

Keadaan hutan yang sempit mengehadkan pergerakan haiwan ini dan boleh mengganggu pembiakannya.

Justeru konflik yang timbul menjadi masalah dan menyebabkan gajah perlu dipindahkan ke habitat baharu.

Gajah di dalam kurungan pula merupakan masalah dalam hak berkaitan konservasi gajah.

Ini kerana gajah dalam kurungan selalunya diletakkan di dalam zoo untuk faedah pelancongan.

Hari Gajah Sedunia merupakan satu lagi acara tahunan yang disambut pada 12 Ogos bertujuan melindungi dan memulihara haiwan tersebut.

Walaupun gajah liar hanya terdapat di benua Afrika dan Asia Timur serta Asia Tenggara, seluruh dunia memberi perhatian.
Gajah Asia terdapat di Malaysia dan berada dalam keadaan terancam.

Info
» Bilangan gajah di Malaysia ketika ini adalah antara 2,351 hingga 3, 066 ekor.
» Jumlah gajah di Semenanjung Malaysia antara 1,251 hingga 1,466 ekor manakala di Borneo antara 1,100 hingga 1,600 ekor.
» Gajah di Semenanjung Malaysia terdapat di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.
» Bilangan gajah berubah- ubah bergantung kepada rujukan dan tahun kajian dilakukan.
» Tiada satu kaedah yang mudah bagi mengetahui bilangan gajah sebenar di dalam hutan tebal di negara ini.
» Pada abad ke-19 gajah dilaporkan terdapat di semua negeri di Semenanjung kecuali Pulau Pinang.
» Taman Negara mempunyai gajah paling banyak antara 290 hingga 350 ekor.
» Kawasan lain seperti Endau-Rompin 50 ekor, Kelantan (antara 250 hingga 300 ekor) dan Johor (antara 130 hingga 180 ekor).

 

Penulis ialah Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya