Emas naik harga, jangan lupa zakat - Utusan Malaysia

Emas naik harga, jangan lupa zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Unjuran harga emas di pasaran dunia menunjukkan ia akan terus naik sehingga ke suatu angka yang tidak terduga sebelum ini. Bagi umat Islam, emas sangat penting. Ini kerana, nisab zakat (paras minimum wajib zakat) bagi harta perniagaan, pendapatan, pelaburan, wang simpanan dan emas itu sendiri adalah bersandarkan kepada harga 85 gram emas (85 g X harga emas semasa = nisab zakat).

Realitinya, zakat dari kategori inilah yang paling banyak menyumbang kepada kutipan zakat. Di Selangor sahaja, zakat pendapatan dan perniagaan membentuk sekitar 80 peratus kutipan keseluruhan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya emas sebagai petunjuk kekayaan umat Islam. Semakin naik harga emas, semakin tinggi nisab. Apabila zakat juga meningkat, ia menunjukkan kekayaan umat juga meningkat, kerana ramai yang mampu berzakat.

Bayangkan, pada tahun 2000, nisab zakat harta di Selangor hanya RM3,200. Ia menyamai RM37.64 bagi satu gram emas. Bagaimanapun, pada tahun 2020, ia sudah mencecah RM18,510.72 sekali gus menunjukkan harga satu gram emas kini adalah RM217. Kenaikan sebanyak 447 peratus dan ia sangat luar biasa!

Analogi mudah, jika pada tahun 2000 dahulu mak cik Kiah mempunyai emas seberat 10 gram, ia bernilai RM376 namun tahun 2020 nilainya sudah menjadi RM2,170. Bayangkan jika mak cik Kiah mempunyai 100g emas, nilainya ialah RM21,700.

Kekayaan ini tidak akan berlaku jika mak cik Kiah menyimpan dalam bentuk mata wang, kerana ternyata mata wang tidak stabil. Emas lebih stabil dan tidak mudah terjebak dengan inflasi.

Umat Islam sewajarnya merebut peluang ini lebih awal. Melaburlah dalam emas, kerana ada jaminan nabi mengenainya. Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar (emas) dan dirham (perak). (Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal).

Cuba kita lihat, betapa benarnya hadis di atas. Dalam senario pendemik Covid-19 hari ini, kita dapat saksikan harga emas dunia terus mencanak naik; berbanding matawang dunia lain yang terus goyang dan merudum. Negara sebesar dan sekuat Amerika Syarikat pun tidak mampu menahan kejatuhannya.

Maka, kecenderungan umat Islam untuk terus membeli dan melabur di dalam emas sangat baik dan ia wajar dikembangkan. Ingatlah, dengan memiliki emas bermakna umat Islam juga dapat menguasai kekayaan dunia dan sekali gus dapat berzakat, berwakaf dan banyak lagi instrumen kebajikan ummah dapat dilestarikan.

Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai emas ini masih panjang. Ia melibatkan emas perhiasan, emas bukan perhiasan, emas pelaburan (patuh syariah dan tidak patuh syariah), emas di pajak gadai (konvensional dan ar-rahnu) dan sebagainya lagi. Insya-Allah, kita akan menyambung perbincangan ini pada masa akan datang. Wallahua’lam.

Hamizul Abdul Hamid ialah Pengurus Sekretariat Dakwah dan juga Dai Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya