Dunia seni belum ternoktah - Utusan Malaysia

Dunia seni belum ternoktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan noktah, cuma koma.”

Itu jawapan Syatilla Melvin tatkala ditanya perjalanan dunia seninya yang semakin kabur dalam industri. Dia seolah-olah perlahan-lahan meninggalkan dunia seni.

Tidak mahu namanya dilupakan, Syatilla mengakui dia perlu segera kembali menerima tawaran lakonan kerana gusar suatu hari ini, dia lebih dikenali sebagai selebriti media sosial semata-mata.

Mengakui ramai pelakon yang ‘terseksa’ di hujung usia, ibu kepada dua orang anak ini tidak mahu menagih simpati kerana tiada simpanan wang. Dia perlu segera fikir jalan selesa untuk masa depan.

Lantas perniagaan produk kecantikan adalah antara cara pelakon cantik ini mencari rezeki dan menyimpan untuk masa depan. Dia harus sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.

“Sejujurnya memang tawaran berlakon itu sentiasa ada, cuma kesibukan berniaga membuatkan saya tidak dapat terima tawaran-tawaran itu. Ramai peminat bertanya juga tetapi itu juga jawapan saya.

“Saya bukan jenis orang yang boleh buat dua kerja dalam satu masa. Biarlah saya fokus satu dahulu. Nanti tidak terkejar, rugi pula,” kata pemilik empayar produk kosmetik, Kekasih yang diusahakan bersama tiga adik beradiknya.

Ditanya tidakkah dia merindukan suasana bekerja di set penggambaran, jelas Syatilla, hatinya sentiasa mahu kembali berlakon namun, bukan untuk sekarang. Dia tetap prinsip untuk mencari rezeki dengan berniaga.

“Alhamdulillah, berniaga ini lebih memberi kepuasan. Malah, produk Kekasih juga semakin mendapat tempat.

Saya sendiri tidak sangka, belum cukup setahun tetapi Kekasih sudah memberi pulangan berlipat ganda.

“Siapa pun kalau ditanya, berniaga lebih memberi banyak keuntungan berbanding lakonan. Namun, lakonan ini jiwa. Saya tak pandai berniaga mulanya. Banyak kali kena tipu.

“Bukan sedikit jumlahnya, malah pernah ditipu ratusan ribu ringgit. Jadi, kalau saya nak berlakon dan berniaga dalam masa yang sama memang kelam kabut jadinya,” seloroh isteri kepada pelakon, Shaheizy Sam ini.

 

 

Lepas Kekasih, jamu menyusul

Selepas berjaya meletakkan jenama Kekasih sebagai salah satu produk kosmetik popular tanah air, kini Syatilla Melvin melangkah setapak ke hadapan kerana bakal melancarkan produk jamunya sendiri.

Masih berteka-teki tentang jenama produk itu, Syatilla bagaimanapun sedikit gusar dengan penerimaan peminat. Namun dia percaya, produk yang sudah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan hampir lima bulan itu bakal mencuri hati pembeli.

“Saya bakal melancarkan produk baharu keluaran sendiri bulan depan. Saya suka makan jamu, sejak kecil. Jadi saya yakin dengan produk ini cuma gementar dengan penerimaan pembeli.

“Cuma saya percaya, peminat jamu dalam kalangan wanita tempatan memang ramai. Semua mengakui jamu baik untuk kesihatan dalaman dan luaran. Sebab itu saya ambil risiko keluarkan produk ini.

“Ini adalah produk sendiri, bukan bersama adik-beradik. Saya kena berani untuk mencuba sesuatu yang baru. Suami juga menyokong,” kata pelakon drama Dalam Setiap Sujud ini.

Dalam pada itu, sengaja mengusik manja Syatilla dengan soalan tidakkah dia mahu menambah bilangan anak, pelakon itu dengan selamba menjawab “Jangan tanya nombor tiga”.

Jelasnya, dia mahu mengambil masa lima tahun sekurangnya-kurangnya sebelum mengandung anak ketiga. Dia sebolehnya mahu fokus perniagaan dan juga kerjaya seninya.

“Belum lagi untuk fikir soal anak ketiga. Sarima baru hendak masuk dua tahun dan Syeriv juga sedang membesar. Biarlah dahulu.

“Memang ada rasa trauma sedikit selepas melahirkan Sarima. Sebab itu bagi masa sedikit untuk merancang keluarga,” kata pelakon Gondola Cinta Di Venice ini.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya