Bicara hati dan cinta Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

Bicara hati dan cinta Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menerjah ke dalam industri sekitar enam tahun lalu, onak dan duri ditongkah gadis cantik ini bukan semudah mematahkan sebatang pensil. Jiwa dan kudrat berbalas lelah.

Namun bagi Uyaina Arshad, niat di hati untuk mencari rezeki dan mencuba nasib bergelar anak seni menguatkan semangat dirinya. Tidak mudah kalah dengan cabaran, itu obor kekuatan gadis berusia 27 tahun ini.

Pada tangga usia tiga tahun menggenapkan angka 30, pastinya soal perkahwinan berlegar perlahan di dalam benak fikiran. Dia pasti punya impian sendiri, untuk bahagia bersama jejaka pilihan.

Mengangguk setuju tatkala disoal adakah dia kini sedang mengenali hati seseorang, Uyaina bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dalam soal cinta. Dia percaya, jodoh itu pasti tiba juga.

“Ya, saya sedang mengenali seseorang. Kami ada juga berbincang soal kahwin. Mestilah, takkan bercinta untuk bersuka-suka sahaja.

“Tetapi perancangan perkahwinan bukanlah dalam masa terdekat ini. Saya seorang yang sangat serius dalam perhubungan. Namun, siapa gerangannya, biarlah rahsia,” kata anak kelahiran Perak ini.

Tidak suka mencanang soal cinta, Uyaina lebih suka berbicara soal kerjaya. Dia sebolehnya tidak mahu lembaran seninya di penuhi dengan kisah-kisah cinta semata. Lebih baik kerjaya diletakkan di hadapan.

“Tak mahulah orang sibuk bercakap tentang siapa teman lelaki saya, bila hendak kahwin dan sebagainya. Kalau boleh, biarlah kerjaya yang menjadi topik perbualan.

“Tetapi saya tahu, itu lumrah anak seni. Kisah hidup kita adalah perkara umum yang ramai peminat hendak tahu. Mahu tak mahu, kita kena juga cerita.

“Tapi saya seorang yang agak private kalau hendak berkongsi tentang hidup. Sikit-sikit bolehlah, peminat perlu faham,” selorohnya sambil menguntai senyuman manis.

Mengenali Uyaina, gadis ini memang cukup ramah. Tanyalah apa sahaja, dia pasti ringan mulut menjawab. Bukan seorang yang kuat sentap bila ditanya soalan panas.

Tidak hairanlah, juara sulung Puteri Muslimah Asia 2018 ini cukup popular di Indonesia. Keramahannya mencuri hati peminat seni negara seberang sehingga berjaya meletakkan nama sebagai pengacara tetap sebuah program hiburan di sana.

“Kalau ikutkan memang saya rindu sangat untuk bekerja di sana. Namun, pandemik yang sedang melanda ini belum berakhir. Saya harus reda dan terima ketentuan, semua ini ada hikmahnya.

“Sebenarnya saya suka bekerja di sana. Penontonnya berbeza. Keramahan dan kemeriahan di sana juga berlainan. Tetapi, hati saya tetap di sini bersama peminat tempatan. Saya hargai peminat tidak kira siapa.

“Saya bersyukur diterima bekerja di negara seberang. Tidak ramai mendapat peluang seperti itu, justeru kepercayaan mereka membuatkan saya mahu bekerja lebih keras,” katanya yang cukup popular sebagai pengacara D’Academy Asia.

Berbicara soal kerjaya, juara Pencarian Nona Manis 2015 ini sedang sibuk di set penggambaran drama baharu, Perempuan Tanpa Dosa yang digandingkan bersama pelakon lain seperti Uqasha Senrose dan Kamal Adli.

Malah, dia juga kini mengacara program realiti baharu, Ratu Hijabista yang memberi peluang kepada gadis muda berhijab memperlihat bakat seni masing-masing.

“Saya risau juga nanti bila masuk set sebab terpaksa berulang-alik antara Terengganu dan Kuala Lumpur. Setakat ini, doktor cakap kesihatan jantung saya stabil. Cuma kena selalu buat pemeriksaan susulan.

“Semua tahu saya memang ada masalah jantung. Tetapi Alhamdulilah, rakan sekeliling dan kru produksi sangat memahami dan sentiasa membantu. Saya juga kena jaga kesihatan, tak mahu apa-apa mudarat berlaku.

“Saya tak boleh penat sangat, kena kawal emosi dan stress. Setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya yang sebelum ini dimasukkan ke hospital setelah mengalami komplikasi jantung tahun lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya