KUALA LUMPUR – Menjadi antara golongan selebriti yang menjadikan sukan berbasikal sebagai pilihan kini.
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu, sukan ini tidak terhad untuk golongan tertentu.
Malah jelas Siti, 41, sesiapa sahaja boleh menyertai sukan ini selagi mempunyai minat yang mendalam.
“Berkenaan harga basikal, saya juga bermula dengan jenis basikal biasa. Semua terpulang sebab apa yang penting semangat seseorang itu.
“Lebih merugikan kalau sudah melabur jumlah duit yang banyak tetapi hanya hangat-hangat tahi ayam.
“Sesuaikan dengan kehendak diri. Macam saya sendiri waktu sekarang memang memerlukan basikal yang lebih ringan memandangkan sering menyertai pertandingan,” katanya kepada Utusan Online.
Ditanya mengenai pakaian berbasikal golongan wanita yang turut menjadi perdebatan warganet kini, kata penyanyi nombor satu negara itu, dalam mana-mana sukan juga apa yang perlu diutamakan adalah keselamatan dan keselesaan.
“Apa yang penting adalah keselamatan dalam bersukan itu. Sebab itu perlu mengenakan pakaian yang sesuai. Saya juga pernah mengalami kemalangan apabila tali kasut saya tersimpul ke dalam roda basikal.
“Sekarang memang sudah banyak fesyen wanita muslimah yang sesuai untuk dibawa bersukan. Pilih yang selesa dan selamat ketika berbasikal,” katanya.