oleh ABDUL RAZAK IDRIS
Pengusaha lemang jenama Lemang Bagus di Salak Tinggi di sini bukan sahaja menjual lemang bersama rendang yang lazat tetapi turut melaksanakan kerja amal dari hasil keuntungan perniagaan tersebut.
Ia diusahakan oleh sekumpulan ahli Persatuan Belia Gugusan Salak (Bagus) yang mana mereka mewakafkan sebahagian keuntungan untuk kerja amal melibatkan pengurusan jenazah umat Islam.
Menurut wakil Persatuan Belia Gugusan Salak (Bagus), Muhammad Hydier Hamid, sejak tahun lalu pihaknya berjaya mengumpul dana bagi membeli dan menaik taraf sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk dijadikan van jenazah.
“Keuntungan hasil jualan lemang sempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu kita jadikan sebahagiannya sebagai modal membeli sebuah MPV dengan nilai RM10,000.
“Hasil jualan Lemang Bagus kira-kira 15,000 batang kita naik taraf MPV tersebut dengan nilai RM30,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Hydier berkata, pihaknya mewakafkan van jenazah untuk digunakan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan dan kenderaan tersebut ditempatkan di satu lokasi yang menempatkan kedai mencuci kereta di sini.
Jelas beliau, kos menguruskan van jenazah tersebut disumbangkan oleh umat Islam yang prihatin dengan kerja-kerja amal mereka.
“Kos untuk menguruskan van jenazah seperti minyak dan penyelenggaraan kita dapat hasil tabung-tabung di lokasi sesuai seperti restoran dan kedai runcit.
“Dari segi operasi van jenazah, kita tubuhkan satu kumpulan dalam kalangan krew Lemang Bagus sebagai pemandunya,” katanya.
Buat masa ini operasi van jenazah tersebut adalah sekitar Salak Tinggi sebelum diperluaskan pada masa depan.
Projek kain kafan
Selepas kejayaan mengumpul dana untuk membeli van jenazah, pengusaha Lemang Bagus mahu mewujudkan program wakaf kain kafan pula.
Dana bagi projek itu diambil daripada sebahagian keuntungan jualan Lemang Bagus pada Hari Raya Aidiladha lalu.
Jurucakapnya, Muhammad Hydier Hamid memberitahu, pihaknya terpanggil untuk mewujudkan wakaf kain kafan setelah melihat sendiri ada golongan susah yang tidak mampu menyediakan kain kafan apabila berlaku kematian.
“Selain sumbangan dana wakaf kain kafan hasil jualan lemang, orang ramai boleh mewakafkan kit untuk menguruskan jenazah, Kit Kifayah yang dijual di pejabat pos berhampiran dan ia boleh diposkan ke alamat Persatuan Belia Gugusan Salak, Lot 21, Kampung Paya Salak 43900 Sepang Selangor Darul Ehsan.
“Umat Islam yang ingin berwakaf juga boleh memasukkan wang RM200 untuk mewakafkan satu set kit Kifayah ke akaun Maybank nombor 526432502740 atas nama Persatuan Belia Gugusan Salak,” katanya.
Mengenai hasil jualan lemang, Muhammad Hydier berkata, tahun lepas pihaknya berjaya menjual 15,000 batang lemang sempena Aidilfitri dan Aidiladha.
Namun tahun ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya hanya menyasarkan 7,000 batang lemang untuk dijual pada hari raya korban.
Jelasnya, perolehan yang tinggi turut disumbang oleh hasil jualan rendang ayam dan daging yang menjadi sajian kegemaran masyarakat dimakan bersama lemang.
“Saya mewakili rakan-rakan ingin memaklumkan yang kami kini sudah sedia membantu dari segi perkhidmatan van jenazah dan juga kain kafan,” katanya.
Bagi mendapatkan khidmat van jenazah dan urusan kit Kifayah, orang ramai boleh menghubungi talian 012-9431717 dan 017-6326400.