Aplikasi kenal pasti kesahihan logo halal - Utusan Malaysia

Aplikasi kenal pasti kesahihan logo halal

Logo halal boleh dikenal pasti kesahihannya dengan aplikasi MySelusuri-Halal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kewajipan untuk mencari makanan daripada produk yang halal adalah sangat dituntut kepada masyarakat Islam. Secara umumnya, produk makanan halal bukan sahaja perlu berasal dari sumber yang dibenarkan, tetapi proses dan pengendalian produk di premis juga perlu mematuhi garis panduan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun, isu penyalahgunaan logo halal yang semakin meruncing dan tidak pernah berakhir menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna, khususnya masyarakat Islam.

Masalah penyalahgunaan logo halal yang sering dilaporkan termasuklah penggunaan logo palsu, penggunaan tamat tempoh, paparan yang tidak diiktiraf dan ketidakpatuhan pemilik premis yang memiliki sijil halal terhadap garis panduan yang diberikan Jakim.

Tinjauan kepada pengguna juga mengenengahkan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi untuk mengatasi isu penyalahgunaan logo halal ini.

Antara cabarannya termasuk kesukaran pengguna untuk mengesahkan status halal produk dan kenyataan halal yang mengelirukan seperti pork-free, We serve no pork di sesetengah premis makanan yang bertujuan untuk mengelirukan masyarakat Islam.

Selain itu, pengguna juga mengadu bahawa tiada platform khusus untuk segera menyalurkan aduan dan pertanyaan mengenai produk halal secara sistematik, pantas dan inovatif. Pihak berkuasa pula seperti Jakim, pihak kerajaan tempatan (PBT) sukar membuat pemantauan atau semakan kerana kekurangan petugas penguatkuasa.

Demi menunaikan fardu kifayah dan menjaga kemaslahatan masyarakat Islam, sekumpulan penyelidik Institut IR4.0 (iIR4.0), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyahut cabaran untuk menangani isu penyalahgunaan logo halal ini.

Projek inovasi yang diketuai felo penyelidik kanan iIR4.0 UKM, Prof. Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad, berjaya membangunkan sebuah prototaip konsep aplikasi yang dinamakan sebagai MySelusuri-Halal bersama felo penyelidik Dr. Ummul Hanan Mohamad.

                Dr. Mohammad Nazir Ahmad

Aplikasi tersebut menggabungkan logo halal yang diiktiraf Jakim dengan kod Quick Response (QR).

Menurut Mohammad Nazir, setiap kod QR adalah unik dan mewakili produk atau pemilik sijil halal untuk premis tertentu.

“Pengguna boleh mengimbas logo halal bersama kod QR yang dicetak pada produk atau dipaparkan pada premis untuk mendapatkan kesahihan status halal produk atau sijil halal premis secara langsung,” ujarnya.

Menurut beliau, aplikasi tersebut juga memudahkan pemilik sijil halal Jakim membuat pemanatauan . Setelah mendapat kelulusan jabatan tersebut, pemilik sijil boleh memuat turun dan mencetak logo halal yang standard dengan kod QR unik untuk setiap produk dan premis mereka.

Dengan kod QR tersebut, pemantauan secara formal oleh pihak berkuasa boleh dilaksanakan. Apa yang menarik, ia boleh dilaksanakan secara sumber khalayak (crowdsourcing) oleh semua pengguna .

Walau bagaimanapun, kata beliau, antara cabaran utama membolehkan prototaip aplikasi ini berfungsi sepenuhnyaadalah dengan mendapat kerjasama Jakim supaya akses kepada pangkalan data agensi berkenaan dapat dilaksanakan secara masa nyata.

Ini memerlukan kerjasama Jakim dan integrasi dengan sistem pangkalan datanya dapat dilaksanakan.

Beliau percaya Jakim akan dapat menyokong kerjasama seperti ini menerusi mekanisme seperti memorandum persefahaman (MoU) bersama iIR4.0, sebagai entiti yang mewakili UKM.

Aplikasi berkenaan berupaya mengesan penipuan penggunaan logo halal dalam keadaan membabitkan sama ada produk atau premis yang tidak mempunyai sijil halal tetapi mempamerkan logo halal atau produk atau premis telah tamat tempoh pensijilan halal.

Berdasarkan bukti melalui aplikasi ini, pengguna beragama Islam boleh membuat aduan beserta bukti secara langsung kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu Dr Ummul Hanan berkata, aplikasi MySelusuri-Halal itu bukan sahaja bertindak sebagai satu medium mengesahkan status halal pada produk dan premis, malah, setiap pengguna mempunyai peranan untuk bertindak sebagai mata-mata yang boleh membantu pihak berkuasa memantau penyalahgunaan logo halal.

Kemampuan aplikasi MySelusuri-Halal untuk pengesahan status halal juga diperluaskan dengan penggunaan di luar talian atau secara offline.

Ciri-ciri ini juga membolehkan pengguna mendapatkan pengesahan status halal apabila tiada akses ke pangkalan data MyHalal Jakim.

Secara tidak langsung, aplikasi berkenaan mampu menyatukan tanggungjawab pihak berkuasa dan peranan pengguna untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara ini, sejajar dengan konsep Islam untuk bekerjasama dalam kebenaran dan ketakwaan.

MySelusuri Halal ditambah baik

Penyelidikan membangunkan aplikasi MySelusuri Halal itu bermula sejak 2019 dan sentiasa ditambah baik sehingga sekarang selagi menerima minat pembiayaan industri.
Prof. Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad berkata, idea asal tentang inovasi tersebut bermula dengan dana industri daripada pembiaya Gates IT Sdn. Bhd. dengan kod geran di UKM ZG-2018-005.
Namun katanya, versi terkini dikemas kini dengan menambah baik beberapa aspek penting.

Walau bagaimanapun katanya, projek tersebut memerlukan kerjasama daripada Jakim dan jika berjaya dilaksanakan, penggunannya boleh diperluaskan ke seluruh negara termasuk mana-mana premis di luar negara yang menggunakan logo halal seperti Jakim .

“Penguatkuasaan dan pemantauan dengan kaedah sumber khalayak ini mampu memperkasakan kepentingan semua terhadap logo halal,” ujarnya.

Memberitahu lebih lanjut beliau berkata, di peringkat pelaksanaan nanti, aplikasi MySelusuri-Halal ini boleh diletakkan dalam public domain seperti Apple Store dan Play Store. Ia juga boleh diletakkan di platform Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) jika agensi seperti Jakim bersedia menggunakannya.

Perbincangan secara rasmi belum dilakukan. Namun, Jakim mengambil maklum idea ini dan perbincangan lanjut untuk menjayakan perlu dibuat selepas ini.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya