Ramai yang tahu ular bersalin kulit mengikut musim yang tertentu. Walau bagaimanapun, tidak terfikir pula untuk menjadikan kulit ular tu sebagai aksesori yang menarik dan mampu milik.
Namun, itulah hasil kreativiti Lily Nurliyana Hasrin, 23, mendapat idea untuk melakukan transformasi kulit ularnya menjadi satu aksesori yang pasti menarik perhatian ramai terutamanya golongan wanita muda.
Minat untuk memiliki ular jenis ball phyton muncul sejak kecil lagi namun tidak berkesempatan memilikinya. Dia beranikan diri untuk mencubanya pada awal Mei lalu dan memeliharanya sehingga hari ini. Ular jenis ball phyton miliknya kini berusia dua tahun dan masih kecil.
“Saya memiliki ular ini ketika usianya tiga bulan dan sekarang sudah memasuki umur dua tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai penjagaannya, pasti para pemilik akan menjawab bahawa penjagaannya jauh lebih mudah berbanding haiwan peliharaan yang lain seperti kucing.
“Sangat mudah untuk dijaga walaupun saya baharu berjinak-jinak dalam cara penjagaannya. Namun bagi saya ular ini sangat mudah dan pastinya menjimatkan kos bulanan,” katanya.
Menurutnya, ular peliharaannya hanya perlu diberi makan seminggu sekali dan memerlukan modal kira-kira RM20 sebulan.
Pada awalnya, Lily Nurliyana memelihara ular untuk suka-suka dan sebagai hobi. Namun, apabila melihat kulit ular yang terlalu banyak disimpan, beliau mendapat idea untuk mencuba dan jadikan sebagai asas bagi aksesori wanita.
Kulit ular jadi sumber pendapatan
Sebelum ini memang ada aksesori fesyen daripada kulit reptilia ini. Kita tahu terdapat beberapa tas tangan, tali pinggang dan sebagainya yang diperbuat daripada kulit haiwan eksotik. Namun kita kurang mendengar atau melihat aksesori seperti loket yang diperbuat daripada kulit ular sawa ball phyton.
“Sebenarnya saya mendapat inspirasi daripada salah satu video yang saya lihat di Instagram, dan saya rasa tidak salah kalau mencuba daripada buang semua kulit ular itu baik saya fikir cara untuk jadikannya sebagai sesuatu yang bernilai,” katanya.
Menurut Lily Nurliyana, bahan asas menghasilkan loket ini diperoleh menerusi aplikasi dalam talian dan kosnya tidaklah terlalu tinggi bagi anak muda yang baru menceburi bidang perniagaan itu.
“Saya mula dengan mengambil tempahan menerusi media sosial peribadi dan hanya bermula dengan 10 jenis loket. Saya tak sangka sambutannya sangat bagus. Dalam masa sehari semua hasil tangan saya habis dijual. Kini saya sedang menyiapkan tempahan yang seterusnya,” katanya
Lily Nurliyana berkata, setiap kali ularnya bersalin kulit, beliau menyimpannya.
“Tak sangka hasilnya sangat cantik dan menarik sehingga saya terfikir tidak salah kalau jadikannya sebagai salah satu mata pencarian saya.
“Saya terfikir untuk menambah koleksi aksesori loket kepada anting-anting atau pun aksesori rambut dan itu masih dalam perancangan saya,” katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan aksesori tersebut boleh mengunjungi instagram @lilyhsrn atau @lilsnekkie bagi mendapatkan butiran lanjut.