KUALA LUMPUR: Lapan rakyat Malaysia yang terpilih menunaikan ibadat haji tahun ini diminta mendoakan kesejahteraan negara terutama agar bebas daripada wabak Covid-19.
Pendakwah, Don Daniyal Don Biyajid berkata, selain itu mereka mesti melakukan ibadat haji dengan bersungguh-sungguh kerana mereka yang dipilih itu mendapat anugerah Allah yang cukup istimewa.
“Sempena hari wukuf doakan juga kehidupan kembali normal dan anak-anak dapat kembali ke sekolah. Harap Malaysia juga sentiasa dijemput menjadi tetamu Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Lapan rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi, terpilih sebagai antara 10,000 jemaah mendapat kebenaran negara itu untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jemaah berkenaan sudah membuat permohonan terus kepada Kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.
Sementara itu, Don Daniyal yang lebih popular dengan panggilan ustaz Don mengingatkan jemaah haji agar sentiasa menjaga tingkah laku dan akhlak sepanjang di tanah suci.
Katanya, ini kerana kesempurnaan haji tertakluk sebagaimana firman Allah dalam ayat 197 surah al-Baqarah yang bermaksud: (Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berdebat di dalam masa mengerjakan haji.”
“Kesempurnaan haji tertakluk kepada tidak berperangai lucah, bergaduh, bertengkar mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak berakhlak.
“Apabila mahu melakukan sesuatu mestilah lakukannya dengan sempurna maka patuhilah arahan pihak berkuasa walaupun adakalanya dirasakan tidak masuk akal.
“Ingatlah, mereka (pihak berkuasa Arab Saudi) menguruskan jemaah haji yang ramai. Ia tidak mudah seperti yang disangka,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Arab Saudi sudah membuat persiapan rapi untuk menerima kedatangan jemaah haji tahun ini.
Kawasan Masjidilharam telah dilakukan kerja-kerja menyahkuman dan ditandakan untuk penjarakan sosial manakala cecair pembasmi kuman juga telah siap sedia untuk digunakan oleh jemaah haji.