Bulan Zulhijah sentiasa ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia kerana di dalamnya terkandung bulan haji. Menunaikan ibadat haji pula adalah kefarduan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan.
Bezanya, tahun ini kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 10,000 umat Islam terpilih mengerjakan haji tahun ini ekoran wabak Covid-19. Daripada jumlah itu, difahamkan lapan rakyat Malaysia dipilih dan akan berwukuf hari ini. Mereka terdiri daripada pelajar dan pekerja di Arab Saudi.
Sememangnya keputusan kerajaan Arab Saudi itu mengundang rasa kecewa dalam kalangan bakal-bakal haji yang sudahpun menerima surat tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Walaupun pahit untuk ditelan, namun atas faktor keselamatan iaitu bagi mengelak terkena jangkitan Covid-19, diharap bakal-bakal haji reda. Dalam sejarah, larangan menunaikan haji ini bukanlah yang pertama.
Pendakwah terkenal, Don Daniyal Don Biyajid berkata, umat Islam perlu menghadapi situasi ini dengan ilmu walaupun diakui rasa kecewa itu tidak dapat dielakkan.
Katanya, orang Islam apabila berhadapan atau diuji dengan sesuatu termasuk terhalang menunaikan haji perlu banyak bersabar.
“Orang yang sabar akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang tiada had. Seorang sheikh, Habib Ahmad al-Habsyi pernah menyebut dalam kitabnya, malaikat akan mencurahkan pahala kepada golongan yang sabar kerana bersabar itu susah untuk dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas). (al-Zumar: 10)
Don Daniyal yang juga Pengurus Besar Kuiscell Sdn. Bhd. berkata, Nabi Muhammad SAW pun pernah dihalang mengerjakan umrah. Penduduk Mekah pun begitu juga apatah lagi rakyat Malaysia yang dari segi geografinya amat jauh dari tanah suci.
“Situasi ini (dihalang ke Mekah) memberi keinsafan malah kita turut sama merasai apa yang baginda SAW lalui ketika itu di Hudaibiah hingga baginda dan sahabat terpaksa melakukan dam ihsar,” katanya.
Don Daniyal menambah, mengikut sejarah Masjidilharam juga pernah ditutup kepada jemaah hampir 40 kali kerana pelbagai sebab termasuk penyakit taun.
Katanya, pada enam tahun pertama Saidina Umar memerintah, berlaku penularan wabak taun yang menyebabkan sahabat nabi SAW, Abu Ubaidah wafat.
Demikian juga Kaabah dikatakan ditutup kepada orang luar semasa wabak black death yang berlaku pada 1347. Wabak ini dikatakan meragut lebih 200 juta nyawa manusia di seluruh dunia.
“Apabila orang tahu peristiwa-peristiwa begini pernah berlaku maka redalah rasa gundah gulana di dalam hati mereka.
“Selepas ini, apabila Allah panggil (jemput) buat haji atau umrah jangan tolak. Sebabnya kita tidak tahu nasib kita pada masa depan sama ada bebas melakukan umrah dan haji seperti dahulu atau tidak,” katanya.